Home » , » Menanti Episod Kemuncak Sinetron 1MDB

Menanti Episod Kemuncak Sinetron 1MDB

Written By Wadah Baru on Khamis, 25 Ogos 2016 | 2:00 PTG

Oleh Hayar Hassan

Membaca novel-novel religi (berunsur agama) karya penulis tersohor dari negara jiran Indonesia, Habiburrahman El Shirazy (Kang Abik ) adalah antara aktibiti masa lapang saya semenjak beberapa tahun lalu. Hampir setiap novel karya Kang Abik telah saya miliki dan selesai membacanya. Uniknya setiap novel-novel Kang Abik tidak terlepas daripada kisah roman cinta anak muda, tetapi tetap berlandaskan kepada syariat Islam.

Hebatnya jalan cerita karya Kang Abik itu telah membuatkan produser-produser filem dan TV Indonesia berlumba-lumba menerbitkan karya-karyanya dalam bentuk filem dan siri-siri sinetron(sinema elektronik). Ternyata filem-filem Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dan Dalam Mihrab Cinta mampu menjadi filem-filem “box-office”.

Bukan filem sahaja, karya-karya Kang Abik turut dijadikan siri-siri sinetron bernuansakan religi oleh Stesyen TV popular yang boleh ditonton melalui pakej Pelangi Astro Malaysia. Keberadaan begitu ramai warga Indonesia di Malaysia, Singapura, Brunei Darus Salam, Hong Kong, Arab Saudi, Jerman, Australia dan lain-lain negara membuatkan sinetron-sinetron tersebut menduduki rating yang tinggi.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Kang Abik dalam novel ,filem dan sinetronnya adalah “ Islam Itu Adalah Satu Cara Hidup “. Orang Islam akan mudah menjalani kehidupan di dunia fana ini sendainya kita selalu dan tetap istiqamah berpegang kepada ajaran-ajaran Islam berlandaskan Al Quran dan Sunnah-Sunnah Rasulullah SAW.

Sekali sekala saya terfikir juga kalau Kang Abik diberikan ilham untuk menulis cerita sekitar “ 1MDB “. Sayangnya, jalan cerita “1MDB “ ini tidak punya cerita-cerita roman cinta anak muda dan mesej dakwah Islam yang sepertinya menjadi kriteria utama karya-karya Kang Abik. Umum mengetahui, “ 1MDB “ ini sarat dengan kepincangan skandal kewangan dan penonjolan kehidupan mewah penuh pembaziran beberapa kerat individu.

Plot cerita begini tidak menarik minat penulis tersohor itu . Mungkin nanti ada penulis yang berupaya menulisnya. Tetapi yang pasti “1MDB ” adalah kisah nyata, bukannya khayalan penulis semata-mata. Ianya penuh dengan fakta-fakta dan peristiwa-peristiwa yang berjejak pada alam nyata.

Dikhabarkan hebohnya kisah-kisah sinetron “1MDB “ ini adalah seawal tahun 2011. Lima (5) tahun lalu Bank Negara Malaysia telah mula menyiasatnya. Beberapa Ahli-Ahli Parlimen Malaysia semenjak tahun 2014 lagi, telah menzahirkan akan kebimbangan mereka terhadap malapetaka yang bakal menimpa negara tercinta ini . Namun kisah sinetron ini tidak punya penonton dan peminat yang ramai, tidak seperti sinetron-sinetron “ Tukang Bubur Naik Haji “ atau “ Pesantren Rock & Roll “. Sinetron-sinetron ini sudah memasuki episode-episod ratusan !

Namun bagitu saya merasakan sinetron “ 1MDB “ ini masih diminati oleh ramai penonton , tetapi hanya segelintir dari mereka sahaja yang berani memberikan komentar dan analisa terbuka seperti individu-individu bergelar Lim Kit Siang, Tony Phua, Husam Musa, Rafizi Ramli, Mahfuz Omar dan beberapa orang lagi.

Sayangnya, komentar-komentar mereka itu pun tidak termuat dalam akhbar-akhbar arus perdana. Paling sensasi pun, cuma sekali sekala termuat dalam akhbar Sinar Harian. Yang pastinya, cerita-cerita “1MDB” banyak tersiar di dunia maya. Kepada yang berminat, bolehlah mengikutinya di blog-blog Malaysiakini.com, Malaysiadateline.com, Wadahbaru.blogspot.my, Keadilandaily.com dan Roketkini.com. Warga Malaysia yang mempunyai internet dan “smartphone” sahaja yang berupaya mengikuti kisah-kisahnya.

Itu pun kalau mereka mempunyai minat untuk mengetahuinya ! Orang-orang lain kelihatannya kurang berminat untuk mengikutinya. Itulah kekurangannya sinetron “1MDB “ ini. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan PM ke 4 Malaysia, ramai rakyat sudah malas membaca kerana kekenyangan memakan dedak. Dulu beliau berkata orang kita “mudah lupa”. Walau apa pun itulah kenyataannya sinetron ini sukar menghasilkan rating yang tinggi.

Terakhir, lokasi pengambaraan sinetron ini sudah dibawa ke Negara Uncle Sam, Amerika Syarikat. Produsernya juga telah bertukar. Sekonyong-konyong produser yang bergelar “DOJ” telah membuat kejutan sensasi seantaro dunia. DOJ dengan secara terperinci telah menyediakan skripnya untuk episod-episod seterusnya.

Peminat setia sinetron ini seperti Husam Musa dan Matthias Chang telah bersusah payah membeli tiket penerbangan ke negara “Uncle Sam” itu dengan harapan untuk terus menonton siri sinetron ini. Bagitulah kata orang kalau penonton itu sudah terlalu minat dengan ceritanya, dia akan berbuat segala-galanya demi rasa ingin tahu bagaimana kisah sinetron ini akan berakhir.

Bersama-samalah kita berharap dengan penyedian skrip DOJ itu sinetron ini akan sampai ke kemuncaknya. Sebenarnya ramai orang telah kelelahan dan keletihan untuk terus mengikuti sinetron ini. Yang pastinya sesuatu yang bermula itu akan ada penghujungnya. Cumanya, kita tidak tahu bilakah ianya akan selesai dan bagaimanakah akhir kisahnya.

Semoga rakyat masih punya minat untuk terus mengikutinya. Semoga penantian kita itu nanti ada penghujungnya. Sinetron ini sebenarnya sudah mengambil terlalu banyak masa rakyat Malaysia. Fokus, tenaga dan buah fikiran kita banyak terbuang kerana memikirkan cerita-cerita “ 1MDB “. Malaysia cuma mempunyai masa kurang daripada 4 tahun sahaja lagi sebelum impian besar menjadi “ Negara Maju “ menjadi kenyataan. Apakah impian itu akan menjadi kenyataan atau pun hanya masih satu mimpi indah.

Saya masih ingat lagi suatu waktu dahulu, semasa masyarakat Malaysia ketandusan kehadiran filem-filem warna tempatan yang berkualiti, Tan Sri Jins Samsudin (TSJS) berjaya mengeluarkan filem Menanti Hari Esok. Ianya kemudian disusuli dengan filem-filemi Tiada Esok Bagi Mu dan Esok Masih Ada. Sekurang-kurangnya TSJS berhasil melegakan kegelisahan peminat-peminat filem tempatan dengan filem-filemnya. Semoga “ 1MDB “ juga akan menemui penghujung ceritanya !

Sekian. “ Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke 59, MERDEKA ! “

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger