Home » , » GHB tidak akan biar Pas kucar kacir - Ir. Izham

GHB tidak akan biar Pas kucar kacir - Ir. Izham

Written By Wadah Baru on Jumaat, 21 Ogos 2015 | 8:52 PTG

Oleh Manzaidi Mohd Amin 

Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor memberi jaminan mana-mana pemimpin dan ahli jawatankuasa (AJK) Pas sama ada di peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan yang hendak meletakkan jawatan tidak akan membiarkan parti itu dalam keadaan kucar kacir tanpa kepemimpinan.

Pengerusinya, Ir. Izham Hashim berkata, beliau telah mengarahkan kepada pemimpin berkenaan sekiranya mahu meletakkan jawatan kerana hendak menyertai wadah baharu, perlu menyerahkan tugas secara berhemah kepada rakan mereka.

“Kita tidak mahu tinggalkan parti yang kita duduk begitu lama ini kucar kacir. Kita akan buat yang terbaik, kita adakan majlis perpisahan dengan cara baik dan berundur dari kawasan itu setelah jawatan kosong itu diisi atau ada pemangkunya.

“Pas Kota Raja antara kawasan pertama menyahut seruan GHB apabila jawatan Yang Dipertua, timbalan, naib dan setiausaha kawasan yang dikosongkan sudah ada pemangkunya masing-masing.

“Apabila sudah ada (pemangkunya), barulah kita keluar menyertai GHB. Kita masih berhemah dan ada budi bicara dalam hal ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Shah Alam, kelmarin.
Ir. Izham yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kelana Jaya berkata, beliau dimaklumkan ada beberapa kawasan dan cawangan Pas di negeri itu tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup korum.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, GHB negeri akan menulis surat secara rasmi kepada Pas pusat dan negeri memaklumkan lebih awal berapa ramai AJK di setiap kawasan serta cawangan akan meletakkan jawatan.

“Lepas ini terpulanglah kepada Pas pusat dan negeri untuk mengambil alih mana-mana kawasan dan cawangan yang tidak cukup korum itu melantik pemangku bagi membolehkan mereka bermesyuarat.

“Saya juga harap Pas kawasan akan buat begitu, hantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pas Pusat dan salinannya kepada Setiausaha Negeri maklumkan kawasan, cawangan dan berapa ramai yang akan meletakkan jawatan,” katanya.

Ditanya berapa ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang secara rasmi meletakkan jawatan, beliau berkata, setakat ini dua ADUN dan tiga Ahli Parlimen.
ADUN berkenaan ialah Shaari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), manakala tiga Ahli Parlimen ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Mohamad Hanipa Maidin (Sepang).

Kata Ir. Izham, ada lagi wakil rakyat Pas di Selangor akan mengikut jejak rakan mereka, tetapi tidak mahu menamakan siapa.

“Mereka ini ada dua jenis, pertamanya, memang tidak akan bersama GHB dan keduanya, jenis yang hendak tengok dulu parti baharu ini macam mana. Saya tidak boleh beritahu siapa,” katanya.--MalaysiaGazette

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger