Home » , » PKR tidak terlalu bimbang ‘kontroversi’ Sivarasa di Masjid An-Nur

PKR tidak terlalu bimbang ‘kontroversi’ Sivarasa di Masjid An-Nur

Written By Wadah Baru on Khamis, 1 Jun 2017 | 10:29 PG

PUTRAJAYA: PKR tidak terlalu bimbang mengenai kontroversi membabitkan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, yang dilaporkan mengundang kemarahan Istana Selangor selepas didakwa berceramah di sebuah masjid minggu lalu.
“Saya percaya isu ini akan tidak akan meluap-luap,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, yang juga percaya isu ini tidak akan menjejaskan hubungan parti dan istana.
Beliau juga yakin akan ada komunikasi dengan istana mengenai isu ini.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.
Semalam media melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menyenangi Sivarasa yang dikatakan memasuki dan memberi ceramah di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang 24 Mei lalu, yang terletak dalam kawasan Parlimennya.
Sivarasa hari ini berkata beliau menghadiri acara penyampaian sumbangan RM71,000 kepada wakil surau dan masjid dalam kawasannya atas kapasiti wakil rakyat, dan menafikan beliau berceramah di masjid tersebut.
“Saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada para hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan Selangor untuk terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor,”
“Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai ahli Parlimen macam mana lawatan saya ke surau dan masjid di kawasan Subang membantu saya mendalami fahaman saya berkenaan Islam dan masyarakat Islam” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi mempertahankan rakan partinya, dan berkata kunjungan Sivarasa itu seperti kunjungan ahli politik parti lain.
“Lagipun beliau diundang ke acara itu, jadi tidak elok kalau beliau menolak undangan mereka.”
Fahmi berkata isu itu “diperbesar-besarkan” dan menggesa media memberikan ruang kepada Sivarasa untuk menjelaskan isu itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger