Home » , » Kajian diperlukan bagi melindungi anak dilahirkan tidak sah taraf

Kajian diperlukan bagi melindungi anak dilahirkan tidak sah taraf

Written By Wadah Baru on Isnin, 31 Julai 2017 | 11:21 PG

Golongan ulamak dan Mahkamah Syariah di negara ini diseru agar menjalankan kajian bagi memastikan kebajikan anak luar pernikahan terbela sebagaimana anak yang dilahirkan melalui perkahwinan yang sah.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana anak luar pernikahan adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang akan menyumbang kapada pembangunan dan ekonomi negara kelak.
"Sekalipun ada nama bapa yang tertera di surat beranak ianya tidak bererti melepaskan bapa kandung dari bertanggungjawab ke atas kebajikan anak tersebut.

"Saya menyeru kepada golongan ulama dan Mahkamah Syariah mengkaji cara-cara untuk kita pastikan kebajikan anak luar pernikahan ini terjaga seperti mana anak yang dilahirkan melalui perkahwinan yang sah.

"Anak luar penikahan tidak wajar diberi layanan buruk oleh sebab kesilapan yang dibuat oleh sepasang lelaki dan perempuan," ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya pada Khamis membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada tiga hakim yang bersidang, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.

Bagaimanapun ia menimbulkan pertikaian oleh beberapa pihak antaranya Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakariaa yang berpandangan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini menetapkan hanya anak yang lahir selepas enam bulan dua lahzah sahaja boleh dibinkan kepada bapa.
Menurutnya, apa diputuskan Majlis Fatwa itu selari dengan syariat Islam yang diguna pakai di setiap negeri sebagai undang-undang Islam

Manakala Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Mohd Yazid Ramli dipetik berkata, pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada kekal berbin dan binti 'Abdullah' sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ini kerana JPN melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan kes tersebut yang memihak kepada pemohon ke Mahkamah Persekutuan.

Justeru Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mencadangkan tiga menyelesaikan isu berkaitan nasab anak diluar perkahwinana ini.

" Undang-undang syariah mengenai keluarga perlu dipinda untuk melindungi kanak-kanak dan kaum ibu yang terbabit dalam hubungan luar nikah.

"Perlu wujudkan satu ketetapan yang jelas mengatakan bahawa bapa kandung wajib bertanggungjawab ke atas hal ehwal anak

"Dan wujudkan satu persetujuan tanggung jawap membesarkan anak luar nikah oleh bapa kandung sehingga mencecah umur 16 tahun," cadangnya.

Katanya, jika sekadar meletakan "nama bapa" didalam surat beranak tidak membawa erti berbanding dengan memastikan kebajikan anak tersebut terjaga dengan sempurna.

"Ibu yang mahu meletakan nama bapa didalam surat beranak harus rujuk kepada Mahkamah syariah yang bertanggung jawab dan ada kuasa dalam keluarga Islam dan bukan ke mahkamah sivil.

"Kepada anak yang hanya membawa nama ibu tidak patut merasa ganjil terhadap anak-anak yang membawa nama bapa. Apa sekalipun, ibu itulah yang telah bertungkus lumus menjaga dan membesarkan mereka dengan sempurna.

"Pengorbanan seorang ibu tunggal tidak boleh dipersendakan. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal ataupun (Ibu berdaya) harus merasa bangga atas pengorbanan dan dedikasi ibu tersebut dalam membentuk seorang insan walaupun harus lalui caci makian daripada ramai pihak.

"Ibu tunggal (Ibu berdaya )di Malaysia telahpun membuktikan bahawa mereka adalah satu golongan yang berupaya dan mampu membena keluarga tanpa kehadiran dan bantuan pasangan luar nikah.
"Perkara asas ialah membesarkan anak adalah tanggungjawab kedua ibu bapa. Soal nama bukanlah satu isu utama dalam kehidupan anak tersebut. Keutamaan dalam hal ini adalah untuk memastikan anak tersebut dibesarkan dalam keadaan yang sempurna dan juga didedahkan kepada pendidikan awal dan agama yang baik untuk memastikan masa depan yang terjamin.

"Suka saya untuk ingatkan bahawa nama didalam surat beranak tidak membuktikan kebaikan atau keburukan seseorang. Kelakuan kita dan cara kita menangani isu-isu merupakan kekuatan kita untuk menempuh dugaan dan rintangan hidup.

"Akhir kata, Allah SWT adalah pencipta semua umat termasuk golongan anak luar pernikahan, kita berserah kepada Allah SWT untuk mengadili kita di akhirat kelak," tegasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger