Home » , » Mahfuz: PRK macam gusti, PAS belajar dari Umno

Mahfuz: PRK macam gusti, PAS belajar dari Umno

Written By Wadah Baru on Selasa, 7 Jun 2016 | 3:00 PTG

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyamakan pertandingan antara parti politik termasuk PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai pertandingan gusti.
Namun katanya berlainan dalam PRK kali ini, meskipun dinamakan pertandingan tiga penjuru tetapi di peringkat awal corak kempen dan kenyataan terbuka memperlihatkan ia pertandingan 'dua lawan satu'.

"Dua lawan satu di PRK kali ini tak ubah macam pertandingan gusti di mana tiga orang sekali lawan dalam satu pertandingan atas satu pentas gelanggang. Lalu dua orang akan cari jalan untuk lemahkan yang seorang.

"Bila seorang itu lemah dan berjaya dikeluarkan dari gelanggang, baru yang dua lagi akan berlawan dan bergantunglah kepada kekuatan, kehandalan dan kebijaksanaan menipu," kata Mahfuz dalam kenyataan medianya.

Katanya, PAS kini seperti sudah mengisytiharkan parti AMANAH sebagai musuhnya dalam PRK ini dan tidak pula akan menyerang Umno BN seperti dinyatakan pimpinan PAS sebelum ini.

"Begitu juga Umno BN mengisytihar AMANAH musuh mereka dan tidak PAS. Sesekali dilihat dari serangan Umno dan PAS nampak macam parti AMANAH begitu hebat dan kuat kerana ditakuti oleh PAS dan BN.

"Saya percaya pemerhati dan penganalisis politik Malaysia sedang melihat dalam kepeningan dengan perkembangan politik baru dari PRK ini," kata Mahfuz.

'PAS banyak belajar dari Umno'

Mahfuz berkata, pertandingan dua lawan satu itu menyaksikan blok ketiga pembangkang- PAS dan IKATAN serta blok kerajaan Umno BN menghalakan serangan kepada Pakatan Harapan yang diwakili AMANAH.

"Apakah ini satu kebetulan atau satu perancangan strategik dari BN dan blok ketiga pembangkang untuk melemahkan lawan mereka yang sama iaitu Pakatan Harapan yang diwakili oleh AMANAH.
"PAS parti saya sudah isytihar undi AMANAH sama macam undi DAP. Sama seperti sebelum ini Umno BN menakutkan Melayu dengan slogan undi PAS sama macam undi DAP.

"Nampaknya banyak perkara yang PAS parti saya dah belajar dari Umno BN untuk menarik sokongan pengundi Melayu," katanya.

Mahfuz kelihatan merujuk spekulasi bahawa PAS akan memberi laluan kepada kemenangan BN di Sungai Besar manakala parti pemerintah akan membiarkan parti Islam itu mengambil alih Kuala Kangsar.

Spekulasi itu dibangkitkan AMANAH berdasarkan langkah PAS meletakkan Dr Abdul Rani Osman, yang tidak popular di kalangan konservatif PAS di Sungai Besar manakala BN meletakkan calon, Mastura Md Yazid, yang tidak dapat berkempen di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan perkara itu dan berikrar akan menawan kedua-dua kerusi berkenaan.

Menurut Mahfuz, rakyat sedang memerhati mainan politik pemimpin politik dan walaupun dinafikan, rakyat hari ini sangat tajam dan jauh pandangan politik mereka.
"Maafkan saya atas kenyataan ini yang mungkin memperlihatkan perjalanan yang sukar bagi Amanah pada PRK ini.Tapi semuanya serba mungkin dan ketentuan Allah yang muktamad," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger