Home » , » Pemuda Harapan Baru serah memorandum gesa siasatan menyeluruh derma RM2.6 bilion

Pemuda Harapan Baru serah memorandum gesa siasatan menyeluruh derma RM2.6 bilion

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 Ogos 2015 | 3:05 PTG

OLEH YASMIN RAMLAN

Gerakan Anak Muda Harapan Baru hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, menggesa satu siasatan segera dan menyeluruh diadakan berkaitan wang RM2.6 bilion yang dikatakan sumbangan dana politik dari Timur Tengah.

Penyelaras gerakan itu, Mohd Sany Hamzan berkata, wang derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak itu satu jumlah yang terlalu besar dan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan.

"Kami mahu supaya identiti penderma, tujuan derma, hubungan penderma dengan perdana menteri, serta perbelanjaan wang tersebut oleh perdana menteri dapat diperoleh secara terperinci.

"Ini kemungkinan satu kesalahan jenayah rasuah dilakukan perdana menteri menurut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. "Atau sekurang-kurangnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada wakil Agong, pegawai perhubungan awam Mohd Husni Yusof, di luar pintu 3 Istana Negara.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan, penjawat awam yang menerima sesuatu yang berharga dengan balasan yang diketahuinya tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahuinya ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya, melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain Sany, gerakan sayap Pemuda parti serpihan PAS itu turut diwakili dua naib ketuanya Mohd Fakhrul Razi dan Mohd Shazni Munir, serta peguam mereka, Muhammad Faiz Fadzil.

Sany berkata, tiada jangka masa tertentu ditetapkan bagi siasatan tersebut dijalankan, namun beliau berharap pihak istana bersetuju ia disegerakan secepat mungkin.

Pada masa sama, beliau berkata, sekiranya siasatan itu dijalankan, Najib perlu merehatkan diri daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Ditanya mengapa memorandum itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sedangkan siasatan daripada SPRM dan polis masih berjalan, Faiz berkata, pihaknya merasakan SPRM seperti terikat dengan kuasa pihak tertentu kerana agensi bebas itu enggan mendedahkan identiti pendermanya.
"SPRM mengatakan duit tersebut wang derma, tapi mereka mengatakan penderma itu tidak dapat didedahkan.

"Sebab itu kita mohon suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan agar segala isu berkaitan dengan wang derma ini dapat disiasat sehingga ke lubang cacing.

"Kita perlukan badan yang lebih tinggi daripada SPRM untuk menyiasat kerana ini melibatkan dana awam dan integriti negara. Masyarakat dunia kini mentertawakan negara kita.

"Perkara ini tidak boleh ambil mudah kerana isu ini sudah menjadi isu antarabangsa," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger