Home » , » Amanah akan teruskan legasi Tuan Guru Nik Aziz

Amanah akan teruskan legasi Tuan Guru Nik Aziz

Written By Wadah Baru on Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:18 PG

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat berpandangan jauh dalam meluaskan
konsep dakwah kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah)  Mazlan Aliman.

Mazlan berkata Tuan Guru Nik Aziz selalu berpesan agar mendekati masyarakat bukan Islam dan menekankan konsep Rahmatan lil Alamin (rahmat untuk sekelian alam).

“Tok Guru Nik Aziz selalu berkata, kita dengan orang Melayu sudah terlalu biasa. Kita hidup dalam lingkungan orang Melayu. Pada umumnya orang Melayu ni Islam cuma yang kurang pada orang Melayu ialah penghayatan, tapi yang penting sejauh mana dakwah kepada orang bukan Islam yang sepatutnya diberi keutamaan.

“Beliau selalu sebut tentang konsep Rahmatan lil Alamin dan pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang konsep dakwah sangat jauh,” katanya

Mengimbau kenangan bersama kepimpinan bekas Mursyidul Am Pas itu, Mazlan berkata, sewaktu beliau menjadi ketua penerangan Pas Johor, Tuan Guru Nik Aziz akan meminta setiap program Pas di negeri itu disertai masyarakat bukan Islam.

"Saya pernah dua kali menjadi ketua penerangan Pas Johor. Kelebihan yang ada pada Tok Guru Nik Aziz, apabila kita hantar proposal program kepada beliau, antara perkara yang perlu ada dalam aturcara program adalah program bersama masyarakat nonmuslim.
“Pernah satu ketika tak ada aktiviti bersama masyarakat nonmuslim dalam program dan Tok Guru Nik Aziz menyatakan perasaan terkilan.
Walaupun tinggal seminggu lagi sebelum program, beliau minta dimasukkan program dengan orang Cina dan India sama ada dialog atau sebagainya,” cerita Mazlan yang pernah menganggotai jawatankuasa Pas Pusat.

Sambil mengakui jasa Tuan Guru Nik Aziz sangat besar dalam mengukuhkan perpaduan nasional di negara ini, Mazlan berkata, Amanah akan meneruskan usaha murni Tuan Guru Nik Aziz dalam memastikan keharmonian antara kaum dan menepis sikap perkauman sempit.

“Amanah akan menjadikan dakwah terhadap nonmuslim sebagai agenda utama untuk meredakan prasangka dan menjadikan kehidupan rakyat pelbagai kaum di negara ini aman dan harmoni.
“Kalau Tuan Guru Nik Aziz sangat menekankan keluasan dakwah, kenapa kita nak kembali ke belakang dengan mengamalkan perkauman sempit?

“Saya nak menepis tuduhan kita (Amanah) ikut telunjuk orang bukan Islam itu tidak benar sama sekali tapi tuduhan itu menunjukkan betapa rasisnya kita,” ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger