Harga minyak yang ditetapkan pada minggu ini sepatutnya lebih rendah,
apatah lagi selepas kenaikan selama 10 minggu sejak Julai lalu, kata
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).
Naib Ketuanya Shazni Munir Muhd Ithnin berkata, penurunan yang
diumumkan kerajaan dua hari lalu masih belum memadai untuk menangani kos
perbelanjaan harian yang tinggi.
"Khususnya bagi pasangan muda yang sedang membina keluarga.
"Dengan beberapa mekanisme tabungan yang praktikal, harga RON95
sebenarnya boleh turun sekurang-kurangnya sebanyak RM0.31, iaitu ke
paras RM1.90 seliter," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagi minggu ini, harga runcit RON95 ditetapkan RM2.19 seliter (2sen
lebih murah) manakala RON97 pada RM2.49 seliter (turun 3sen). Harga
diesel pula RM2.10 seliter (turun 4sen).
Beliau juga berkata ragu dengan kaedah penetapan harga mingguan
berasaskan mekanisme harga automatik (APM) tidak benar-benar telus.
"Ada yang mengesyaki kerajaan mengaut untung tinggi apabila harga
runcit minyak tidak berubah banyak sedangkan ringgit ketika ini mencecah
kadar tertinggi dalam tempoh 10 bulan," katanya.
Justeru, beliau meminta kerajaan menyatakan nilai 'alpha' yang digunakan dalam pengiraan harga minyak ketika ini.
'Alpha' adalah nilai perbezaan antara harga Mean of Platts Singapore
(MOPS) dengan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak. Nilai itu
diambil kira dalam formula menentukan harga minyak.
Pada 11 September lalu, Pemuda AMANAH mengadakan protes di beberapa
lokasi di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga minyak.
"Protes itu pastinya dapat membuatkan orang ramai lebih cakna dan
vokal mempersoal inisiatif kerajaan dalam menangani ketidaktentuan harga
minyak," katanya lagi.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan