1. Saya bukan lah nujum politik yang mampu membuat telahan tentang masa
depan politik sesebuah parti apatah lagi membabitkan parti yang saya
dukung iaitu parti PAS. Saya yakin sesuatu yang berkaitan masa depan
ianya dalam Ilmu Allah. Cuma dalam politik pilihan raya kita boleh
membuat analisa dan unjuran melalui "survey" dan cula undi. Inilah yang
telah sebati dalam jentera gerakerja pilihan raya PAS sejak 13 kali
menghadapi Pilihan Raya Umum dan berpuluh kali menghadapi Pilihan Raya
Kecil.
2. Sejak berlarutan krisis dalam PR hingga kini boleh
dikatakan banyak pihak menyatakan PAS akan menerima kesan kemerosotan
pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU 14 akan datang. Tidak
perlu saya membariskan insiden-insiden yang telah berlaku membabitkan
PAS dan rakan rakan PR yang mendorong menjadi penyumbang kepada
kemerosotan undi tersebut.
3. Apa yang penting untuk
dipersoalkan ialah apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pimpinan
PAS untuk memperbaiki keadaan dalam membendung kemerosotan undi bukan
melayu khususnya pengundi cina pada PRU 14 akan datang. Sehingga
sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan. Malah apa
yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh
Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu
itu sendiri.
4. Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (HB)
memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap
kemunculan Gerakan tersebut. Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam
Harapan Baru dan pimpinan Harapan Baru akan membuka ruang untuk ahli PAS
memberikan respon yang baik terhadap Harapan Baru. Ini akan menyebab
berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari
kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat.
5.
Kenyataan demi kenyataan dari kalangan pimpinan PAS yang disiarkan
akhbar rasmi PAS iaitu Harakah yang menimbulkan isu kononnya ancaman
yang merosakan PAS dari dalam adalah dari kalangan mereka yang pernah
terlibat dengan IRC, JIM dan kini IKRAM akan menambahkan lagi
kemerosotan sokongan undi Melayu Islam pada PAS. Kenyataan-kenyataan
tersebut seperti mempersoalkan keikhlasan dari kalangan ahli-ahli PAS
sendiri yang berlatar belakangkan fikrah IRC, JIM dan kini dinamakan
IKRAM. Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada
IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan
kedudukan kekuatan PAS dari sudut politik pilihan raya. Mungkin dari
sudut kekuatan PAS sebagai Gerakan Islam, PAS boleh rasa syok sendiri
kerana tiada siapa lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut PAS.
Namun, dari sudut pilihan raya, PAS memerlukan sokongan dan undi
daripada semua orang sama ada Islam atau pun bukan Islam.
6.
Tindakan dan kenyataan sebegini sudah pasti akan mengguris dan melukakan
pihak ahli-ahli IKRAM yang menyertai PAS mahupun yang mengundi PAS
dalam setiap pilihan raya, kerana mereka telah digambarkan oleh PAS
sebagai pengkhianat kepada Jemaah Islam PAS. Sikap yang ditunjukkan oleh
PAS ini sudah pasti mengundang penarikan sokongan dan undi dari
ahli-ahli dan pendokong IKRAM. Bukan saja IKRAM tetapi dia akan
membabitkan padangan dari pihak kumpulan Islam yang lain juga akan
merasai yang PAS tidak boleh menerima kelainan fikrah dari Jemaah yang
bukan terhasil dari tarbiah PAS untuk bersama PAS.
7. Bayangkan,
daripada senario yang saya berikan sepatutnya PAS perlu menumpu dan
mengawal pengundi terasnya iaitu Melayu Islam agar tidak kehilangan dan
merosot sokongan pada PRU 14 nanti. Di samping berusaha memulihkan
kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya pengundi Cina. Tetapi
apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan
ialah ia seumpama cirit birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera
menghentikannya.
8. Saya hanya melontarkan persoalan untuk
direnungi oleh pimpinan dan ahli ahli PAS yang terlibat secara langsung
dengan gerakerja pilihan raya. Jangan sekadar hanya menyatakan yang
penting bukan hanya kemenangan tetapi keredhaan Allah yang dicari. Kalau
begitu, tidak perlulah PAS menyertai pilihan raya yang hanya
menghabiskan wang. Cukup sekadar dengan program dakwah dan tarbiah
membangun ummah. Sedangkan, hakikatnya yang kita mahukan ialah politik
kuasa yang redhai Allah.
9. Terserahlah pada pimpinan yang
bijaksana untuk menerima atau menolak pandangan dan komentar saya ini.
Sekadar pandangan 10 sen daripada saya yang tidak sebijak pimpinan yang
ada kini.
Mohon maaf sejujurnya daripada saya untuk semua atas pandangan dan komentar ini.
Selamat Hari Raya 'Edilfitri.
DATO MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
25 Julai 2015
Home »
artikel
» Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.
Lakukan Sesuatu Jika Tidak PAS Bakal Kehilangan Sokongan Pengundi Melayu dan Cina Pada PRU 14.
Written By Wadah Baru on Ahad, 26 Julai 2015 | 9:30 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan