Home » , » Otai Reformis gesa AMANAH tanding PRK

Otai Reformis gesa AMANAH tanding PRK

Written By Wadah Baru on Ahad, 15 Mei 2016 | 4:53 PTG

Kumpulan aktivis Otai Reformis menggesa Pakatan Harapan diperkukuhkan dengan membenarkan Parti Amanah Negara (AMANAH) meletakkan calon dalam kedua-dua pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Jurucakapnya Saiful Ariffin memberitahu pemberita hari ini bahawa perkara itu telah dipersetujui oleh kumpulan itu, dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Ketika mengemukakan memorandum kepada AMANAH berhubung perkara itu di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Saiful berkata, kumpulan itu percaya AMANAH bukan sahaja pengganti kepada PAS, tetapi alternatif yang lebih baik untuk parti Islam itu, dalam gabungan semasa pembangkang.

Katanya, AMANAH perlu diberi tanggungjawab untuk bertanding di dua kerusi parlimen itu untuk membuktikan bahawa ia akan menjadi sebuah parti dominan orang Melayu di dua kerusi kawasan majoriti Melayu berkenaan.

Tambahnya, pihaknya juga percaya tanggungjawab itu perlu diberi kepada pemimpin AMANAH yang berwibawa.

"Kami percaya mereka mempunyai prinsip untuk memberikan alternatif kepada rakyat melalui pakatan pembangkang yang kuat," katanya.

Otai Reformis adalah sekumpulan aktivis era Reformasi yang pertama kali muncul untuk menentang himpunan Baju Merah pada September tahun lepas.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger