Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan Pakatan Harapan akan kekal
mantap dan menolak
tanggapan pihak yang sangsi dan mendakwa gabungan
Amanah, PKR dan DAP juga tidak kekal lama sebagaimana berlaku kepada
Pakatan Rakyat kerana berbeza ideologi dan agenda perjuangan.
Pengarah Komunikasi dan Media Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sofi
Abdul Wahab menolak tanggapan itu kerana katanya, gabungan Pakatan
Harapan wujud kerana adanya perbezaan dalam Amanah, Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan Parti Demokratik Rakyat (PKR).
“Sebab itu perlu kepada gabungan dan pakatan, jika semua parti sama tidak perlulah wujudkan pakatan.
“Dahulu kegagalan Pakatan Rakyat mengekalkan gabungan tersebut
disebabkan parti-parti dalam pakatan gagal berpegang kepada janji dan
keputusan mesyuarat.
“Antara penyebabnya ialah ada komponen parti
yang tidak mahu akur kepada keputusan mesyuarat dan juga tidak mahu
menghadiri mesyuarat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau yakin parti gabungan dalam Pakatan Harapan seperti
Amanah, PKR dan DAP telah mengambil iktibar terkuburnya Pakatan Rakyat
sebagai kesilapan lalu.
“Parti-parti dalam Pakatan Harapan yang ada sekarang sudah belajar
dari kesilapan lalu serta sudah matang untuk melayari dan mendepani
badai perjuangan.
“Parti-parti ini membuktikan komitmen mereka untuk
memantapkan Pakatan Harapan dan memastikan gabungan itu terus relevan
untuk membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman BN,” jelasnya.
Sofi berkata, kejayaan Pakatan Harapan menandatangani perjanjian
bersama Sabtu lalu menjadi titik penting betapa gabungan ini adalah
mantap dan sukar digugat.
Perjanjian itu telah menggariskan
perkara-perkara penting berkaitan gabungan, halatuju, pentadbiran,
membuat keputusan serta cara menyelesaikan apa juga pertikaian dan
perbezaan.
“Apa yang penting semua keputusan berkaitan dengan
Pakatan Harapan mesti diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden yang
menjadi badan terpenting menentukan hala tuju Pakatan Harapan dalam apa
juga perkara. Keputusan itu pula mestilah mendapat persetujuan semua
parti dalam gabungan tersebut. “ ujarnya.
Beliau tidak menafikan kebenaran parti-parti dalam Pakatan Harapan
mempunyai perbezaan ideologi dan agenda perjuangan tetapi bagi beliau
agenda perjuangan bersama yang dipersetujui dan disepakati bersama ialah
melahirkan negara yang mempunyai kepimpinan yang telus, bersih dan
amanah; 'good governance'; bebas rasuah, menjunjung demokrasi dan
sebagainya.
“Malah Pakatan Harapan sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan
Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi tidak pernah terusik dalam kerangka perjuangan kami
seperti juga Pakatan Rakyat dahulu.
“Ini jelas menunjukkan bahawa serangan musuh yang menyatakan
kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu akan tergadai jika Pakatan
Harapan memerintah adalah fitnah besar yang sengaja dimainkan bagi
memburuk-burukkan imej gabungan ini,” ujarnya.
Malah beliau melihat pemimpin Pakatan Harapan sudah matang dan
berpengalaman untuk mendepani musuh politik mereka Umno-BN sebagaimana
usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dahulu.
“Mereka memainkan isu agama dan perkauman sehingga ada bekas parti komponen Pakatan Rakyat yang termakan gula-gula Umno-BN ini.
“Saya
yakin semua serangan dan fitnah mampu ditangani oleh pimpinan yang
berpengalaman ini. Apa yang penting mereka mesti duduk semeja dalam apa
juga isu yang dibangkitkan. Jangan menjadikan media sebagai medium untuk
menyelesaikan kekusutan yang berlaku.
“KIta masih ingat ketika Pakatan Rakyat berada dalam keadaan
nyawa-nyawa ikan pimpinannya sudah tidak boleh duduk semeja lagi.
Masing-masing menggunakan media untuk berkomunikasi. Masing-masing
berbalas-balas 'tembakan' di media tidak mahu bertemu dan bermesyuarat
untuk merungkaikan masalah.
“Lebih-lebih lagi selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia
dan Anwar Ibrahim dipenjara maka tiadalah pimpinan yang dihormati dan
disegani.
“Masing-masing menunjukkan ego masing-masing. Perangai ini mesti
dibuang jauh-jauh oleh pimpinan Pakatan Harapan yang ada sekarang.
Jangan ulangi kesilapan lama,” ujarnya.
Justeru beliau yakin jika semua pihak matang dan berlapang dada serta
ikhlas berjuang untuk keadilan, Pakatan Harapan, rakyat akan tetap
memberikan sokongan padu kepada gabungan itu dan akhirnya mampu mengugat
Umno-BN.~MALAYSIA DATELINE
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan