Home » , » Seekor ayam RM30 di Kota Bharu

Seekor ayam RM30 di Kota Bharu

Written By Wadah Baru on Sabtu, 9 Julai 2016 | 4:44 PTG

KOTA Bharu: Segelintir peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah di sini mengambil kesempatan sempena sambutan Aidilfitri dengan menjual ayam sehingga RM30 seekor tanpa menggunakan alat penimbang. Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan hari ini.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghani Harun berkata hasil pemeriksaan itu mendapati
ada peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam namun menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.

“KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan
2011.

Beliau berkata peniaga yang diberikan notis diminta memberi jawapan
dalam tempoh dua minggu berhubung kesalahan yang dilakukan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati peniaga mendakwa terpaksa
menaikkan harga ayam kerana dibeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong.
Katanya kesemua cawangan KPDNKK termasuk di Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah turut diarah supaya menjalankan pemeriksaan harga ayam.

Sebelum ini, KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan termasuk ayam dengan
harga RM7.90 sekilogram di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger