Home » , » ‘Penderma tidak pernah soal kerana DAP sentiasa telus’

‘Penderma tidak pernah soal kerana DAP sentiasa telus’

Written By Wadah Baru on Isnin, 11 Julai 2016 | 4:32 PTG

PETALING JAYA: DAP mempertimbangkan penubuhan dana bantuan guaman bagi membantu individu yang menjadi mangsa pendakwaan politik seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, kempen derma RM10 setiap orang untuk membantu Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini mencecah RM1.85 juta dan akan diteruskan untuk membiayai aktiviti “Sokong, Simpati dan Solidariti bersama Lim Guan Eng 2.0″.

“Apa sahaja baki yang kami ada akan disalurkan kepada parti. Ia adalah sumbangan buat DAP, bukan untuk Lim seorang.

“RM1 juta akan dijadikan wang ikat jamin dan baki yang kami kutip akan disalurkan kepada kempen ini dan parti.

“Kami akan membuat pengumuman dalam dua hingga tiga minggu lagi mengenai cara kita akan menggunakan sumbangan itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Anthony menjelaskan, penderma tidak pernah mempersoalkan kegunaan sumbangan mereka kerana parti itu sentiasa telus mengenai perkara berkenaan.

“Mereka yang menderma yakin terhadap DAP kerana mereka menderma kepada DAP selama ini dan kebimbangan berhubung cara kita menggunakan sumbangan itu tidak dibangkitkan penderma.
“Mereka tahu DAP menggunakan hasil sumbangan itu untuk tujuan politik,” katanya.

Jelasnya, buku akaun DAP juga sentiasa terbuka kepada ahlinya.

“Media juga boleh mendapatkan salinan itu. Saya tidak rasa ada parti politik lain yang membentangkan penyata akaun mereka kepada ahli pada kongres kebangsaan,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyokong kenyataan Anthony itu berkata, parti itu tidak pernah memaksa sesiapa menyumbang bagi menyokong matlamat mereka dan kempen kutipan derma itu sekadar untuk menentang pendakwaan politik dalam negara ini.

“Ia bukan semuanya kerana Lim. Kami memberi platform kami serta pelan kebangkitan dan untuk berbuat demikian, kami perlukan sokongan orang ramai. Satu daripada sokongan yang diperlukan adalah kewangan.

“Jadi, kita menggesa orang ramai terus menderma kepada kami, bukan untuk kepentingan peribadi kami sendiri, tetapi sebagai sebahagian kempen kami untuk menentang Barisan Nasional,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

DAP berjaya mengumpul RM1,009,000 dalam tempoh 21 jam setakat 2 petang 1 Julai lalu untuk menggantikan dana parti yang digunakan bagi membayar wang ikat jamin RM1 juta ditetapkan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Guan Eng, susulan dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya akhir bulan lalu.

Sejumlah RM890,000 dikeluarkan dari akaun DAP Pulau Pinang, manakala RM110,000 disumbang Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur untuk membebaskan Guan Eng.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger