Home » , » Hadkan penggal jawatan PM tanda iltizam politik Harapan

Hadkan penggal jawatan PM tanda iltizam politik Harapan

Written By Wadah Baru on Sabtu, 15 Julai 2017 | 11:09 PG

Mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal membuktikan keazaman Pakatan Harapan (Harapan) untuk melakukan perubahan dalam politik negara, kata ahli jawatankuasa DAP Selangor merangkap ketua Dapsy Subang Edry Faizal.

Malah pemimpin muda Melayu DAP itu juga menyambut baik tiga keputusan penting Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam membabitkan struktur kepimpinan, matlamat utama dan logo Pakatan Harapan.
"Selain dari rekabentuk logo Harapan yang segar, saya melihat ada satu perkara yang benar-benar menonjol dan menarik perhatian. Iaitu antara matlamat Harapan untuk mengehadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja," katanya.
Menurut Edry, walaupun seorang perdana menteri itu bagus dan rakyat mengharapkan kepimpinan yang sama untuk tempoh masa yang panjang, namun pengalaman yang dialami negara menunjukkan sebaliknya.
Beliau memberi contoh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kini dibelenggu skandal 'berskala dunia' seperti 1MDB sehinggalah dasar-dasar yang membebankan rakyat.
"Bayangkan sekiranya perdana menteri seperti beliau dibiarkan memerintah selama berpuluh tahun seperti yang dimahukan BN, buruk padahnya terhadap warga Malaysia," ujarnya.
Tempoh jawatan perdana menteri yang singkat juga, jelas beliau bakal membuka peluang kepada lebih ramai kepimpinan baru yang lebih segar dan membuka jalan kepada orang muda untuk menerajui negara.
"Berbanding BN yang hanya mahu Najib Razak untuk mereka tabalkan sebagai perdana menteri, Harapan mempunyai ramai calon yang jauh lebih baik, berpengalaman dan bersiap sedia memimpin Malaysia menuju masa depan yang lebih baik," katanya.
Edry juga menambah, teraju negara yang hanya dipegang oleh parti yang sama untuk tempoh berpuluh tahun juga membuka terlalu banyak ruang rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme melampau dan pelbagai kebobrokan lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger