Oleh Muammar Qaddaf
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu merupakan pengalaman pertama saya untuk mengundi dan ketika itu PAS yang bersama sama Pakatan Rakyat menjadi parti pilihan saya berbanding Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ketika itu saya memilih PAS dengan harapan PAS mampu bawa perubahan kepada Malaysia dengan lebih baik samada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.
Perkembangan semasa PAS hari ini buatkan saya mencongak samada untuk terus mengundi PAS pada pilihan raya seterusnya atau mula mencari alternatif lain untuk diundi.
Semakin hari saya semakin keliru dan pening dengan tindak tanduk PAS dan presidennya.
Walaupun kumpulan profesional disingkirkan secara total pada muktamar Julai lepas, namun hari ini seolah masih ada dua arus pemikiran dalam PAS.
Saya perhati Datuk Seri Hadi Awang,Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Nasrudin Hassan Tantawi, Datuk Takiyuddin dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semacam senada.
Beriya sangat nak menggatal dengan Umno. Dalam hal yang sama, saya lihat pimpinan seperti Iskandar Samad (naib presiden), Tuan Ibrahim (timbalan presiden) dan Idris Ahmad (naib presiden) semacam membawa arus yang bertembung dengan arus Hadi dan kelompok di atas.
Saya melihat semacam ada 2 arus. Arus tengkujuh pantai timur melawan arus negeri selat.
Disebalik 1001 penafian wujudnya usaha penyatuan PAS-Umno termasuk dalam kerjasama politik, rakyat pastinya tertanya tanya kenapa 3 pemimpin tertinggi PAS iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad dan Iskandar Samad secara terbuka menyerang "usaha" yang dinafikan wujud itu?
Bahkan nada Idris selaku naib presiden PAS yang keras menghalau sesiapa yang mahu membawa usaha kerjasama PAS-Umno dari PAS seolah beliau tahu, dengan kapasiti beliau sebagai pimpinan tertinggi parti, usaha ke arah itu wujud.
Kenyataan kenyataan yang menafikan gabungan kedua parti tersebut tidak mampu menghakis persepsi rakyat tentang kecenderungan PAS untuk bersama Umno.
Tambahan sikap PAS terhadap bekas rakan Pakatan mereka yang memustahilkan untuk mereka kembali bersama dalam tempoh masa terdekat dalam berhadapan Umno BN.
Manakala untuk bersendirian dalam PRU14 adalah sesuatu yang boleh menengelamkan PAS dalam arus politik Malaysia selepas PRU14.
Situasi ini dibaca rakyat yang PAS sememangnya sedang cuba menghulur tangan kepada Umno.
Mengimbau pasca PRU 13 lalu,Mursidul Am PAS ketika itu almarhum Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat apabila ditanya soal kerjasama PAS-Umno, beliau dengan tegas menentang bahkan mengatakan akan "ludah" jika ada dalam kalangan pemimpin Umno mahu hulur tangan bekerjasama dengan PAS.
Ironinya sepeningalan Nik Aziz, sebaliknya yang berlaku adalah PAS yang cuba menghulur tangan dalam kerjasama PAS dan Umno.
Perkataan “kerjasama” yang selalu digunakan pemimpin kanan PAS untuk menafikan penggabungan PAS-Umno juga tidak begitu meyakinkan kerana kita faham bukanlah dakwaan sesetengah pihak mengatakan PAS dan Umno akan bergabung sebagaimana Parti Keadilan Nasional (ADIL) dan Parti Rakyat Malaysia ( PRM) lalu membentuk Parti KeADILan Rakyat (PKR)
Sebaliknya "gabung" yang dimaksudkan adalah kerjasama politik PAS bersama Umno untuk menentang Pakatan Harapan atau sekurangnya untuk menentang DAP dan Amanah.
Isu perpaduan ummah yang dibangkitkan seolah bakal membawa kepada persefahaman antara PAS dan Umno untuk bersatu menentang calon bukan Melayu/Islam.
Kita bertambah hairan bilamana dibangkitkan tentanhg DAP yang akan memerintah jika usaha perpaduan ummah ini tidak berjalan lancar.
Rakyat sesungguhnya keliru dengan tindak tanduk PAS berkenaan isu ini, pada awalnya kita diberitahu PAS mahu menjadi penasihat kepada Umno BN, untuk apa?
Adakah agar "Umno BN" boleh dibaiki dan kekal sebagai pemerintah untuk 1 tempoh lagi?
Kemudian diikuti dengan kenyataan mahu bekerjasama dengan Umno dalam isu ummah, apa isunya?
Lawan DAP?
Gayanya PAS cukup galak menyerang DAP seolah cuba mendapat perhatian Umno kepadanya.
Kenyataan dan tindak tanduk yang mengelirukan dari PAS membuatkan saya sudah tidak mampu mencerna pemikiran ulama besar dunia ini dalam merangka strategi politik PAS
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan