Home » , » Tidak cukup tunai, rakyat Malaysia kini bergantung kepada kad kredit

Tidak cukup tunai, rakyat Malaysia kini bergantung kepada kad kredit

Written By Wadah Baru on Isnin, 28 Ogos 2017 | 10:37 PG

NUR Azwani Mohd Kamal semacam mengeluh apabila bercerita dia sudah lama tidak berkesempatan pergi bercuti ke tempat-tempat istimewa dengan suami dan anak-anak, seperti rakan-rakannya yang selalu dia lihat berkongsi cerita dan foto percutian mereka di Facebook atau Instagram.

Bukan sebab tiada cuti atau suntuk  masa tetapi duit yang ada di tangan, makan gaji setiap bulan, cukup-cukup untuk buat belanja makan.

Dengan pendapatan isi rumah lebih kurang RM8,000 sebulan, ibu dua anak ini mengaku perbelanjaan bulanan mereka kini sampai berhutang dengan kad kredit.

“Duit kami anak beranak memang cukup-cukup. Itu pun saya sudah berjimat bawa bekal makanan ke pejabat. Kami tidak dapat menyimpan duit. Macam mana hendak menyimpan, belanja pun pakai kad kredit,” katanya.

Pengurus operasi di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya itu kemudian berkongsi senarai perbelanjaan tetap bulanan isi rumahnya yang lain: pengasuh untuk dua anak RM900, belanja dapur RM500, beri mak ayah di kampung RM200 dan minyak kereta RM500.

Suaminya membayar pinjaman perumahan, bil air dan elektrik serta pinjaman peribadi RM80,000 yang mereka ambil ketika hendak melangsungkan perkahwinan dan guna membayar deposit beli rumah.

“Saya dan suami pun dah lama tidak keluar tengok wayang. Kalau nak bercuti mungkinlah sekali dalam setahun, itu pun kalau ada bonus,” tambahnya yang berkahwin sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan dua anak.

Timbalan Menteri Kewangan Lee Chee Leong minggu lalu memberitahu Dewan Negara, 3.6 juta rakyat Malaysia berhutang kad kredit sebanyak RM36.9 bilion manakala 845 orang, berumur kurang daripada 30 tahun diisytiharkan bankrap kerana gagal melangsaikan hutang kad kredit antara Januari hingga Jun tahun ini.

Bloomberg baru-baru ini melaporkan kadar pinjaman kepada simpanan dalam industri perbankan di negara ini meningkat daripada 76% pada Februari 2012 kepada 90% pada Jun 2017. Dalam bahasa mudahnya, ia bermaksud orang lebih banyak berhutang berbanding menyimpan dengan bank.
Shafizul Hadie, 31, adalah antara 3.6 juta rakyat Malaysia yang berhutang kad kredit itu dengan baki tertunggal RM3,000 dan bayaran minimum bulanan RM250.

Kerana tiada simpanan, penolong jurutera di Kota Kemuning, Selangor ini menggunakan kad kredit adakalanya jika ada kecemasan.

"Kadang-kadang kereta kita rosak, saya gunakan untuk baiki kereta. Untuk pastikan baki tertunggak tidak banyak, saya kena kerja lebih masa sampai saya cuti sehari saja seminggu,” katanya.

Shafizul juga merasakan berbelanja dengan kredit kad lebih selamat berbanding meminjam daripada “ah long” sekiranya terdesak.

“Saya ada sejarah tengok sendiri abang saudara saya pinjam ah long. Apabila dia tidak dapat bayar sebab bunga terlampau tinggi, kena ugut. Masalah lain pula jadi.

“Kalau kredit kad, kita bayar jumlah minimum dan hanya kena caj lewat pembayaran kurang daripada RM50,” katanya.

Seorang lagi pemegang kad kredit, Fairuz Karmila kini membayar jumlah minimum RM1,400 untuk dua akaun dengan had kredit berjumlah RM14,000.

Dia yang sudah berkahwin mengaku banyak berbelanja secara hutang untuk melancong semasa masih bujang dan kemudian membeli barang kelengkapan rumah termasuk perabot.

“Saya mengaku selera kita besar; beli mesin basuh yang lebih mahal. Tetapi semenjak ada anak ini hutang meningkat sebab saya beli barang anak. Barang bayi memang mahal,” katanya yang mempunyai pendapatan isi rumah RM6,000 bersama suami.

Fairuz yang menetap di Puchong bekerja di Bangsar, yang jaraknya 20 kilometer. Setiap hari dia menggunakan pengangkutan awam termasuk Uber dan Grab, dan jumlah perbelanjaan untuk pengangkutan pergi balik bekerja saja boleh mencecah antara RM600 hingga RM800 sebulan.

"Saya tidak boleh pergi kerja naik kereta kerana naik kereta kosnya lagi tinggi sebab parking saja dua lima ringgit (RM25). Jadi saya kena naik grabcar atau uber untuk ke LRT dan terus ke tempat kerja.
"Komitmen saya sememangnya tinggi kerana perlu bayar rumah, bil api dan air. Saya juga ada membantu untuk menanggung perbelanjaan orang tua saya. Barang dapur juga saya beli guna kredit kad," katanya

Dewan Negara juga dimaklumkan baru-baru ini 43.6% daripada pemilik kad kredit sudah menyelesaikan hutang mereka sepenuhnya antara enam bulan pertama tahun ini. Baki 12.8% sebaliknya tidak membayar kadar minimum pun sebelum tarikh matang.

Ketua Penganalisis Ekonomi Ambank Research, Anthony Dass bagaimanapun berpendapat jumlah 845 pengguna diisytihar muflis adalah kecil berbanding jumlah pengguna keseluruhan sebanyak 3.6 juta kad kredit.

Malah baginya, penggunaan kad kredit ada manfaatnya kerana menyediakan perkhidmatan pembelian tanpa faedah selain mengurangkan risiko dirompak kerana pengguna tidak membawa wang tunai.

"Tetapi sekarang pengguna bijak menggunakan kad kredit. Ia perlu kerana kadang-kadang yang bergaji kecil tidak cukup untuk tampung tetapi apabila kita dapat bonus terus boleh langsaikan.

"Dan beli perabot misalnya banyak yang tiada faedah dalam tempoh setahun, jadi buat apa kita guna tunai. Baik wang tunai simpan untuk kecemasan,” katanya

Namun, katanya ada segelintir pengguna gagal mengawal nafsu dan membeli barang di luar kemampuan mereka sehingga terpaksa mendapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatur semula kewangan mereka.

"Kadang-kadang ia bergantung kepada cara hidup mereka. Mereka suka berbelanja lebih. Mungkin mereka beli baju mahal-mahal dan lain-lain walaupun tahu kemampuan mereka,” katanya.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Abu Hassan Alshari Yahaya dilapor mendedahkan separuh daripada rakyat negara ini jatuh miskin kerana tidak tahu menguruskan kewangan diikuti gagal dalam perniagaan, kos sara hidup yang tinggi selepas bersara, kos perubatan tinggi dan hilang pekerjaan.

Beliau juga dipetik berkata 38% generasi muda di Malaysia mempunyai pinjaman peribadi, 47% mempunyai hutang kad kredit, kira-kira 70% hanya membayar kadar terendah 5% hutang kad kredit dan 45% tidak mampu menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger