Menurut Ahli Parlimen Taiping itu, beliau tidak pernah memuat naik karikatur tersebut menerusi akuan Facebooknya, sebaliknya ia dilakukan ‘cyber troopers’ yang diupah pihak tertentu untuk memburuk-burukan pemimpin DAP.
Nga berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa pihak polis akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana posting di Facebooknya yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri.
“Saya tidak pernah memuat naik atau mengeluarkan gambar kartun tersebut, sebaliknya saya menjadi mangsa ‘cyber troopers’ yang diupah pihak tertentu untuk memburuk-burukkan pemimpin DAP,” katanya yang juga Pengerusi DAP Perak menerusi kenyataan kepada FMT.
“Pihak polis seharusnya menghabiskan masa mereka dengan memerangi jenayah dan bukann mengalih perhatian melakukan siasatan terhadap wakil rakyat tertentu.
“Saya juga berharap kenyataan saya ini sudah cukup untuk memberi penjelasan sebenar sekali gus menghentikan isu ini daripada terus diputarbelit. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya menghormati Islam sebagai agama persekutuan dan berpegang teguh kepada prinsip yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan sebagai seorang Ahli Parlimen,” katanya.
Kor Ming dikritik selepas dikaitkan dengan karikatur yang dimuatnaik pada 5.15 petang, 6 Julai lalu yang memaparkan kanak-kanak sedia menerima ‘dedak’ (sumbangan) jika tiada duit raya diberikan.
Istilah ‘dedak’ akhir-akhir ini dikaitkan dengan sogokan politik.
Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.
Dua badan bukan kerajaan membuat laporan polis terhadap Nga dan pemimpin DAP itu kini berdepan siasatan pihak berkuasa.
0 ulasan:
Catat Ulasan