Oleh Mohd Sayuti Omar
Serupa
tetapi tidak sama bagi Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dalam usaha mengekalkan kedudukan serta menjaga wibawa parti
mereka mengambil tindakan tergesa-gesa yang tidak popular. Najib yang
terhimpit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah terdesak
sehingga sanggup menggunakan beberapa akta termasuk Akta Hasutan 1948
untuk menutup kebusukannya daripada terus berwap.
Dua akhbar The
Edge dan The Edge Financial digantung permit penerbitan selama 3 bulan.
Sebelum itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
bertindak menyekat portal Sarawak Report dan memberi ugutan kepada
mana-mana pihak yang menyiarkan maklumat mengenai 1MDB akan dikenakan
tindakan.
Beberapa orang (yang sebenarnya) dijadikan kambing
hitam di sebalik pendedahan penyalahgunaan wang 1MDB juga ditangkap dan
disiasat di bawah akta hasutan. Mereka juga dihalang untuk bergerak
bebas ke dalam negeri dan luar negara. Antara yang disekat perjalanan ke
luar negeri ialah Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Setiausaha Agung
PKR Rafizi Ramli.
Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim lebih awal disekat dengan cara lebih kejam lagi menerusi penjara
selama 5 tahun.
Najib sudah mengguna semua para hulubalangnya
bagi melindungi beliau dan menutup kebusukannya. Sebelum ini para
hulubalangnya sekadar membela Najib menerusi air liur, tetapi kini sudah
membuat tindakan fizikal apabila tindakan menerusi air liur tidak
berkesan.
Datuk Ahmad Sabery Chik menerusi kuasa SKMM yang ada
kepadanya manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi Kementerian
Dalam Negeri (KDN). Kedua mereka ini bolehlah dianggap sebagai “Malik
Zabaniah” dan “Riduan” yang menjaga pintu-pintu kekuasaan Najib.
Zahid
pula kelihatan lebih serius membela Najib. Ini berikutan ada ura-ura
yang beliau akan diletak di bawah kementerian lain dalam satu rombakan
Kabinet yang bakal dilakukan Najib. Mungkin bagi menyelamatkan
kedudukannya, Zahid mula menunjukkan taring dan pembelaan kepada Najib.
Ertinya, perang saraf Najib untuk menukar Zahid ke portfolio lain dalam
satu rombakan Kabinet berjaya.
Bagi mempamerkan lagi kesungguhan
membela Najib, tidak mustahil Zahid bertindak lebih jauh lagi dengan
mengarah polis atau badan-badan keselamatan di bawah kawalannya
bertindak lebih rakus, seperti tangkapan dan sebagainya.
Mengenai
persamaan Najib dengan Hadi tadi, kalau Najib menggunakan beberapa akta
untuk mengukuhkan kedudukannya, maka berlain pula dengan Hadi yang
menggunakan ayat-ayat al-Quran, petikan hadis dan sebagainya untuk
mengekang ahli PAS agar tidak meninggalkan parti itu daripada berhijrah
kepada Gerakan Harapan Baru (GHB).
Isu baiah yakni ikrar politik
dilakukan sesetengah calon PAS dijadikan modal mengekang ahlinya
daripada meninggal parti berkenaan. GHB rupanya menyerabutkan Hadi.
Ada
seorang pemimpin tertinggi PAS mengeluarkan fatwa haram bagi wakil
rakyat PAS menerima dan menikmati elaun dan gaji sekiranya wakil rakyat
itu menyertai GHB. Entah berdasarkan nas mana pemimpin berkenaan membuat
fatwa berkenaan. Saya sudah katakan, dalam politik sekular, ayat-ayat
al-Quran dan hadis tidak terpakai.
Ia hanya terpakai kepada politik jemaah sahaja.
Fatwa
yang dikeluarkan itu hanya untuk mengekang wakil rakyat berkenaan
daripada meninggalkan PAS dan sikap pemimpin itu menunjukkan beliau
sudah terdesak dan panas dengan sambutan yang diberikan kepada GHB.
Berhubung
baiah itu ingin juga ditanya, macam mana dengan calon PAS bertanding
dan angkat ikrar tetapi tewas, apakah talak mereka juga jatuh apabila
mereka meninggalkan PAS? Kalau mengikut fatwa pemimpin tertinggi PAS itu
yang ingin sangat dikenal sebagai spiritual leader bekas calon itu juga
tertakluk dengan ikrar berkenaan. Jika ia tidak jatuh dan hanya jatuh
kepada yang menang maka jelas ikrar baiah suatu bidaah besar.
Bukankah
perbuatan baiah itu hanya berlaku pada 2004 dan terbatas di beberapa
buah negeri sahaja. Macam mana dengan keadaan PAS pada tahun-tahun
sebelumnya termasuk di Kelantan. Apakah waktu itu sudah ada ikrar
berkenaan atau hanya baru terfikir pada 2004?
Kalau begitu
ertinya soal baiah jatuh talak itu bukan perkara yang wajib dalam PAS
melainkan ia hanya satu teknik sahaja bagi menyelamatkan PAS apabila
ahli yang mungkir. Tidakkah ini adalah helah politik dan bukan hukum
mutlak daripada Allah?
Dan kalaulah benar baiah itu menyebabkan
talak itu jatuh bererti PAS menjadi agen tidak rasmi di negara ini
menggalakkan berlakunya perceraian dan talak itu bertantangan dengan
sunah Rasulullah sendiri yang membenci kepada perceraian. Talak itu juga
tidak pernah dibuat pada zamannya dan hanya direka oleh agamawan yang
lebih termakan palet agama di zaman muasir ini sahaja.
Kesimpulannya,
baik Najib dan Hadi, kedua-dua terdesak dengan apa yang menimpa diri
mereka dan parti mereka, sehingga terpaksa menggunakan akta dan al-Quran
untuk dijadikan pagar melindungi mereka. Ayat-ayat jampi tidak akan
menambah undi. –
Hadi dan Najib sama-sama terdesak pagar diri
Written By Wadah Baru on Sabtu, 25 Julai 2015 | 3:45 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan