Home » , » Tantawi mengaku salah tapi masih putar belit

Tantawi mengaku salah tapi masih putar belit

Written By Wadah Baru on Selasa, 19 Januari 2016 | 11:47 PTG

Oleh Raja Syarafina Raja Shuib 

 KETUA Menteri (KM) Pulau Pinang, Lim Guan Eng menarik balik tuntutan saman fitnah terhadap
Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (defendan) (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Guaman Sivil No. 23NCVC-15-10/2014) berhubung artikel bertajuk ‘Apa Beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang’ yang ditulis dan dimuat naik oleh defendan ke facebooknya pada 6 Ogos 2014.

Penyelesaian damai antara pihak-pihak menerusi suatu Perintah Persetujuan bertarikh 18 Januari 2016 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong ekoran permohonan penyelesaian dari defendan dan persetujuan defendan untuk:-

(a) Defendan menzahirkan kekesalan beliau di hadapan Hakim dan hadirin yang hadir dalam Mahkamah mengenai kandungan artikel tersebut yang telah mengakibatkan salah faham terhadap Lim Guan Eng.

Kenyataan yang diutarakan oleh defendan dan seperti yang direkodkan oleh mahkamah yang mulia serta disahkan kembali oleh defendan berbunyi seperti berikut:

“Menghadiri perbicaraan hari ini dan setelah meneliti dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah, saya kesal artikel saya mencetuskan salah faham terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Pihak pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dengan menarik balik artikel saya yang bertarikh 6 Ogos 2014 yang lalu yang didapati tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri” 

(b) Defendan membayar RM10,000 kepada YAB KM sebagai kos.

Memandangkan saya sendiri menyaksikan rentetan peristiwa yang membawa kepada penyelesaian damai di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam, pastinya ramai yang terkilan termasuk saya dengan tindakan Nasrudin menulis rencana susulan bertajuk ‘Catatan dari Mahkamah Tinggi Georgetown – Kes diselesaikan di luar mahkamah’ yang boleh diakses melalui laman web http://www.pas.org.my/arkib/ketua -penerangan/7338-catatan-dari-mahkamah-tinggi-georgetown-kes-diselesaikan-di-luar-mahkamah.

Sama ada rencana itu ditulis dalam kealpaan atau kecuaian yang disengajakan, Nasrudin tidak seharusnya memutar belit fakta dan/atau memperlekeh kebenaran dalam usaha menegakkan benang basah. Harus ditekankan bahawa:–

(a) Walaupun prosiding guaman terhadap Nasrudin dijadual berlangsung semalam dan hari ini, KM masih menerima jalan penyelesaian damai yang dicadangkan oleh mahkamah. Dalam pada ini, Nasrudin hanya perlu antara lain, meminta maaf akibat tohmahan dan fitnah yang dilempar terhadap KM dalam artikel tersebut;

(b) Meskipun Nasrudin tahu dan/atau patut tahu dari dokumen yang difailkan untuk tujuan perbicaraan bahawa artikel itu  sememangnya merupakan fitnah beliau terhadap KM, Nasrudin enggan memohon maaf daripada KM. Malah, Nasrudin juga sebenarnya enggan untuk menyuarakan kekesalan beliau terhadap salah faham yang dicetuskan akibat daripada artikel tersebut; dan

(c) Andainya Lim Guan Eng mementingkan kepentingan dirinya semata-mata dan enggan menerima kenyataan ‘kekesalan’ daripada Nasrudin, tidak mungkin penyelesaian damai boleh berlaku sama sekali.

Sekiranya Nasrudin yakin artikel itu bukan fitnah terhadap Lim Guan Eng, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada KM? Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta.

Susulan daripada penjelasan di atas dan sekiranya masih ada putar-belit dalam mana-mana laporan media berhubung dengan penyelesaian damai tersebut, Lim Guan Eng tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

* Raja Syarafina Raja Shuib ialah Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger