Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk kejadian serangan ganas di
London Bridge dan Borough Market, yang menyebabkan enam orang maut dan
sekurang-kurangnya 20 cedera, termasuk seorang anggota polis, baru-baru
ini.
Bagaimanapun, presidennya Mohamad Sabu berkata, harus diingatkan juga
bahawa kejadian serupa berlaku hampir setiap hari di Iraq, Syria,
Yaman, Afghanistan dan beberapa negara Timur Tengah yang lain.
Di negara-negara berkenaan, pasar, masjid, muzium dan tempat orang awam dibom oleh pihak tertentu.
"Saya berasa amat kesal dengan kejadian yang berlaku di Kota London dalam masa dua bulan kebelakangan ini.
"Tindakan mengebom orang awam adalah satu tindakan paling kejam sama
ada atas nama kemanusiaan ataupun atas nama agama," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Menurut laporan, dalam kejadian itu, sebuah van merempuh pejalan
kaki, manakala pengunjung bar dan restoran ditikam dengan pisau. Pegawai
polis terserempak dengan tiga suspek lelaki dan menembak mati mereka di
Borough Market.
Ia merupakan serangan kedua di London selepas satu serangan berlaku di luar bangunan parlimen Britain pada Mac tahun ini.
Mohamad berkata, negara-negara barat yang membiayai pasukan pelampau
di luar perikemanusiaan demi untuk menjalankan kuasa anglo-Amerika dan
kuasa unggul Eropah khasnya di Timur Tengah.
"Kumpulan penyerang ini kadang kala mengisytiharkan diri sebagai
ISIS, atau entah mana-mana kumpulan lagi. Hillary Clinton pernah
mengakui Amerika membiayai pasukan itu dalam kempen ceramah-ceramah
beliau semasa kempen Presiden Amerika," katanya.
Justeru, katanya, walaupun bersimpati dengan dengan serangan dan
pembunuhan yang berlaku di Paris, Jerman, Brussel atau London,
pembunuhan yang berlaku terhadap orang awam di Iraq, Syria, Yaman,
Somalia dan negara-negara lain tidak boleh dilupakan.
"Inilah sikap hipokrit negara-negara barat dan Eropah. Kita simpati
dengan serangan dan pembunuhan yang berlaku di Paris, Jerman, Brussel
atau London. Pada masa yang sama jangan kita lupa kepada pembunuhan yang
berlaku terhadap orang awam di Iraq, Syria, Yaman, Somalia dan
negara-negara lain," katanya.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan