Home » , » Tugas parti Islam bukan jadi penasihat kerajaaan

Tugas parti Islam bukan jadi penasihat kerajaaan

Written By Wadah Baru on Rabu, 30 Disember 2015 | 3:52 PTG

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti-parti politik termasuk parti Islam, tidak mempunyai sebarang sebab untuk menggalas peranan sebagai penasihat kerajaan.

“(Menasihat kerajaan) ini kerja mufti, ulama’, NGO dan cendekiawan. Tugas parti politik, termasuk parti Islam, yang bercita-cita mengurus tadbir negara perlu melaksanakan tugas utama iaitu tadaafuq atau semak dan imbang.

“Dengan itu barulah rakyat tahu kemungkaran dan segala maksiat ekonomi, rasuah dan pembaziran yang dilakukan penguasa. Inilah sebenarnya membela rakyat dan menyelamatkan negara,” katanya

Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa tawaran partinya untuk menjadi penasihat kerajaan bukan kerana pangkat, tetapi demi menyelamatkan negara.

Malah Abdul Hadi juga telah berkongsi pentas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika majlis perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada 17 Disember lalu.

Pada majlis itu, Najib secara terbuka menyatakan kesediaan UMNO untuk bekerjasama dengan Pas.

Dalam pada itu, bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat itu menyatakan kesediaan Amanah untuk mengambil alih tugas Pas dalam melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Pas sudah tinggalkan perjuangan pemimpin terdahulu seperti (bekas presiden) Allayarham Yusuf Rawa dan Allayarham Fadzil Noor serta (bekas Mursyidul Am) Nik Aziz Nik Mat dan konsep ‘Muwaajahah Silmiyah’ (persaingan politik secara sihat). Memang inilah yang kita takuti dan jangka dari dulu.

“Maka peranan Amanah adalah untuk mengambil alih ruang utama yang ditinggalkan Pas,” katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger