Home » , » 'PAS timbang tangguh RUU355 sebab pengundi atas pagar'

'PAS timbang tangguh RUU355 sebab pengundi atas pagar'

Written By Wadah Baru on Selasa, 17 Oktober 2017 | 3:51 PTG

PAS mungkin akan menangguhkan pembentangan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 selepas pilihan raya umum ke-14 kerana bimbang dengan sokongan pengundi atas pagar, kata penganalisis politik.

Mereka berkata, sementara penyokong parti akan tetap mengundi calon PAS, isu tersebut mampu menentukan sokongan pengundi atas pagar terhadap parti itu.

"Penyokong tidak perlukan kelulusan RUU355, sokongan mereka berprinsipkan ideologi politik parti.

"Yang perlu diyakinkan adalah sokongan pengundi atas pagar," kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, isu itu juga mampu mencetuskan perbezaan pandangan yang boleh menggugat sokongan ketika PRU.

Katanya lagi, PAS akan mengubah strateginya - sama ada untuk terus membawa RUU itu atau tidak - berdasarkan sokongan yang diterima pada PRU itu nanti.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed memaklumkan parti itu kini sedang menimbang untuk sekali lagi menangguhkan pembentangan RUU itu, kali ini selepas PRU ke-14.

Beliau berkata, langkah itu wajar diambil jika ia belum mendapat sokongan yang cukup untuk diluluskan pada masa ini.

“Jadi (untuk capai kemenangan itu), kita kena buat perkiraan kalau orang Umno, bahkan Islam yang lain tidak sokong, lebih baik tangguhkan dulu,” kata Mahfodz kepada Malaysiakini.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata hanya PAS mengetahui sebab sebenar langkah itu.
"Tetapi mungkin ia melibatkan sokongan rakyat.

"Sukar untuk PAS menang PRU kalau mendapat sokongan satu kaum sahaja. Kalau di Terengganu dan Kelantan itu ada kemungkinan untuk Pas berkuasa," katanya seperti dipetik laporan itu.
RUU itu pertama kali dibentang oleh Presiden PAS merangkap anggota parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei 2016, dan bertujuan meningkatkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan pada masa ini.

Pada sidang Ogos lalu, RUU itu sekali lagi ditangguh selepas pembentangan untuk kali ketiga.
Dewan Rakyat akan kembali bersidang bermula 23 Oktober hingga 30 November ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger