Satu petanda jelas kelebihan pemuda Amanah negeri Kelantan dalam
konteks persaingan politik semasa ialah kejayaan mereka menonjolkan diri
secara intensif dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan aplikasi
semasa terkini.
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
mengucapkan syabas kepada sayap pemuda kanan partinya itu, berharap
usaha perlu dibuat untuk meningkatkan lagi mutu dan intensiti dalam
bidang tersebut.
"Bila berada di pertemuan-pertemuan parti di luar Kelantan, saya selalu mendapat ucapan 'Bagus pemuda Kelantan!'.
"Bila ditanya balik apa yang bagus, mereka kata pemuda Kelantan
memang top kuasai media siber," katanya ketika merasmikan konvensyen
tahunan pemuda Amanah negeri Kelantan di kompleks bilik gerakan
pilihanraya Dun Bunut Payong semalam.
Sejarah menunjukkan kata beliau, kejayaan sesebuah gerakan politik
akan bermula bermula dengan gerakan pemuda yang tersusun dan berani.
"Menjelang kejatuhan Umno pada tahun 1990 sekumpulan anak-anak muda
sebahagian besarnya baru keluar dari universiti adalah tonggak utama
yang mengerah rakyat untuk menukar kerajaan.
"Mereka ini memberi komitmen melebihi paras normal dan bekerja dengan penuh pengorbanan tanpa menghiraukan nasib peribadi.
"Antara mereka yang masih boleh disebut hingga sekarang ialah bekas
ketua pemuda Ustaz Muhammad Husin dan setiausahanya ketika itu Datuk
Husam Musa," katanya.
Menurutnya beliau masih ingat bagaimana kumpulan ini membawa masuk ke
dalam gerakan parti penggunaan komputer yang sangat asing kepada orang
ramai waktu itu.
"Bukan saja parti-parti lain seperti Umno tidak kenal komputer malah badan-badan kerajaan belumpun guna komputer pada masa itu.
"Tetapi dengan kesungguhan mereka, komputer menjadi kegunaan utama di
pejabat parti lama kita dan bila berlaku pilihanraya, kita guna
komputer untuk urusan pengundi di bangsal-bangsal panas," katanya.
Pemuda katanya perlu berani membuat inovasi-inovasi baru dan bekerja di luar kebiasaan.
"Kalau tak sanggup buat kerja ini, tak payahlah jadi pemuda, ubah
terus umur anda jadi 50 atau 60," katanya disambut laungan takbir oleh
para perwakilan dan pemerhati.
Usaha menggerakkan parti peringkat awal kata beliau memang memerlukan
pengorbanan besar dan hanya pemuda yang berketrampilan tinggi sanggup
melakukannya.
"Saudara-saudara perlu sedar semua kita terutama pemimpin-pemimpin
terpaksa berkorban apa saja pada peringkat ini dan atas bahu golongan
mudalah untuk menjayakan usaha besar ini.
"Saya yakin dengan prestasi yang telah ditunjukkan pemuda Amanah
Kelantan akan mampu mencipta sejarah besar dan menjulang kejayaan,"
katanya.
Perasmian konvensyen itu turut dihadiri tetamu-tetamu dari pimpinan
Amanah negeri, sayap Awan dan Warda serta pimpinan-pimpinan pemuda
parti-parti komponen Pakatan Harapan.
Pemuda Amanah Kelantan dahului perang siber, dakwa Wan Rahim
Written By Wadah Baru on Ahad, 30 Julai 2017 | 10:53 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan