Home » , » PKR arah semua lantikan politik di Kelantan letak jawatan serta merta

PKR arah semua lantikan politik di Kelantan letak jawatan serta merta

Written By Wadah Baru on Rabu, 17 Mei 2017 | 8:16 PG

PKR membuat keputusan supaya semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta merta.
Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah berkata, perkara itu telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.
"PKR juga telah membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
"Perkara ini telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan," katanya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Sementara itu, beliau memaklumkan, kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor akan diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR kembali daripada lawatan kerja di luar negara.
"Kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama Datuk Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara," katanya.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.
Sejak perkara itu diputuskan, Azmin belum memberi sebarang kenyataan tentang nasib tiga Exco Pas yang berada dalam barisan Kabinet Negeri Selangor.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau telah bertemu dengan tiga exco berkenaan dan sehingga ini parti itu tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan supaya mereka meletak jawatan oleh Azmin.
Selain itu, Wan Azizah berkata, meskipun PKR menerima keputusan Pas membatalkan kerjasama politik tetapi PKR menolak alasan-alasan yang diberikan Pas.
"PKR menerima keputusan Pas yang telah membuat ketetapan muktamad untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR tetapi PKR menolak alasan-alasan yang telah mereka berikan.
"Ini walaupun PKR telah berusaha untuk menjaga dan melunakkan hubungan di antara kedua-dua parti," katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Justeru, katanya, PKR akan segera mengatur langkah bersama Pakatan Harapan dan sekutu lainnya yang mendukung agenda reformasi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger