Oleh Zin Mahmud
Adun PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, menyertai Pakatan
Harapan (PH) melalui PPBM. Beliau keluar PAS bukanlah sesuatu yang
mengejutkan. Apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa memilih PPBM,
dan bukan Amanah.
Maka dalam sidang akhbar perisytiharan penyertaan beliau itu, tidak
hairanlah soalan itu dikemukakan. Dijawabnya bahawa tidak semestinya
seseorang yang keluar PAS itu menyertai Amanah. Kalaupun ada tanggapan
bahawa bekas ahli PAS mesti menyertai Amanah, maka beliau adalah
pengecualian.
Namun ketika berucap setelah perisytiharan masuk PPBM, Amiruddin
lebih menekankan kepada keperluan pembangkang bersatu untuk menghadapi
Barisan Nasional (BN). Beliau memetik kata-kata Pengerusi PH Tun Dr
Mahathir Mohamad bahawa parti kerajaan persekutuan itu bukanlah kuat
sangat. Ia dapat sentiasa menang kerana pihak pembangkang tidak bersatu.
Untuk itu, Amiruddin percaya parti pembangkang perlu bersatu dan kali
ini melalui PH. Beliau berkata, sebelum keputusannya menyertai PH,
beliau berbincang dengan Pesuruhjaya PAS Kedah sama ada parti itu akan
bersama dengan PH untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Walaupun PAS tidak menyertai PH, sekurang-kurangnya bersama gabungan
itu dalam bentuk PH Plus, iaitu PAS bekerjasama dengan PH, seperti mana
kedudukan PPBM sebelum masuk PH.
Amiruddin juga menekankan keperluan kerjasama antara pelbagai kaum
bagi pihak pembangkang. Maknanya perlu ada gabungan parti seperti PH
yang boleh mewakili pelbagai kaum.
PPBM adalah parti yang dianggotai oleh Bumiputera, tanpa mengambil
kira agama. Sementara parti lain dalam PH, DAP, PKR dan Amanah membuka
keahlian kepada semua kaum dan agama.
Cumanya majoriti ahli DAP ialah dari kalangan kaum Cina. Sementara majoriti ahli PKR, PPBM dan Amanah adalah orang Melayu.
PAS pula dianggotai oleh orang Islam, tanpa mengira kaum. Tetapi
tentulah majoriti ahlinya adalah orang Melayu. Jika seseorang hendak
memilih pihak yang pelbagai kaum dan agama, maka mereka tentu memihak
kepada PH.
Setelah didapati tiada kemungkinan PAS bekerjasama dengan PH, maka
Amiruddin mengambil keputusan untuk keluar parti itu. Maka untuk memilih
parti, beliau ada 4 pilihan. Tetapi jika hendak memilih parti
bermajoritikan Melayu, maka beliau boleh memilih PKR, Amanah atau PPBM.
Dari segi fahaman politik, DAP dan PKR mempunyai persamaan kerana
kedua-duanya adalah dalam jalur tengah kiri, iaitu demokrasi liberal
dengan memiliki nilai demokrasi sosial. Fahaman rasmi DAP ialah
sosialisme demokrasi sementara PKR adalah asalnya merupakan gabungan
Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berfahaman
sosialisme.
Namun sebagai parti yang asalnya ditubuhkan oleh bekas ahli Umno, PKR
adalah serupa dengan PPBM. Cuma PKR adalah asalnya parti menentang Dr
Mahathir, yang kini bukan saja menjadi pengerusi PPBM tetapi juga
Pengerusi PH.
Anwarisme
Tetapi dari segi asal usul idealisme perjuangan, oleh kerana PKR
dihidupkan atas dokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka ia
berkisar pada pemikiran beliau, atau boleh disebut sebagai Anwarisme.
Tetapi Anwarisme inilah, sejak kegiatan beliau dalam Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim) pada 1970-an, mewarnai satu generasi anak muda.
Antara mereka kemudiannya menyertai Umno bersama beliau sementara
sebahagian besar yang lain pula memilih untuk masuk PAS, bersama bekas
timbalan kepada Anwar semasa dalam Abim, Datuk Fadzil Noor.
Anwar kemudian berganding dengan Dr Mahathir dalam Umno yang selepas diisytihar haram menjadi Umno Baru.
Gandingan Mahathir-Anwar merupakan barisan kuat bagi menentang PAS
pimpinan Fadzil pada sepanjang 1980-an. Tetapi apabila Mahathir dan
Anwar bertembung, Fadzil dan PAS berperanan membela bekas timbalan
presiden Umno dan gerakan Reformasi hingga melahirkan Keadilan yang
kemudian menjadi PKR, dan juga Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Antara sebab berlakunya krisis dalaman PAS ialah pengganti Fadzil
iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP
dan menolak pujukan Anwar dan PKR hingga membawa kepada pembubaran
Pakatan Rakyat.
Sebaliknya, PAS bermesra dengan Umno.
Maka golongan yang menolak sikap Hadi itu beranggapan diri mereka
berpegang pada dasar Fadzil dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dengan
ketiadaannya membawa kepada perubahan dasar PAS.
Golongan ini bukan saja dipanggil sebagai profesional, progresif,
“Erdogan”, tetapi juga Anwariyun atau Anwarista. Mereka inilah yang
membentuk Amanah dan membawa kepada penubuhan PH.
Maka Amanah tentulah berfahaman politik Islam, iaitu serupa dengan
PAS. Bezanya Amanah dilihat berfahaman progresif serta inklusif dan PAS
adalah konservatif serta eksklusif.
Apabila PAS enggan bekerjasama hingga membawa kepada pembubaran
Pakatan Rakyat, sebahagian ahlinya keluar dan Amanah dan menggerakkan
usaha menubuhkan PH bagi menggantikan Pakatan Rakyat.
Mahathirisme
Sebagai parti yang dianggotai bekas ahli UMNO, PPBM mempunyai fahaman
serupa dengan parti pemerintah. Iaitu nasionalis Melayu pragmatik
berasaskan pemikiran Dr Mahathir atau boleh disebut sebagai
Mahathirisme.
Perbezaan antara Umno dan PPBM terletak pada kaitan mereka dengan
Datuk Seri Najib Razak. Umno diketuai Najib sementara PPBM menentang
perdana menteri itu dengan isu terbesarnya adalah berkaitan 1MDB.
Sementara Amiruddin pula adalah sebahagian daripada generasi muda
yang cenderung pada gerakan Islam pada tahun 1980-an. Tetapi beliau
bukannya dari kalangan Abim. Beliau adalah dipercayai dari golongan apa
yang dipanggil sebagai Islamic Representative Council atau IRC seperti
mana banyak golongan profesional muda Melayu terutama jurutera yang
cenderung pada Islam.
Sebahagian daripada aktivis IRC ini menubuhkan persatuan Jemaah Islah
Malaysia (JIM) yang mana dilaporkan Amiruddin adalah anggotanya.
Sebahagian daripada ahli JIM turut menyertai PAS. Fadzil memberi
ruang pada semua aliran gerakan Islam termasuk IRC atau JIM untuk
menyertai PAS. Malah apabila Fadzil meninggal dunia, Amiruddin dipilih
oleh parti untuk menggantikan Fadzil bagi kawasan DUN Anak Bukit yang
merupakan kubu PAS.
JIM kemudian dibubarkan dengan sebahagian ahlinya mewujudkan
Pertubuhan Ikram Malaysia. Apabila Amanah ditubuhkan adalah diperhatikan
bahawa umumnya kalangan Ikram menyertai atau turut memberi sumbangan
pada usaha menggerakkan Amanah.
Harum manis
Amiruddin yang dilihat sebagai
golongan profesional dan progresif
tidak pula terus menyertai Amanah. Namun beliau adalah antara pemimpin
PAS negeri yang disebut sebagai harum manis.
Istilah harum manis digunakan untuk mereka yang masih merupakan ahli
PAS tetapi jiwanya adalah pada Amanah. Buah mangga harum manis berkulit
hijau tetapi isi oren. Hijau adalah warna PAS dan oren adalah Amanah.
Adalah dilaporkan juga bahawa Amiruddin turut hadir dalam
program-program Amanah termasuk Konvensyen Nasional parti itu yang
diadakan di Alor Setar tidak lama dahulu.
Tetapi mengapakah Amiruddin menyertai PPBM dan bukannya Amanah?
Apa yang dikatakan harum manis telah menjadi merah. Jawapan beliau
dalam sidang akhbar itu hanyalah menyebut bekas PAS tidak semestinya
masuk Amanah. Memang benar katanya tetapi ia bukan jawapan.
Adalah dipercayai langkah Amiruddin itu bukannya ideologikal tetapi
taktikal. Sebelum sidang akhbar itu, mesyuarat PPBM adalah mengenai
pembahagian kawasan antara parti-parti PH di Kedah.
Dalam sidang akhbar itu, Timbalan Presiden PPBM yang juga Naib
Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan bahawa pembahagian
kerusi di kalangan PH sudah diputuskan walaupun ia tidak boleh diumumkan
lagi.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan