Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sejak
enam bulan lalu, selepas menyesuaikan diri dengan rawatan rutin tiga
kali seminggu hemodialisis, saya memaksa diri berusaha untuk kembali
menulis. Memang sukar. Terkial-kial mencari idea. Lebih payah menyusun
ayat. Terasa janggal sekali. seperti bertatih membina kalimah.
Proses
dialisis yang cukup meletihkan juga membantutkan tekad. Keupayaan
membaca turut membataskan pengetahuan dan imiginasi. Saya sering
diperingatkan, kesakitan dan keuzuran adalah garis yang telah
ditakdirkan. Lalui saja dengan ikhlas, reda dan tenang.
Saya
mengisi kolum terakhir Catatan Hujung dalam akhbar Harakah lebih dua
tahun lalu. Lebih tepat, pena saya tergantung selama 26 bulan. sejurus
Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas
episod getir yang kemudiannya menyaksikan Pakatan Rakyat pecah dan
runtuh.
Selama tempoh itu juga -- dan sehingga sekarang -- saya
tidak lagi melanggan akhbar dan membacanya. Bukan aksi boikot. Bukan
rentetan pemulauan. Ia bermula apabila daya penglihatan saya merosot
teruk. Cermin mata tidak dapat membantu. Dua kali saya menukarnya. Agak
besar belanja. Pakar mata menasihati, usah buang duit. Tumpu kepada
rawatan di hospital. Banyak kali juga operasi laser mata yang
menyakitkan dan suntikan yang mahal.
Umpama terkurung dalam
dunia asing. Informasi serba terbatas. Berita TV jam lapan malam juga
jarang ditonton atau didengar. Mula-mula terasa seakan pelik. Ya, apa
yang berlaku di luar sana. Tambahan pula politik tempatan -- terutama
sekali pergolakan dalaman Pas -- semakin menggelegak.
Berdentam-dentum.
Hanya
tablet Samsung sesekali menjawab pertanyaan. Itu pun saya lebih suka
melayari youtube untuk mendengar == bukan melihat -- perkembangan
semasa. Ternyata ia tidak dapat menandingi kenikmatan membaca yang sudah
hilang itu. Malah membaca lembaran buku atau akhbar lebih
mengasyikkan daripada menatap gajet.
Saya tidak dapat
menunaikan tanggungjawab secara berkesan mengemudi Harakah bermula
Disember 2014. Kisah saya diminta berhenti secara mengejut oleh
pimpinan tertinggi lidah rasmi Pas itu mencetuskan sedikit kocakan.
Namun saya akur, daripada menjadi bebanan atau batu penghalang untuk
Harakah terus maju, lebih baik saya meminggir ke tepi.
Dalam
masa sama bibit-bibit Harakah menuju kemerosotan sudah terbayang.
Gugatan media baru memang satu faktor besar tetapi kurangnya persiapan
untuk mencabar ancaman baru itu, bagi saya, lebih berperanan untuk
menjatuhkan lagi jumlah cetakan akhbar. Kapal yang bocor menunggu masa
untuk tenggelam.
Saya lebih tertekan dan menderita apabila
sekadar menjadi pemerhati pasif, tanpa mampu berbuat apa-apa. Saya
diberikan tugasan baru untuk melatih dan membina wartawan Harakah.
Tapi, apa yang harus saya latih terutama dengan perubahan gaya politik
Pas selepas muktamar pemilihan di Kuala Selangor? Saya kebingungan.
Organ parti harus menurut rentak baru kepimpinan dan saya semakin
sukar memahami corak dan pendekatan siyasah yang dipilih.
Lama
saya diberikan cuti sakit. Edah saya dengan Harakah berakhir secara
rasmi pada 31 Disember 2016. Saya juga disahkan ilat oleh Perkeso.
Sebenarnya sejarah saya dengan dunia kewartawanan sudah tamat lama
sebelum itu, sekitar Oktober 2014, iaitu ketika catatan terakhir dalam
kolum Catatan Hujung dalam akhbar Harakah.
Dari jauh saya
mengikuti perkembangan dalaman Pas yang cukup menyedihkan. Saya masih
sempat mengheret kaki ke muktamar Pas di Batu Pahat pada 2014.
Beriyani gam tidak lagi dapat memikat selera. Suasana perbahasan tawar
dan ada kalanya menjengkelkan. Saya terasa kehilangan yang amat
sangat sepanjang hadir di situ.
Saya pulang lebih awal. Dalam
perjalanan balik ke Kuala Lumpur, yang diiringi hujan lebat, saya
mencuri dengar ucapan pimpinan Pas melalui radio internet. Harapan
saya, biduk lalu kiambang bertaut. Pembahas boleh menimbulkan apa saja
yang terbuku di dada, termasuk membacakan "doa yang pelik-pelik" untuk
diaminkan, tetapi keadaan diharap menjadi reda dengan ucapan penutup
pimpinan.
Air mata saya mengalir dan dada berkocak kencang
mendengar ucapan penggulungan Presiden. Retak tidak lagi menunggu
pecah, malah sudah terburai. Gurau senda anak-anak dan isteri sepanjang
perjalanan hilang ditelan kegelisahan. Minda saya mula menjangka, Pas
sudah tidak sama seperti dulu. Sedih, sebak dan marah bersilih-ganti.
Sejak
saat itu, secara perlahan-lahan, saya seolah-olah tidak lagi
mengenali watak dan keperibadian Pas walhal itulah parti Islam yang
saya yakin wajib disokong dan didukung seawal zaman kanak-kanak, tanpa
pilihan. Episod ini cukup melukakan. Peluang untuk mencipta sejarah
baru politik tanahair menjadi kabur. Kekuatan oposisi merosot teruk.
Dalam
masa sama, kualiti kesihatan saya makin menjunam. Kerosakan fungsi
buah pinggang menghampiri tahap optimum. Rakan-rakan yang menziarahi
mengelak daripada membawa khabar sedih tentang perkembangan siyasah.
Mereka lebih bimbangkan keadaan diri saya, yang kadang-kadang seperti
termangu-mangu dalam dunia sendiri. Mereka tidak mahu fikiran saya
terganggu sedangkan dalam keseorangan saya menjadi lebih parah ketika
berusaha mencari jawapan sendiri.
Ya, mungkin saya kurang
terdedah dengan situasi sebenar urutan perpecahan dalam Pas. Namun saya
semakin tidak dapat memahami gaya dan pendekatan barunya. Berjumpa
dengan kenalan baru semasa menunggu di hospital, juga doktor-doktor
pakar yang tekun merawat saya, mereka turut keliru dengan sikap
pimpinan Pas. Lebih malang, kebanyakan mereka menyangka Pas lebih mudah
mesra dengan Umno berbanding pembangkang lain.
Saya pernah
mencatat dalam facebook, dipandang dari sudut ini, strategi politik
matang dan sejahtera Pas gagal difahami diumum. Ramai penyokong Pas
mencemuh saya sehingga ada yang meminta saya jangan lagi lagi mengulas
parti orang. Tertanya-tanya juga, mengapa mudah sangat menghukum saya
sudah keluar Pas. Ada juga mendakwa saya telah dipecat dari Parti
Islam itu!
Dalam iklim politik yang kritikal dan meruncing ini,
apatah lagi terbocor skandal kewangan terbesar 1MDB, dengan potensi
terbaik menukar kerajaan, persefahaman sesama pembangkang juga
menimbulkan seribu satu pertanyaan. Saya bertanya sendirian, apakah
aku akan terus termenung di atas perbaringan ini.
Tidak banyak
yang mampu saya lakukan dengan keterbatasan ini, namun
sekurang-kurangnya awal kalimah kolum Catatan Hujung melorongkan usaha
kecil untuk bersama-sama gerakan massa menyelamatkan Malaysia daripada
terjunam ke dalam gaung yang mengerikan.
Mengapa mudah sangat menghukum saya sudah keluar Pas
Written By Wadah Baru on Rabu, 25 Januari 2017 | 10:37 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan