Home » » 'Fitnah jahat S'wak Report' racun dunia berita

'Fitnah jahat S'wak Report' racun dunia berita

Written By Wadah Baru on Selasa, 9 Ogos 2016 | 4:02 PTG

Oleh Mohd Khairuddin Aman Razali 

Dewan Ulamak PAS Pusat melihat dengan penuh bimbang dunia pemberitaan hari ini yang dipenuhi cerita rekaan dan palsu dengan tujuan mencipta kebencian dan permusuhan terhadap individu atau organisasi.
Lambat laun ia akan menghancurkan asas-asas bermasyarakat dan keharmonian bernegara serta melahirkan sebuah masyarakat yang rosak akhlak dan jahat perangai.

Ia ternyata jelas menerusi tindakan sebuah portal Sarawak Report yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai berita dan cerita pendedahan sensasi politik telah bertindak mereka-reka cerita fitnah dan palsu tentang pimpinan PAS dengan niat jahat mencipta persepsi buruk dan mewujudkan permusuhan antara rakyat dan PAS.

Sangat jelas ada perancangan oleh pihak tertentu berkepentingan politik untuk merosakkan reputasi dan imej baik PAS selama ini.

Namun, ia bukan perkara yang pelik kerana pernah berlaku fitnah jahat disasarkan terhadap Nabi Muhammad SAW apabila seorang lelaki munafik telah menyebarkan cerita rekaan dan fitnah terhadap Aisyah ra, isteri Nabi SAW dengan tujuan mencipta persepsi jahat terhadap keluarga baginda lalu disambut oleh beberapa orang Islam lain.

Ia berlegar beberapa bulan lamanya sehingga Allah menurunkan ayat dalam surah an-Nur bagi membersihkan nama Aisyah dan menegaskan hukuman jenayah dirotan sebanyak 80 sebatan terhadap mereka yang membuat tuduhan zina tanpa bukti.

Prinsip keadilan Islam yang telah diterima oleh dunia perundangan dan kehakiman ialah "setiap orang bebas daripada sebarang tuduhan dan tohmahan melainkan dibuktikan sebaliknya", sesuai dengan kaedah Fiqh.

Sebarang tuduhan tidak patut disebarkan atau dipromosi sehingga membentuk persepsi jahat dan sehingga mereka yang tidak bersalah dihukum bersalah oleh media disebabkan pemberitaan tuduhan.

Kebenaran bukan persepsi

Islam telah menggariskan kaedah pemberitaan dan penceritaan yang jelas untuk menjadi panduan masyarakat. Antaranya sesuatu berita hendaklah bersumberkan seorang yang adil dan tidak melakukan dosa-dosa besar.

Berita yang dibawa oleh seorang yang fasik iaitu yang sentiasa melakukan dosa kecil tanpa taubat dan melakukan dosa besar, hendaklah diusul periksa dan disemak dengan bukti dan kenyataan.

Allah berfirman

"Wahai orang-orang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang FASIK (yang jahat) dengan satu berita maka hendaklah kamu mendapatkan bukti dan keterangan bimbang kamu menimpakan satu kaum dengan satu kejahilan maka jadilah kamu atas apa yang kamu lakukan itu orang-orang yang menyesal"
(Surah al-Hujuraat ayat 6).

Sumber berita pembohong dan palsu meskipun sekali mesti ditolak pemberitaannya untuk kali yang seterusnya kerana kebarangkalian ia menyelitkan berita palsu di celah-celah berita yang benar akan terus berlaku.

Ia sebagaimana peringatan Allah tentang golongan yang mencampuradukkan amalan yang baik dengan amalan yang jahat;

"Dan golongan-golongan lain (di kalangan munafik) memperakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampurkan antara amalan soleh dan amalan jahat...."
(Surah Taubah ayat 102)

Didik masyarakat etika berita

Masyarakat juga perlu didik untuk tidak mudah menyebarkan berita yang diterima. Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Cukuplah seseorang itu berbohong dengan perlakuan bercerita segala apa yang didengar". (Hadis Sahih Muslim)

Hadis ini menegaskan kaedah penerimaan dan penyebaran berita. Tidak semua berita yang didengar adalah benar dan tepat. Sikap menyebarkan segala jenis maklumat yang diterima termasuk khabar angin dan persepsi serta tuduhan adalah petanda seseorang itu adalah pembohong kerana kebarangkalian terselit berita bohong dalam penyebarannya.

Keghairahan masyarakat berkongsi dan menyebarkan apa sahaja berita yang diterima menerusi aplikasi media sosial hari ini diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan berhati Iblis untuk menyebarkan berita bohong dan tuduhan bagi mencipta persepsi buruk terhadap seseorang atau organisasi.

Jika hari ini masyarakat mudah menyebarkan apa sahaja berita, ia adalah petunjuk bahawa masyarakat telah mula dididik menjadi masyarakat pembohong.

Persaingan politik sihat

Dunia demokrasi membenarkan persaingan politik secara sihat untuk merebut kuasa. Persaingan ini tidak mewajarkan cerita rekaan dan fitnah demi untuk memenangi persaingan. Persaingan politik tidak sepatutnya meruntuhkan nilai moral dan akhlak bermasyarakat.

Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kebencian kepada mana-mana individu dan parti politik tidak menjadi lesen untuk mereka-reka cerita palsu dan bohong terhadap mereka.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan tindakan segera oleh PAS Pusat untuk menangani fitnah jahat oleh Sarawak Report sama ada dengan laporan polis atau tindakan saman di mahkamah atau lain-lainnya.


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI  Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger