Home » , » Menukar Dato Seri Najib Atau Menukar Umno/Sistem ?

Menukar Dato Seri Najib Atau Menukar Umno/Sistem ?

Written By Wadah Baru on Ahad, 6 Mac 2016 | 10:54 PG

Oleh Rafizi Ramli

Saya telah menerima pelbagai maklumbalas berikutan komen saya bahawa Dato’ Seri Abdul Hadi
Awang, Presiden PAS perlu menunjukkan sokongan kepada mana-mana usaha untuk menggantikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri untuk menghentikan segera kemudharatan yang beliau bawa kepada masyarakat.

Pandangan saya ialah kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai berdolak-dalik boleh mengelirukan rakyat seolah-olah beliau mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak pada ketika kemarahan rakyat terhadap Perdana Menteri memuncak.

Saya sengaja mengambil masa seminggu sebelum saya memberi reaksi untuk membolehkan saya mengkaji sebaik mungkin pandangan orang ramai terutamanya melalui media sosial. Saya boleh kategorikan reaksi kepada pandangan saya itu kepada 4 kumpulan utama seperti berikut:

1. Kumpulan penyokong tegar PAS: komen-komen yang diberikan oleh penyokong tegar PAS lebih mirip kepada kata-kata kasar. Antara komen paling biasa ialah “bodoh” dan “PAS mahu membuang Umno/sistem bukan Perdana Menteri” (yang saya akan huraikan selepas ini). Saya tidak mengambil hati dengan kata-kata kasar dan berdoa supaya mereka diberikan rahmat Allah SWT. Dari bancian rawak, saya boleh anggarkan kumpulan ini adalah sekitar 30% dari mereka yang memberi reaksi.

2. Kumpulan penyokong tegar Dato’ Seri Najib Tun Razak: komen-komen adalah cacian dan pelbagai gelaran dan label. Hujah yang dimainkan masih lagi berkisar mengenai perkauman dan anti-DAP sementara memuji langkah PAS mengambil pendirian sedemikian. Saya selalunya terhibur dengan pelbagai usaha kumpulan penyokong tegar Dato’ Seri Najib Tun Razak cuba memburukkan saya dan tidak pernah mengambil hati. Dari bancian rawak, saya boleh anggarkan kumpulan ini sekitar 5% dari mereka yang memberi reaksi.

3. Kumpulan atas pagar: komen-komen adalah bercampur-campur dari yang berbentuk luahan kekecewaan di atas pendirian PAS, kekeliruan atau yang marah dengan pendirian itu. Tema komen yang paling biasa ialah keperluan melawan kebejatan UMNO dan mereka tidak membezakan di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dan UMNO. Dari bancian rawak, saya boleh anggarkan kumpulan ini sebagai kumpulan yang paling besar iaitu 45%. Latar belakang mereka berbeza dan kecenderongan politik mereka juga berubah-ubah jika dinilai dari pandangan mereka di media sosial bagi tempoh waktu tertentu.

4. Kumpulan penyokong tegar PH: komen-komen mereka bercampur-campur dari yang berbentuk kasar terhadap PAS kepada hujah-hujah anti-Najib/anti-UMNO yang biasa didengari. Dari bancian rawak, saya boleh anggarkan kumpulan ini sekitar 20% dari mereka yang memberi reaksi.

Memahami pola pendapat rakyat terbanyak seperti ini adalah cukup penting untuk memahami konteks pandangan saya kepada pendirian Dato’ Seri Hadi Awang dan PAS setakat ini dalam usaha kita menumbangkan Umno/Barisan Nasional.

PRU14 kelak akan ditentukan oleh pengundi atas pagar Melayu/Islam. Sebab itu saya menumpukan sepenuhnya tenaga saya kepada mendekati dan meyakinkan pengundi atas pagar Melayu/Islam akhir-akhir ini kerana mereka adalah penentu. Majoriti pengundi atas pagar Melayu/Islam ini terbuka minda mereka walaupun mereka lebih cenderong kepada Umno sebelum ini kerana takut kepada DAP.

Oleh yang demikian, satu-satunya talian hayat kepada Umno (dan bukannya Dato’ Seri Najib Tun Razak) ialah jika salah satu (atau beberapa) perkara berikut berlaku dari sekarang hingga PRU14:

1. Berlaku pertandingan 3 penjuru di antara Umno/BN, Pakatan Harapan dan PAS. Walaupun nampak ada peralihan undi Melayu/Islam yang ketara kepada Pakatan Harapan kerana konsistensi melawan Umno/BN sedangkan PAS dilihat memberi isyarat yang berbeza-beza, itu belum cukup untuk memastikan pembangkang dapat menewaskan Umno/BN jika ada pertandingan 3 penjuru.

2. Pengundi Melayu/Islam atas pagar dapat diyakinkan bahawa memerangi DAP/bukan Melayu itu lebih penting dari membuang pimpinan Umno/BN dan sistem Umno/BN yang korup dan menyusahkan rakyat. Sentimen inilah yang menyebabkan dalam PRU13 dahulu, Pakatan Rakyat kehilangan 30 kerusi Parlimen di bawah margin 5% kerana ramai pengundi Melayu/Islam merasakan mereka lebih rela ditadbir parti yang rasuah dan korup asalkan ia masih lagi parti Melayu.
3. Imej Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak merudum terlalu teruk di kalangan pengundi Melayu/Islam atas pagar walaupun dikaitkan dengan pelbagai skandal. Maknanya segala yang telah berlaku masih belum meyakinkan pengundi Melayu/Islam atas pagar untuk menukar Umno/BN (sekaligus menukar Perdana Menteri) kerana perkembangan-perkembangan lain yang menyebabkan mereka tidak menghukum Dato’ Seri Najib sepenuhnya atas semua yang telah berlaku.

Teguran saya dibuat dalam konteks ini kerana saya berpandangan bahawa sejak lebih setahun yang lalu, pimpinan PAS dan anggota PAS (sedar atau tidak sedar) telah menyumbang sedikit sebanyak kepada ketiga-tiga faktor di atas seperti yang saya jelaskan di bawah.

PENDIRIAN YANG BERTUKAR-TUKAR

Keadaan yang paling membimbangkan saya ialah apabila sejak enam bulan lepas, tumpuan serangan dan tindak balas politik PAS adalah lebih kepada menyerang DAP/AMANAH (serta KEADILAN dalam keadaan tertentu) berbanding dengan kritikan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Jika ada pun kenyataan yang mengkritik Umno, itu kritikan yang umum dan saya dapat gambaran bahawa pimpinan PAS mengelak dari mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak secara terang-terangan.
Jika dikaji kenyataan pimpinan PAS serta pembawaan penyokong-penyokong tegar PAS di bawah sepanjang enam bulan lepas, majoriti kenyataan dan pembawaan isu berkisar mengenai DAP/AMANAH dan Pakatan Harapan.

Seterusnya pimpinan PAS memberi pelbagai pendirian dan alasan yang bertukar-tukar untuk membezakan PAS dari Pakatan Harapan dalam konteks hubungan/pandangan terhadap Umno/BN. Walaupun ramai yang memarahi saya kerana kononnya tidak memahami strategi politik Dato’ Seri Hadi Awang yang mahu mengekalkan Dato’ Seri Najib sehingga PRU14 supaya pembangkang boleh menang besar, mereka lupa bahawa itu bukanlah alasan yang diberikan oleh pimpinan PAS sebelum ini.

Saya cuba memahami rentetan pelbagai pendirian yang berbeza-beza dan bertukar sejak 6 bulan lepas seperti berikut:

1. Selepas Ahli Parlimen PAS gagal menolak Belanjawan 2016 (mereka berkecuali) di Dewan Rakyat, beberapa kenyataan umum diberikan untuk menjelaskan kenapa mereka berkecuali. Ini termasuklah untuk memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kerana jika belanjawan tidak diluluskan, maka kerajaan tiada peruntukan untuk membayar gaji.

2. Tidak beberapa lama selepas itu, saya memerhatikan penjelasan pimpinan PAS mengenai sikap mereka terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah pendekatan PAS untuk bantu-membantu dalam perkara yang baik, atau yang popularnya ta’awun. Saya fikir ini cuba menjelaskan kepada rakyat kenapa PAS mengambil keputusan melanggar komitmennya dengan Pakatan Rakyat dahulu apabila ia tetap meneruskan pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Shariah sedangkan ada beberapa pertimbangan khusus yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

3. Kemudian suasana politik tanahair gempar apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Hadi Awang muncul bersama-sama sepentas dengan berbaju Melayu warna yang sama dalam satu majlis yang sama. Penjelasan yang diberikan sekitar dan selepas peristiwa ini ialah PAS mahu menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana di dalam Islam hatta Nabi Musa AS pun menasihati Firaun.

4. Pada masa yang sama, hubungan akrab di antara pimpinan PAS dan pimpinan Umno di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin dipaparkan kepada rakyat. Mereka saling muncul bersama di dalam program-program yang menggambarkan pelaksanaan konsep ta’awun di dalam perkara yang menyentuh Islam. Gambar-gambar Dato’ Seri Najib menziarahi dan mesra dengan Dato’ Seri Hadi Awang sering berlegar.

5. Pada masa yang sama, beberapa hubungan kerjasama secara formal juga makin mengelirukan rakyat. Ada dakwaan bahawa pinjaman Kerajaan Persekutuan terus diberikan kepada Kerajaan Kelantan untuk membantu Kerajaan Kelantan membayar gaji kakitangan Kerajaan Negeri; dan perkara ini masih belum diperjelaskan oleh Kerajaan Kelantan. Ada pimpinan PAS yang menerima jawatan di dalam jawatankuasa yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh pimpinan Umno termasuklah Mursyidul Am, Dato’ Haron Din yang menjadi Ketua Kluster dalam Majlis Perundingan Islam.

6. Apabila isu kehadiran Deklarasi Rakyat timbul, kenyataan Dato’ Seri Hadi Awang semakin mengelirukan. Beliau menyatakan beliau menentang Umno dan bukannya orang Umno. Sudah tentu ada yang menafsirkan ini sebagai satu penjelasan kenapa PAS menentang Umno tetapi hubungan individu di antara beliau (dan pimpinan PAS yang lain) dengan Dato’ Seri Najib boleh terus akrab.

7. Kenyataan rasmi PAS sejurus selepas itu ialah PAS menolak Deklarasi Rakyat kerana percaya sistem pemerintahan perlu diruntuhkan. Oleh itu PAS menawarkan diri sebagai Blok Ketiga dan tidak akan terlibat di dalam Deklarasi Rakyat. Pengumuman Blok Ketiga itu memberi isyarat jelas bahawa PAS berhasrat untuk meletakkan calon supaya terjadi pertandingan 3 penjuru di dalam PRU14 nanti.

Pada ketika ini, ramai penyokong tegar PAS mengulangi bahawa PAS mahu menukar sistem bukan sosok tubuh Perdana Menteri. Ramai yang bertanya mudah: jika Dato’ Seri Najib jatuh yang akan naik adalah Dato’ Seri Zahid Hamidi.

8. Semalam ada pimpinan tertinggi PAS iaitu Dato’ Mustapha Ali (Pengarah Pilihanraya) dan Dato’ Khairuddin Aman Razali (AJK PAS Pusat) yang hadir di majlis tersebut. Malah Dato’ Mustapha Ali menjadi antara kumpulan terawal yang menandatangani deklarasi tersebut. Saya makin terkeliru apabila satu kenyataan ringkas Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man diedarkan bahawa kehadiran kedua-dua pimpinan PAS ini adalah atas restu Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Rentetan-rentetan peristiwa ini mengelirukan rakyat dan menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada 3 talian hayat yang saya sebutkan tadi.

MERUNTUHKAN UMNO/BN

Banyak penyokong tegar PAS yang menyerang saya selama seminggu ini kerana kononnya tidak mengambil berat bahawa PAS telah melawan Umno berpuluh-puluh tahun lepas. Contoh yang paling klasik bagaimana emosinya penyokong tegar PAS dalam perkara ini ialah apabila Mokhtar Senik, AJK Pusat PAS menyindir saya di laman FB seperti berikut:

“Pas dah lawan umno sebelum mak kamu dengan bapak kamu kawin. Pas dah lawan umno sebelum Dap dan Pkr lahir ke dunia. Pas terus lawan umno saat kamu masih umno. So tak payah laa berkomen sakan semacam kamu lah juara lawan umno. Kamu baru sedikit mengenali pas dan baru sejengkal mengenali umno. Kalau kamu dah nak lawan umno dengan cara kamu lawan laaa. Pas tak perlu ikut cara kamu untuk lawan umno. Pas dah lama baligh dan dewasa saat kamu masih belum mumayyiz. Maaf..bunyi mcm sombong tapi sebenarnya menjawab balas kenyataan kamu yg sombong.”

Saya tidaklah mempersoalkan sejarah lama PAS melawan Umno/BN. Malah atas kesedaran bahawa PAS telah lama melawan Umno/BN itulah saya memberi sedikit teguran kepada PAS supaya tidak mengelirukan rakyat dan bersama-sama kami di Pakatan Harapan melawan Umno/BN walaupun kita tidak dalam satu pakatan yang formal.

Jika PAS boleh mengambil sikap ta’awun dalam menjelaskan hubungan akrab dengan Umno, kenapa konsep yang sama tidak boleh dipakai dalam bekerjasama dengan Pakatan Harapan melawan kebejatan Umno/BN?

Saya perhatikan sejak kebelakangan ini PAS menjauhkan diri dari isu-isu penyelewengan nasional yang melibatkan Umno/BN. Apabila saya mula menyentuh mengenai tata kelola kewangan di Tabung Haji, pimpinan PAS adalah antara yang paling awal menyatakan sokongan mereka bahawa semuanya berjalan baik di Tabung Haji. Walaupun saya terus menunjukkan fakta-fakta kewangan mengenai kerugian yang berlaku, saya tidak nampak pimpinan dan aktivis PAS yang membawa isu ini dengan bersungguh-sungguh sedangkan ia melibatkan kebajikan 8.5 juta umat Islam di negara ini.

Ia cukup berbeza dengan keadaan sebelum ini di antara tahun 2010 hingga 2014. Walaupun pimpinan PAS tidak ke depan dalam membongkar atau membawa isu-isu penyelewengan Umno/BN, paling kurang mereka dan jentera PAS bersama-sama membawa isu ini ke bawah. Peliknya di antara tahun 2010 dan 2014, pimpinan PAS dan jentera PASlah yang paling kerap menghubungi saya untuk dibawa berceramah ke tempat mereka. Kadang-kadang ia menjadi tegang apabila saya kesuntukan masa untuk diberikan kepada mereka.

Sebab itu walaupun PAS mungkin kurang kepakaran dalam perkara ini, ada baiknya ia menerima kekuatan yang Pakatan Harapan ada dalam mengolah isu-isu nasional asalkan rakyat dapat disedarkan keperluan menolak Umno/BN.

Namun apabila PAS nampak menjauhkan diri, sudah tentu ada di kalangan pengundi yang merasakan PAS tidak begitu gemar menyerang Umno/Barisan Nasional (tambahan pula dengan segala peristiwa yang saya nyatakan di atas).

Sedangkan serangan yang bertali arus inilah yang melemahkan Umno/BN sehingga ia berpecah ke peringkat sekarang. Mana mungkin Tun Mahathir akan duduk semeja dengan pembangkang sekiranya kita tidak istiqomah dalam membawa isu 1MDB sehingga ia meletup seperti sekarang?

Maka penjelasan PAS sekarang bahawa ia tidak mahu menyertai sebarang usaha menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menunggu PRU14 tidak menggambarkan realiti bahawa Umno/BN berdepan kekalahan dalam PRU14 kerana kami di Pakatan Harapan tiap-tiap hari menyerang Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menumbangkan beliau tiap-tiap hari.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Saudara Tony Pua dan saya telah membawa isu 1MDB ini sejak tahun 2011 tetapi tidak dihiraukan oleh mana-mana pimpinan Umno termasuk Tun Mahathir pun pada awalnya. Tetapi ramai di kalangan pimpinan dan anggota Umno bukanlah bodoh dan mereka dapat menilai bahawa isu ini jika mula merebak di kalangan rakyat akan melunturkan sokongan mereka kepada Umno/BN. Sebab itu mereka juga mula berkempen di dalam untuk menukar Perdana Menteri dan menghentikan skandal 1MDB ini.

Berasal dari itulah perpecahan berlaku di dalam Umno dan semakin hari dengan tindak balas Dato’ Seri Najib Tun Razak yang tidak menghormati keluhuran undang-undang, ia meyakinkan lebih ramai pimpinan Umno bahayanya Dato’ Seri Najib kepada negara dan masyarakat kita.

Kalaulah PAS sama naik dengan kami di Pakatan Harapan membongkarkan skandal-skandal sebegini supaya ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat dan memecah belahkan Umno/BN. Namun kalaupun PAS tidak berkemampuan untuk berbuat sedemikian, paling tidak janganlah menjadikan Pakatan Harapan musuh yang lebih besar dari Umno/BN.

Mengenai kebersamaan pendapat menjatuhkan Dato' Seri Najib dengan Tun Mahathir Mohamad, saya berguru juga dengan teladan politik tokoh-tokoh hebat PAS sebelum ini iaitu:

i) Allahyarham TG Nik Aziz: apabila berlaku perpecahan di dalam Umno dalam tahun 1987/88, beliau memberi ruang sepenuhnya kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan hasil dari inilah Kelantan berjaya dirampas kembali dari Umno dalam tahun 1990

ii) Allahyarham Datuk Fadzil Noor: apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dalam tahun 1998 dan gerakan reformasi berlaku, beliau memimpin gerakan itu dan menjadikan PAS parti massa sehinggakan Terengganu berjaya ditawan dan Dato' Seri Hadi Awang menjadi Menteri Besar.

Pada ketika meletusnya gelombang rakyat itu, kedua-dua mereka tidak berdolak dalih memberi pelbagai alasan apabila mudharat kepada rakyat adalah jelas. Mereka juga tidak membeza-bezakan tokoh yang berkongsi pandangan melawan Umno.

KESIMPULAN

 Saya rumuskan perkara –perkara berikut:

1. Kesatuan rakyat perlu dibentuk sekarang untuk menjatuhkan Umno/BN dan Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan melibatkan semua pihak

2. PAS tidak boleh dilihat mesra Umno dan berdolak dalih dalam mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak

3. PAS tidak boleh dilihat lebih memusuhi Pakatan Harapan dari Umno/BN

4. PAS tidak boleh dilihat sebagai blok ketiga untuk meletakkan calon 3 penjuru dalam PRU14

5. Deklarasi Rakyat hanyalah sebahagian dari strategi yang menguntungkan rakyat dan Pakatan Harapan kerana ia merumitkan lagi permusuhan dan perpecahan di dalam Umno. Deklarasi Rakyat sahaja tidak akan memulihkan Umno seperti yang dwar-warkan kononnya Tun Mahathir akan menyelamatkan Umno.

6. Strategi menyerang Umno dan memecah belahkan Umno telah sampai ke peringkat ini sehingga Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa Umno telah rosak. Strategi ini perlu diteruskan dan PAS perlu dilihat bersama-sama dengan Pakatan Harapan

Ada beberapa soalan yang saya belum jawab dan saya simpan untuk dijawab di dalam forum
bersama-sama Dato’ Husam Musa, Saudara Anthony Loke dan Dr Dzulkefly Ahmad pada hari Ahad 13 Mac 2016. Pastikan saudara-saudari hadir untuk mendengar jawapan kami.

Rafizi Ramli
5/03/2016

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger