Oleh AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Lewat perbualan saya dengan beberapa rakan aktivis gerakan wanita daripada pelbagai latar belakang dan usia berkaitan Politik Malaysia, perhatian kami akhirnya tertumpu kepada beberapa persoalan ;
1)Apakah gagasan dan program-program Parti Amanah Negara khususnya menerusi Angkatan Wanitanya iaitu AWAN?
2)Bagaimana AWAN mungkin boleh mencari ruang dalam partisipasi politiknya yang begitu mencabar?
3)Apakah sekadar mengulangi ruang yang sama atau upaya meneroka ruang-ruang peranan yang baru?
4)Apakah AWAN hanya wujud secara tipikal dalam sebuah parti politik, sekadar ada tetapi akan selalunya dipandang sebelah mata?
5)Apakah status AWAN adalah umpama "nasi tambah" atau AWAN juga adalah "stakeholders" yang penting dalam menentu halatuju dan halacara AMANAH ?
6)Sejauhmanakah pula politik patriaki yang mewajahi Malaysia akan turut membadi fungsi dan peranan AWAN? Akhir sekali,
7)Apakah AMANAH sejujurnya mampu menyediakan ruang-ruang baru itu kepada para penggerak wanitanya, atau AMANAH nantinya akan sama sahaja seperti yang lain; mengulangi politik kesenjangan, politik perulangan tetapi mengharapkan natijah yang berbeda ?
Jujur, saya berminat dengan semua perbincangan serta perbahasan itu. Bahkan bersyukur kerana masih ada yang mampu berfikir secara konsistan kritikal dalam hal-hal yang bersangkutan "empowerment and positioning woman". Saya hatta meyakini ia hasil daripada pemerhatian yang empirikal terhadap galur susur perjuangan gerakan wanita itu sendiri, khususnya dalam konteks Malaysia sejak sebelum merdeka.
Hemat saya, meskipun AWAN dan AMANAH ini adalah parti baru atau lebih tepat "rebranding" daripada parti lama iaitu Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada sebuah parti bernuansakan Islam Rahmatan lil 'alamiin ; tetapi majoriti penggeraknya adalah pemimpin-pemimpin politik yang lama, teruji, vokal bahkan aktivis pelbagai lapangan dan segmen.
Kerja buat di hadapan ini adalah bersifat penerusan dan kesinambungan segala usaha yang telah dibuat sebelum-sebelumnya. Ia bukanlah satu permulaan, tetapi ia adalah keyakinan bahawa di sana jelas ada "Harapan Baru" untuk semua. Harapan Baru yang digerakkan oleh satu kebangkitan baru kelompok progresif Islam yang tersingkir dengan cara cukup sadis di dalam wadah sebelumnya.
FirmanulLah dalam Surah An Nahl, ayat 41, mafhumnya...
"Dan orang-orang yang berhijrah dalam keredhaan Allah sesudah mereka didzalimi, sesungguhnya kami menempatkan mereka di dunia di negeri yang baik. Dan sesungguhnya pahala akhirat lebih besar jika mereka mengetahui."
Asas peralihan - hijrah dan semangat berani berubah ini hakikatnya adalah didorong oleh keyakinan kita semua bahawa ISLAM adalah agama Rahmah dan ramah yang teguh mendukung Dakwah dan Islah. Bukannya agama yang marah-marah, seringkali prejudis hatta sesama Islam, berterusan menyemarakkan api permusuhan . Jauh sekali daripada bersikap flip flop atau konsistan untuk tidak konsistan @ inconsistent.
Wanita di dalam AWAN bersama mendokong perjuangan AMANAH justeru kerana meyakini bahawa parti ini membawa misi penyelamat dan agenda kasih sayang yang terangkum dalam semangat Islam sebagai Rahmat untuk semua. Ini termasuklah perjuangan :
1) menyelamatkan rakyat dan negara daripada kemusnahan akibat kerakusan regim umno bn
2) menolak perkauman dan sekretarian
3) menghormati dan meraikan kepelbagaian
4) mengamalkan politik dialog, kolisi, perpaduan, kerjasama dan muafakat
5) menentang budaya takfiri, politik benci dan fitnah
6) menuntut good governance, ketelusan, akauntabiliti dan keadilan untuk semua
7) mengamalkan politik baru dan masa depan sebagai persiapan membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.
AWAN didokong oleh kelompok kepimpinan dan aktivis wanita yang pro Pakatan Rakyat (PR), yakni pro tahaaluf siasih di kalangan parti-parti pembangkang Malaysia sejak tahun 2008. Ini adalah penanda aras yang sangat penting dalam memahami serta menilai keupayaan AWAN berdiri seterusnya beraksi bagi menjayakan perjuangan bersama.
Mengimbau pengalaman bersama PR, pernah berulangkali kelompok pro PR ini juga disindir sebagai pihak yang tidak memahami batas-batas "tahaaluf"; dengan sindiran tajam yang menyifatkan mereka ini mahu mati bersama PR. Malahan mereka dituduh akhirnya sebagai kelompok yang tidak jelas fikrah. Barangkali sindiran dan sigungan ini hanyalah bagi melegitimasikan hasrat meneroka kerjasama politik baru yang lebih menguntungkan. Mendapat peranan mudah seperti contohnya Penasihat Kerajaan Regim, menduduki posisi penting dalam politik Malaysia tanpa perlu bersusah dan bekerja untuk menang. Bukan?
Jika tidak, mengapa prejudis dengan tahaaluf yang sudahpun memperlihatkan kejayaannya kini? Sehingga ke hari ini sahaja pun, tahaaluf PR ini diulas dengan pelbagai versi mengikut sedap rasa pemimpin politik masing-masing. Kerjasama putus, tetapi masih mahu duduk di dalam Kerajaan Pakatan yang menguntungkan, begitu barangkali? Soal politik persepsi dan seumpamanya itu seolah tidak lagi penting buat mereka, tetapi saya yakin dan percaya rakyat sedang menilai dan akan membuat keputusan penting dalam PRU14 nanti.
Berbalik kepada peranan AWAN dan kedudukannya sebagai pro PR atau yang terkini dinamakan sebagai Pakatan Harapan (PH), maka tentulah komitmen asas AWAN ialah terus mendokong teguh Dasar-Dasar Bersama yang sudahpun terdahulu dilancar dan diperturunkan kepada rakyat seluruh negara, sepertimana yang terangkum di dalam Dokumen Jingga.
Kerjasama PR mungkin sudah terlerai akibat pelbagai sikap dan tindak, namun dasar bersama itu wajar diteruskan menerusi pakatan baru iaitulah Pakatan Harapan Rakyat (PH). Jika pun ada yang perlu ditambahbaik, maka cukup dengan usaha tambahbaik itu memandangkan tiada yang salah terhadap Dasar-Dasar Bersama itu. Masalah sebelum ini ialah tiadanya "Disiplin Berpakat", bukannya salah pada Dasar, Agenda dan juga Tawaran yang sudah pun sebelum ini kita bawa ke khalayak rakyat dengan jayanya sehingga 52% undi popular PRU13 berpihak kepada kita di dalam PR.
Apakah Dasar-Dasar Bersama itu?
1) Demokrasi telus dan tulen ;
2) Ekonomi berprestasi tinggi, mapan dan adil ;
3) Keadilan sosial dan pembangunan insan ;
4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Hubungan Luar.
Semua ini menepati prinsip dan ciri-ciri Islam yang berupa Rahmat kepada semua. Justeru, ianya kekal kita angkat malahan kita juga konsistan memperjuangkannya.
Demikian juga dengan agenda khusus tumpuan perjuangan Wanita yang kita gagaskan sebelum ini. Saya masih ingat, betapa saya sendiri terlibat dalam komiti pencernaan dan persiapan Agenda Wanita Malaysia tersebut.
Terdapat 7 tuju tumpu semuanya. Selari dengan pendirian kita bahawa perjuangan AWAN/ AMANAH adalah satu penerusan dan kesinambungan, maka 7 tuju tumpu ini kekal menjadi kerangka utama program-program yang kita sedang dan akan inisiatifkan.
Apakah 7 tumpu itu?
1) Pendidikan
2) Kesihatan
3) Ekonomi
4) Sosial
5) Pendemokrasian Politik
6) Undang-undang
7) Agenda Wanita Muda
Selari dengan misi Islam itu rahmat juga, maka falsafah "martabat dan hormat wanita merentas setiap dasar dan program", sama ada di peringkat parti, kerajaan atau pun lain-lain badan berkaitan adalah kekal dipakai. Bahkan komitmen AWAN adalah untuk memperturunkan faham dan pelaksanaannya secara lebih tersusun ke semua peringkat di seluruh negara.
AWAN Nasional julung-julung kalinya akan mengadakan Permukiman Angkatan Wanita Amanah Negara pada 21-22 November 2015 nanti. Terdapat 3 segmen tumpuan awal untuk kita berdayakan bagi mempersiapkan setiap entiti AWAN untuk berpencak di arus mainstream politik tanahair. 3 segmen tersebut ialah :
1. (memperkemas) struktur organisasi AWAN
2. (menetapkan) dasar dan program, mencakupi jangka pendek dan jangka panjang
3. (memperkemaskan) persiapan PRU14
Darihal memperkemaskan STRUKTUR AWAN, ia adalah satu usaha bagi melengkapkan pasukan kerja AWAN di semua peringkat Pusat, Negeri, Parlimen dan juga Cawangan. Ini sangat penting bagi memastikan kelancaran kerjabuat AWAN dan seterusnya sebagai satu latihan politik kepedulian yang pertama di kalangan penggerak AWAN itu sendiri.
Manakala darihal DASAR; terdapat 3 perkara berkaitan DASAR yang AWAN akan tekankan iaitu :
1) mestilah mengambilkira dasar-dasar nasional berkaitan wanita, keluarga, kanak-kanak dan masyarakat
2) falsafah martabat dan hormat wanita
3) memperkenal gagasan "Politik Kepedulian Wanita".
Politik Kepedulian Wanita itu sendiri membawa 4 hasrat besarnya iaitu :
1) menanam benih kasih sayang di kalangan masyarakat berbilang (we are here, in this world to plant seeds of love and not hatred)
2) mengembalikan kesejahteraan hidup keluarga dan masyarakat dengan penekanan terhadap keselamatan serta kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat
3) to empower and positioning woman dalam pelbagai bidang dan di setiap peringkat masyarakat sebagai pemangkin rahmat, mengambilkira faktor kekuatannya melalui sifat kasih sayang dan keprihatinan wanita yang tinggi
4) memastikan partisipasi yakni suara wanita di setiap peringkat pembuat dasar dan keputusan, juga dalam pelbagai segmen
Seterusnya darihal PROGRAM, terdapat 7 program strategik yang akan dibrainstormkan oleh penggerak AWAN seluruh negara sempena permukiman AWAN Nasional itu nanti.
Ketujuh-tujuh program tersebut adalah bakal merangkumi 7 tumpu Agenda Wanita Malaysia sebelum ini.
7 program strategik ini juga akan dibangunkan dan diperturunkan dalam bentuk jenama seragam yang akan digerakkan AWAN seluruh negara. Tujuannya adalah menyampaikan "standard messaging" kepada khalayak rakyat jelata khususnya pengundi-pengundi PRU14 akan datang.
Adapun 7 program strategik ini tidaklah dapat saya detailkan di sini, selain menyebutkan ia adalah program penting yang wajib digerakkan oleh kepimpinan dan aktivis AWAN seluruh negara dengan penuh semangat, kebijaksanaan, ketersusunan dan kepedulian yang tinggi.
Seterusnya darihal persiapan PRU14, AWAN komited bersama-sama memastikan kejayaan PH di dalam setiap kerusi pilihan raya yang ditandinginya dan rakan-rakan PH. Sekaligus tidak akan memberi laluan mudah kepada regim atau mana-mana rakan kolisinya atas nama apapun atau atas semangat apa pun. Justeru kerana AWAN yakin dan percaya, mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran negara adalah melalui cara menamatkan pemerintahan regim yang sekian lama merosakkan asas dan kekuatan ekonomi rakyat dan negara.
Untuk itu, AWAN komited mendepani keperluan PRU14 ini dengan berbekalkan kekuatan fakta dan data. Sekaligus menghalusi persiapan teknikal dan taktikal yang sewajarnya di semua peringkat gerakerja pilihan raya khususnya jentera AWAN itu sendiri dan amnya jentera Amanah keseluruhannya.
FirmanulLah dalam Surah At Taubah, ayat 105:
"Dan katakanlah : 'Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaan mu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yg telah kamu kerjakan.'"
🅰🅰🅰
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Timbalan Ketua
AWAN NASIONAL
Parti Amanah Negara (AMANAH)
4 November 2015, 18:43
Teluk Intan, Perak.
Kesinambungan Perjuangan Wanita Untuk Rakyat Malaysia
Written By Wadah Baru on Rabu, 4 November 2015 | 3:59 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan