Home » » Gerakan Harapan Baru mempunyai potensi untuk berkembang

Gerakan Harapan Baru mempunyai potensi untuk berkembang

Written By Wadah Baru on Isnin, 27 Julai 2015 | 9:34 PG

Oleh Kamarudin Musa


Usaha penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) nampaknya telah mendapat reaksi yang pelbagai dan telah mencetuskan satu rangsangan politik sosial yang begitu kuat.

Terdapat pelbagai ulasan dalam pelbagai dimensi, pro dan kontra berhubung dengan usaha untuk menzahirkan GHB, keadaan ini menunjukkan bahawa GHB mempunyai impak ke atas usaha untuk membentuk landskap politik Malaysia berpaksikan tindak balas terhadap keperluan perubahan sosial, pemikiran, ideologi dan matlamat politik sejajar dengan dengan perubahan persekitraran global.

GHB mempunyai potensi untuk berkembang dan seterusnya mempengaruhi perjalanan politik Malaysia sejajar dengan tuntutan pembentukan dimensi politik baru.

 Soal penubuhan gerakan sosial baru dan parti politik baru bukan merupakan sesuatu yang pelik dan tidak perlu ditanggapi secara negatif, kerana ia merupakan proses demokrasi.

 Soal kelangsungan jangka hayat, bukan merupakan sesuatu yang mutlak, biarpun dalam konteks penubuhan GHB sebagai landasan penzahiran sebuah parti baru, telah muncul pelbagai ramalan, dan secara umumnya terdapat ramai pihak yang skeptis dan berpandangan penuh curiga.

Namun apa pun keadaannya, inisiatif kepada kelahiran sebuah parti baru merupakan sesuatu positif dalam konteks memperkukuh demokrasi dan pada masa yang sama membawa “worldview” dalam konteks tingkah laku politik, persepsi politik dan pendekatan politik bersesuaian dengan peningkatan kesedaran politik baru dalam kalangan masyrakat. Potensi untuk GHB terus berkembang dan seterusnya berperanan aktif dalam landskap politik Malaysia khususnya, bergantung sepenuhnya kepada keupayaan dan kemampuan GHB untuk bertindak balas terhadap soalan-soalan berikut;

1. Apakah justifikasi praktis yang mewajarkan penubuhan GHB dalam konteks perjuangan politik Islam dan keterlibatan dalam usaha untuk membentuk senario politik baru?

2. Bagaimana GHB dapat membuktikan bahawa GHB benar-benar organisasi yang relevan dalam menggerakkan perubahan politik berpaksikan politik Islam?

3. Apakah asas praktikal pemikiran dan ideologi politik yang menjadi taruhan GHB yang membezakan GHB dengan PAS?

4. Apakah pendekatan yang akan diambil oleh GHB untuk berhadapan dengan “serangan serta adu domba” daripada kalangan para pengikut PAS dan meyakinkan bakal-bakal ahli bahawaGHB lebih profesional dalam menangani setiap isu dan cabaran yang dicetuskan oleh pihak luar khususnya PAS sebagai pesaing utama?

5. Bagaimanakah GHB boleh berfungsi dengan berkesan dalam menyuarakan isu-isu dan kepentingan rakyat serta menjadi juara membela rakyat daripada dasar-dasar UMNO-BN yang tidak mesra rakyat?

6. Bagaimanakah GHB dapat meyakinkan masyarakat umum bahawa dasar, visi, misi, ideologi dan pemikiran Islam GHB bukan sahaja bersesuaian dengan tuntutan politik Islam tetapi menepati keperluan pemantapan aqidah, akhlak, syariah dan muamalat?

7. Bagaimanakah GHB boleh membebaskan diri daripada persepsi umum (khususnya dalam kalangan PAS), bahawa GHB merupakan gerakan yang tercetus hasil daripada “kekecewaan politik”?

8. Apakah landasan tindakan dan gerak kerja yang boleh dieksploit oleh GHB untuk membezakan GHB dengan PAS, bagi membolehkan GBH benar-benar dikenali dengan jenamanya yang tersendiri?

9. Apakah dasar dan tindakan praktis GHB untuk membolehkan GHB diterima dalam konteks masyarakat pelbagai budaya untuk membolehkan Islam dilihat sebagai faktor penyatu?

10. Bagaimana GHB boleh meyakin masyarakat umum bahawa GHB mempunyai keupayaan untuk mencetuskan fenomena politik masa depan, dengan mengambil kira perubahan sosial, ekonomi, persekitaran global dan juga keperluan setempat?

11. Bagaimanakah GHB dapat meyakinkan bukan muslim bahawa mereka mempunyai peluang yang lebih terbuka dan luas untuk terlibat dalam lingkungan penyertaan politik, bukan sahaja sebagai ahli tetapi juga dalam menentukan dasar-dasar praktis GHB berteraskan politik Islam?

12. Bagaimanakah GHB boleh meyakinkan dalam kalangan masyarakat Islam bahaw GHB mempunyai perjuangan Islam yang tuntas dan tidak akan berkompromi dengan prinsip dan dasar Islam, khususnya dalam berhadapan dengan pemikiran dan ideologi anti Islam?

13. Apakah pendekatan yang akan diambil kira oleh GHB untuk menggabungkan parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan sosial dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bukan Islam untuk berada dalam satu barisan tanpa mengorbankan dasar perjuangan Islam?

14. Bagaimana GHB boleh berperanan secara aktif dalam mendefinisi persekitaran politik Malaysia dengan mengambil kira kewujudan masyarakat pelbagai bangsa dan dalam konteks kewujudan PAS itu sendiri samada sebagai pesaing atau pencabar kepada GHB?

15. Apakah pendekatan, kaedah dan strategi yang boleh diambil kira dan dilaksanakan dalam usaha untuk membentuk pakatan baru (pakatan 2.0), sedangkan pada masa yang sama PAS masih tetap mendakwa bahawa mereka masih kekal bersama Pakatan Rakyat?

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger