Parti AMANAH Negara Kawasan Bukit Katil akan turut serta bertanding
pada Pilihanraya Umum ke
14 nanti. Kenyataan tersebut dinyatakan oleh
Ketua AMANAH Bukit Katil, Mohd Sofi Abdul Wahab pada ucapan penangguhan
Mesyuarat penubuhan Parti AMANAH Negara Kawasan Bukit Katil hari ini.
“Kita telah membuat keputusan untuk turut serta bertanding pada
pilihanraya umum ke 14 nanti. Seluruh entiti parti di kawasan Bukit
Katil telah mula digerakkan bagi menjalankan kerja-kerja mendekati dan
menyedarkan rakyat.”
“AMANAH walaupun merupakan parti baru, kita
tidak mempunyai masalah untuk menjalankan kerja-kerja pilihanraya ini
kerana petugas-petugas kita sudah mempunyai pengalaman luas sebelum ini”
ujar Sofi.
Menurutnya AMANAH Bukit Katil memang berusaha untuk
memastikan tiada pertandingan sesama sendiri antara parti-parti
pembangkang tetapi jika tiada persetujuan dicapai maka AMANAH tiada
pilihan terpaksa bertanding bagi menentang BN.
"Kita komited
bersama Pakatan Harapan menentang BN, kita akan sentiasa berbincang
bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan bagi memastikan BN
tumbang pada PRU 14 nanti" kata beliau.
Sofi berkata AMANAH Bukit
Katil juga sedang memfokuskan kerja-kerja mendaftarkan ahli-ahli baru
dan menubuhkan cawangan-cawangan yang telah bermula sejak awal
penubuhannya.
“Setakat ini kita sudah mendaftarkan bilangan ahli
yang di luar jangkaan kita di mana sambutan yang kita terima amat
memberangsangkan”.
“Kita juga telah menubuhkan lebih dari 6
cawangan dalam kawasan kita hanya dalam masa 2 bulan dan beberapa
cawangan lagi akan ditubuhkan dalam masa terdekat”tambah Sofi.
Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana Parti AMANAH Negara Kawasan
Bukit Katil telah selesai mengadakan Mesyuarat penubuhannya hari ini.
“Kita bersyukur kerana mesyuarat hari berjalan dengan baik di mana kita
berjaya melantik ahli jawatankuasa AMANAH Bukit Katil bagi memenuhi
prosedur Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mewajibkan sesuatu organisasi
politik yang baru ditubuhkan mesti mengadakan mesyuarat bagi melantik
Ahli Jawatankuasa dalam masa 2 bulan selepas perdaftarannya diluluskan”
ujarnya yang juga merupakan Naib Pengerusi Penaja AMANAH Melaka.
Mesyuarat tersebut berlangsung di Graha AMANAH Melaka, Taman Suria Bukit
Katil. Seramaikan 15 Ahli Jawatankuasa telah dilantik bersama-sama
Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan 2 Pemeriksa Kira-kira.
Dalam mesyuarat tersebut Mohd Sofi Abdul Wahab dilantik sebagai Ketua
AMANAH Bukit Katil; Mohd Ali Sharif sebagai Timbalan Ketua manakala
Ronsome Ho dan Zuraidah Hasnon sebagai Naib Ketua. Turut lantik ialah 11
orang Ahli Jawatankuasa. Semua perlantikan dibuat dengan keputusan
sebulat suara.
Sejak penubuhan Parti AMANAH Negara kira-kira 4
bulan lalu, AMANAH Bukit Katil dilihat berjaya meletakkan parti mereka
setanding dengan parti-parti politik lain dengan pembukaan Pejabatnya
sendiri di Graha AMANAH Melaka bersama-sama dengan AMANAH Negeri Melaka.
Selain itu AMANAH Bukit Katil juga telah berjaya mengadakan
program kebajikan, menangani isu-isu setempat selain dari beberapa
program seperti skim kifaalah, bantuan kembali ke sekolah dan lain-lain.
AMANAH Bukit Katil Akan Sertai Pilihanraya Umum ke 14
Written By Wadah Baru on Ahad, 24 Januari 2016 | 2:38 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan