Home » , » Mat Taib perlu peranan lebih strategik dalam GHB

Mat Taib perlu peranan lebih strategik dalam GHB

Written By Wadah Baru on Khamis, 27 Ogos 2015 | 11:30 PG

Oleh Mohd Azhar Abd Rahman 


"Saya fikir sekarang sampai masanya satu perubahan dilakukan supaya pengisian pembangunan yang dinamik mesti ada rohnya," Itulah ungkapan yang dikeluarkan Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib pada 22 April 2013, dua hari selepas penamaan calon PRU ke-13 dalam sidang media pengisytiharannya secara rasmi untuk bersama PAS.

Kemasukannya ke dalam PAS bukanlah sesuatu yang begitu menggemparkan bagi sesetengah pemerhati tetapi sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada PAS yang semakin memuncak popularitinya dalam suasana pilihan raya.

Semasa di dalam PAS beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat membantu Mahfuz Omar. Namun kredabilitinya dan ketokohannya tidak begitu menyerlah. Beliau hanya tampil dalam program-program di peringkat kawasan dan negeri dalam ceramah-ceramah sambil memuji-muji kepimpinan yang ada dan berharap audien berubah untuk menyokong Pakatan Rakyat. Beliau tidak pernah tampil dengan pendedahan yang luar biasa seperti Mahfuz Omar yang membuat sidang media untuk menghubungi Sirul Azhar di Australia berkali-kali di hadapan ratusan media menggunakan telefon bimbitnya sambil memegang powerbank.

Mat Taib dari segi politik semasa bersama Umno boleh dikatakan berjaya dengan beberapa jawatan penting pernah disandangnya. Antaranya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri selama 4 penggal (1982, 1986,1990,1995), Menteri Besar Selangor (1986-1997), Naib Presiden Umno (2000-2003), Ketua Penerangan Umno, Ahli Dewan Negara dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Melihat kepada rekod jawatannya, beliau sepatutnya menjadi ‘senjata’ penting bagi PAS sebelum ini tetapi tidak seperti yang diharapkan. Kehadirannya dalam PAS dilihat biasa-biasa sahaja. Tidak memberi banyak impak. Mungkin kerana kemasukannya ke dalam PAS melalui Tuan Guru Haron Din menyebabkan beliau terikut-ikut rentak politik TGHD. Atau masih dihantui bayang-bayang silam.
Mutakhir ini beliau dilihat bersama pimpinan GHB dalam banyak siri ceramah dan penerangan ke seluruh pelusuk tanah air. Wajah Mat Taib antara yang paling kerap dipaparkan dalam kain-kain rentang dan poster-poster program GHB. Sama banyak dengan Mat Sabu. Tentulah sesuatu yang lebih segar dan bersemangat harus ditampilkan beliau. Namun, sehingga kini, Mat Taib tidak lebih daripada sebagai pemanas kerusi penceramah di atas pentas. Masih seperti dia di dalam PAS dahulu.

Mat Taib seharusnya hadir dengan sesuatu yang boleh menakutkan BN. Sebagai bekas ahli dan kepimpinan Umno, beliau pasti lebih faham apa yang akar umbi Umno mahukan. Beliau seharusnya menjadi perancang dalam membawa seberapa banyak ahli-ahli Umno yang mempunyai maruah dan ingin berhijrah untuk bersama beliau. Beliau juga sepatutnya menjadi orang yang bertanggungjawab untuk membawa orang-orang Umno yang mahukan pembaharuan.

Mat Taib harus memainkan peranan itu. Jangan sekadar hanya menjadi tukang sorak apabila sekumpulan AJK PAS kawasan dan cawangan letak jawatan dan berhijrah keluar parti. Di mana ahli Umno? Takkan 3 juta ahli Umno, tak ada seorang pun yang berminat untuk bersama GHB. Mat Taib perlu lakukan sesuatu. Tapi janganlah sampai membeli.

Saranan kepada Mat Taib ini bukanlah untuk merendah-rendahkan kemampuan beliau. Bukan untuk melemahkan semangat beliau. Tetapi mahu melihat beliau memainkan peranan lebih besar dalam GHB. Mat Taib perlu menggunakan pengalaman beliau semaksimum mungkin bagi memberi sumbangan kepada GHB. Gerakan besar-besaran juga harus dilakukan terhadap kubu-kubu Umno.
Kita mahu lihat Mat Taib lakukannya. Kita tak mahu lihat Mat Taib hanya sekadar ‘ajinomoto’ dalam GHB.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger