Home » , » Siasat segera RM9.5 juta ke akaun Shafee, kata Mujahid

Siasat segera RM9.5 juta ke akaun Shafee, kata Mujahid

Written By Wadah Baru on Selasa, 6 Jun 2017 | 10:11 PG

Siasatan segera harus dilakukan berhubung dakwaan Sarawak Report mengenai wang sebanyak RM9.5 juta dari syarikat SRC International disalurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam akaun peribadi peguam, Tan Sri Shafee Abdullah.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)dan Peguam Negara harus mengambil langkah segera agar siasatan dapat dijalankan di bawah pelbagai undang-undang jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap semua individu atau organisasi yang telah dibayar oleh Perdana Menteri daripada wang SRC ini.

“Jika siasatan tidak dibuat dengan segera, maka keyakinan rakyat terhadap badan-badan semak-imbang ini akan terus terhakis, kredibiliti Malaysia juga akan terhakis. Bertindak segera atas laporan Sarawak Report tersebut.

“Pendedahan sebelum kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan amat mengejutkan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, budaya 'zipped-mouth' telah menjadi budaya politik Najib dan Umno.
“Mana-mana kes yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa, mereka akan senyap seribu bahasa.

“Bayaran jutaan ringgit tersebut menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap integriti pihak pendakwaan dan kebebasan badan kehakiman kerana Shafee adalah peguam yang dilantik Peguam Negara terdahulu bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan pertuduhan liwat 2.0 terhadap Anwar di mana beliau telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lima tahun,” katanya.

Jelasnya, isu yang sebegini serius harus disiasat oleh polis kerana Shafee mempunyai percanggahan kepentingan dalam kes tersebut.

“Ia menimbulkan spekulasi negatif kerana dibimbangi boleh mencemar ketelusan dan keadilan keputusan rayuan tersebut.

“Saya juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil bahawa Bar Council perlu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Shafee berhubung dakwaan ini bagi membersihkan nama baik profesion ulung ini,” ujarnya.

"Bukti bertulis yang didedahkan Peguam Negara pada 27 Januari 2016 bahawa Perdana Menteri telah menerima wang daripada SRC International adalah kes prima facie wujudnya salah laku jenayah pecah amanah oleh Perdana Menteri," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger