Home » , » Najib mesti jawab tuduhan derma rm2.6 bilion adalah rasuah

Najib mesti jawab tuduhan derma rm2.6 bilion adalah rasuah

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 Ogos 2015 | 3:54 PTG

Oleh MOHD FITRI ASMUNI

Semalam semasa program Forum Santai Rakyat: Derma RM2.6 bilion, moderator program ada melontarkan satu soalan kepada saya, adakah derma RM2,600 juta yang masuk ke dalam akaun Najib itu merupakan satu jenayah rasuah.

Saya dengan terus terang dan jelas mengatakan "Ya, ia merupakan satu jenayah rasuah!".

Saya tidak menuduh DS Najib sebarangan, tetapi fakta dan undang-undang yang menjelaskannya.

Hakikatnya DS Najib yang telah mengesahkannya apabila beliau sendiri mengakui bahawa RM2.6 bilion tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menjelaskan bahawa duit tersebut adalah hasil sumbangan derma seorang hartawan dari Timur Tengah.

Sec. 3 Malaysian Anti-Corruption Commission Act 2009 (MACC Act) mentafsirkan "Officer of a Public Body" itu termasuklah "..a member of the administration, a member of parliament..". Kita semua tahu ketika DS Najib menerima derma tersebut, beliau merupakan seorang ahli Parlimen dan Perdana Menteri Malaysia yang mengetuai pentadbiran kerajaan dan negara. Oleh itu, kedudukan beliau itu memang tidak boleh dinafikan tergolong sebagai "Officer of a Public Body" sebagaimana yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act 2009. Ini fakta !

Sec. 3 MACC Act 2009 juga ada menafsirkan perkataan "Gratification". Sec. 3 menafsirkan derma, sumbangan atau hadiah sebagai tergolong di dalam pengertian Gratification. Istilah ini penting kerana ia adalah pokok yang akan membawa kepada penentuan samada perbuatan menerima atau memberi objek tersebut adalah rasuah atau sebaliknya. Berbalik kepada perkataan Gratification yang ditafsirkan sebagai derma, sumbangan atau hadiah oleh Sec. 3 MACC Act, ia selari dengan kenyataan DS Najib yang mengesahkan siasatan SPRM bahawa duit RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadinya itu adalah wang derma dan sumbangan. Bermakna, wang derma RM2.6 bilion yang dikatakan derma itu termasuk di dalam pengertian Gratification seperti yang ditafsirkan oleh Sec. 3 MACC Act tersebut. Ini fakta !

Sec. 16 MACC Act 2009 selanjutnya menjelaskan bahawa menerima Gratification (Baca: derma, sumbangan atau hadiah) adalah merupakan satu kesalahan. Perbuatan menerima derma, sumbangan atau hadiah tersebut menjadi satu kesalahan apabila "dia menerimanya untuk dirinya atau untuk pihak lain sebagai dorongan atau upah bagi mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa-apa tindakan berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi, yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin akan berlaku." Dalam kata lain, menerima derma, sumbangan atau hadiah dari seseorang dengan orang itu tidak mengharapkan sebarang balasan atau timbal balik atau bukan sebagai satu dorongan ke arah melakukan sesuatu perkara atau transaksi daripada orang yang memberi itu tidaklah dianggap satu kesalahan di bawah Sec. 16 MACC Act. Tetapi sekiranya adalah elemen tersebut, maka ia jelas satu kesalahan. Merujuk kepada beberapa kenyataan terdahulu yang dibuat oleh DS Najib, duit sebanyak RM2.6 bilion tersebut didermakan untuk kegunaan UMNO. Persoalannya, mengapa ada pihak yang sanggup derma duit berbilion ringgit itu pada Najib? Najib sebagai pemegang amanah? Persoalannya, kalau duit itu memang untuk UMNO dan Najib hanya pemegang amanah, mengapa Majlis Tertinggi UMNO sendiri tidak tahu tentang duit itu sedangkan ia telah didermakan sebelum PRU-13 lagi. Bagaimana penderma itu boleh benar-benar yakin dan percaya bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu akan benar-benar digunakan untuk UMNO? Siapakah saksi lain di dalam MT UMNO yang menjadikan saksi diantara Najib dengan penderma itu? Adakah "naive" sangat penderma itu sehingga tidak tahu bahawa akaun pemegang amanah adalah lebih terjamin dan selamat jika duit itu hendak didermakan untuk UMNO? Adakah penderma itu tidak tahu risiko berlakunya "breach of trust" jika duit yang didermakan untuk UMNO itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang? Persoalan-persoalan atau keraguan ini perlu dijawab dengan segera oleh DS Najib.

Yang terakhir adalah Sec. 50 MACC Act. Section inilah yang membuatkan saya berani untuk mengatakan bahawa DS Najib, apabila menerima derma sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya itu sebenarnya telah DIANGGAP melakukan kesalahan rasuah menurut Sec. 16 MACC Act kerana Sec. 50 MACC Act jelas menyebut bahawa, "..jika dibuktikan bahawa dia telah menerima apa-apa derma, sumbangan atau hadiah, maka derma, sumbangan atau hadiah itu hendaklah dianggap telah secara rasuah diterima sebagai dorongan atau upah bagi perkara yang dinyatakan dalam seksyen 16 MACC Act, melainkan jika suspek membuktikan sebaliknya".

Sec. 50 MACC Act meletakkan beban kepada DS Najib untuk menafikan ANGGAPAN rasuah yang dilakukannya itu. Persoalan-persoalan yang saya bangkitkan di atas tadi adalah merupakan persoalan-persoalan penting yang boleh mengesahkan DS Najib kepada perlakuan rasuah jika beliau gagal untuk menjawab dan menjelaskannya kepada rakyat.

Maka dengan sebab itu kita mendesak DS Najib menjawab kesemua persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat dan rakyat mahukan ketelusan berkaitan perkara tersebut dari mulut beliau sendiri, bukannya dari badut-badut yang berada di sekelilingnya seperti Rahman Dahlan, Azalina Othman dan lain-lain.

Sudah tentu sekiranya beliau enggan atau gagal untuk menjawabnya, maka rakyat berhak untuk menghukum beliau sebagai "the most corrupt Prime Minister" dan sekiranya beliau masih terus bebas tanpa menerima sebarang pendakwaan, maka DS Najib dan UMNO/BN berhak menerima hukuman daripada rakyat pada PRU-14 yang akan datang.

#HarapanBaru

MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru
Negeri Perak

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger