Home » , » Respon Kepada Kenyataan UMNO Shah Alam

Respon Kepada Kenyataan UMNO Shah Alam

Written By Wadah Baru on Rabu, 26 Ogos 2015 | 3:19 PTG

Oleh Khalid Samad

Baru-baru ini dalam ucapan dasar Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, Ketua
Bahagian UMNO Shah Alam menggesa supaya saya ‘dinyahkan’ dari bumi Shah Alam. Saya ucapkan terima kasih kepada UMNO Shah Alam kerana begitu berminat memberikan tumpuan kepada diri saya ini. Namun, UMNO Shah Alam perlu sedar diri sendiri. Shah Alam bukan milik UMNO Shah Alam untuk “mennyahkan” sesiapa jua dari “bumi Shah Alam” ini.

Kedua, adalah lebih baik untuk imej UMNO jika ditumpukan usaha dan kudrat untuk mennyahkan penerima derma RM 2.6 Billion dari UMNO, daripada cuba mennyahkan diri saya. “Yang kencingkan 3 juta ahli UMNO setiap hari” seperti yang dikatakan salah seorang wanita UMNO Langkawi adalah masalah utama UMNO, bukan saya.

APA SALAH SAYA?

Menurut apa yang saya faham dari laporan akhbar, salah saya adalah kerana kononnya saya bersekongkol dengan DAP yang tidak dapat saya nafikan. Namun, bersekongkol menentang rasuah dan penyelewengan apa salahnya? Kerja baik wajib dibantu. Tidak kira samada kerja baik ini dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu.

Adakah UMNO Shah Alam beranggapan bahawa kerja baik sekiranya dilakukan bukan Melayu perlu ditentang? Dan dengan secara tidak langsung, kerja jahat sekiranya dilakukan Melayu perlu dibantu dan disokong? Jika begitulah sikap UMNO Shah Alam, maka sudah pasti yang akan membangsatkan Melayu adalah UMNO sendiri. Ini adalah kerana bangsa yang tidak kenal betul dari salah sudah pasti akan ketinggalan dan berada dipinggir dunia.

UMNO PECAHKAN PAS BUKAN DAP

Kenapa begitu tawaddhu’ dengan mengatakan DAP yang pecahkan PAS? Sudah diketahui umum bahawa pecahnya PAS bukan kerana DAP tetapi hasil usaha UMNO! UMNO yang mencetuskannya dengan segala tipu-helah tawaran hudud. Inilah yang dinamakan menggunakan agama untuk kepentingan politik. PAS berpecah kerana ada yang yakin dengan keikhlasan tawaran UMNO dan ada yang melihatnya sebagai tipu-helah. Yang yakin dengan keikhlasan UMNO begitu yakin sehingga sanggup mengorbankan PR kerananya. Sehingga mengisytiharkan gencatan senjata terhadap UMNO dan seterusnya menghalakan senjata ke arah PR!

Segala masalah bermula dari situ. Cara ianya ditangani oleh pimpinan utama PAS telah menjadi faktor ketegangan semakin meruncing antara PAS dan DAP dan termasuk juga PKR. Akhirnya PR berpecah, PAS pun berpecah dan umpan hudud kekal sebagai umpan tidak kelihatan hingga sekarang. Masalahnya bukan persoalan hudud, ianya telah wujud sejak dahulu lagi dan tidak menjadi penghalang kepada wujud dan berjayanya PR. Masalah sebenarnya adalah cara ianya ditangani oleh pimpinan utama. Seolah-olah perpecahan PR adalah apa yang diinginkan.

SIAPA UNTUNG APABILA PAS BERPECAH?

Apa untungnya DAP sekiranya PAS & PR berpecah? Jika PAS dan dengan itu PR berpecah, maka sudah pasti ianya semakin sukar untuk BN dijatuhkan. Oleh itu, semakin sukar untuk menang Putrajaya bagi membentuk kerajaan baharu demi menyelamatkan Malaysia dari kebobrokan UMNO. Kalau begitu, maaka apa sebab DAP ingin memecahkan PAS dan PR?

Yang jelas memperolehi keuntungan sekiranya PAS & PR pecah adalah UMNO. Ianya menjadi semakin mudah untuk UMNO menang. Oleh itu keinginan dan usaha untuk memecahkan PAS sudah pasti di pihak UMNO bukan DAP. Maka tidak perlu UMNO Shah Alam berpura-pura. Rakyat tidak sebodoh itu. Janganlah bersikap seperti Najib yang masih mungkin percaya bahawa rakyat mudah diperbodohkan.

KESIMPULAN

Saya menyeru UMNO Shah Alam supaya bangun dari tidur dengan nyenyaknya dan melihat serta memahami masalah rakyat sebenarnya. Cuba jadikan UMNO Shah Alam satu organisasi yang berguna kepada rakyat dan bangsa dengan mengusahakan penyelesaian kepada masalah rakyat dan negara; bukan menjadi sebahagian dari masalah. Cukuplah dengan retorik perkauman yang hanya mengalih pandangan dari masalah sebenar. Sebaliknya berusaha untuk menjadikan kerajaan yang dipacu UMNO sebagai sebuah kerajaan yang bersih, telus dan amanah.

Cukuplah dengan segala penghinaan terhadap bangsa hasil tindak tanduk pimpinan UMNO. Malaysia sudah menjadi negara lawak yang ditertawakan dunia. Ringgit merudum, hutang negara semakin menggunung, kos hidup semakin meningkat, adakah ini semua salah saya dan DAP?

Bukankah UMNO/BN yang memerintah?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger