Home » » Amanah anggap undi pos tidak lagi munasabah

Amanah anggap undi pos tidak lagi munasabah

Written By Wadah Baru on Isnin, 20 Mac 2017 | 9:41 PTG

Oleh Arif Atan
Golongan tentera perlu dibenarkan mengundi sama seperti orang awam memandangkan proses undi pos pada pilihan raya sebelum ini terdedah kepada kemungkinan pelbagai bentuk manipulasi, tegas Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Menurutnya, sistem undi pos tidak lagi relevan pada masa ini kerana tentera boleh membuang undi di pusat daerah mengundi yang terletak berhampiran kem masing-masing.
"Undi pos bagi kami (Pakatan Harapan) tidak lagi munasabah kecuali pada anggota tentera yang bertugas di perbatasan. Yang kita bimbangkan sekarang ini, undi pos dibuat beberapa hari (sebelum pengundian biasa) kemudian disimpan.
"Kita tidak tahu apa berlaku. Peluang untuk dimanipulasi seperti ditukar, diletak di mana boleh bila-bila berlaku," jelasnya pada satu forum anjuran Amanah Johor kelmarin.
Aminolhuda HassanAminolhuda HassanMengulas lanjut, Aminolhuda berkata, pengundi pos juga dilihat seolah-olah memberi jaminan kepada kemenangan BN seperti yang telah berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang di Negeri Sembilan pada tahun 2009.
"Kita lihat undi pos yang ada di Bagan Pinang mencecah seramai 5,000 daripada 14,192 pengundi iaitu mewakili 36 peratus (pengundi). Sudah macam deposit tetap kepada BN secara tidak langsung," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani di Muar itu juga berpendapat pengundian awal terdedah kepada penipuan seperti pengalamannya menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Untuk rekod, undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
"Dalam satu daerah mengundi (pada PRU13), ada guru bertugas beritahu saya secara bertulis yang dia mahu pergi undi awal tetapi tiba-tiba didapatinya (kertas undi) sudah dipangkahkan.
"Pengundian awal dipangkah oleh 'bos' (ketua jabatan). Tidak berlaku ketelusan dalam pengundi awal kecuali untuk anggota polis dan pembantu-pembantu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang bertugas," ujarnya dalam slot 'Live Bongkar: Pilihan Raya Tipu?' yang disiarkan langsung di Facebook Amanah Johor itu.
Sehubungan itu, Aminolhuda menggesa supaya rakyat termasuk anggota tentera, polis dan petugas SPR tidak dikongkong untuk mengundi pihak mana pada pilihan raya.
"Undi pos dan undian awal, dua-dua boleh dimanipulasi. Berilah kebebasan kepada rakyat untuk memilih," gesanya lagi dalam forum yang turut menampilkan ahli panel, Adun Mengkibol Tan Hong Pin pada 18 Mac lalu.
Pada PRU13, terdapat 272,387 pengundi awal terdiri daripada pasukan tentera dan polis serta pasangan mereka telah mengundi awal pada 30 April 2013.
Mereka mewakili dua peratus daripada keseluruhan 13.3 juta pengundi berdaftar yang hanya membuang undi pada 5 Mei 2013.
PRU13 turut menyaksikan seramai 240,000 petugas SPR terlibat dalam proses pilihan raya iaitu peningkatan ketara berbanding kira-kira 180,000 petugas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (2008).
Pada masa sama, sejumlah 112,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas untuk mengawal perjalanan PRU13.
Proses pengundian awal juga diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) pada 3 Mei 2016 iaitu empat hari sebelum tarikh pengundian biasa.
Terdapat 24,604 pengundi awal terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka yang boleh mengundi di 79 pusat pengundian dengan menyaksikan Dun Stakan mempunyai jumlah pengundi awal paling ramai iaitu 7,055 orang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger