Oleh MOHD FITRI ASMUNI
SKANDAL 1MDB & SKANDAL WATERGATE:
Pada tahun 1970an, Amerika Syarikat
pernah dilanda sebuah skandal politik yang melibatkan kepimpinan
tertinggi negaranya yang membawa kepada perletakkan jawatan Presiden
Richard Nixon pada tahun 1974 dari parti Republik.
Skandal ini
bermula selepas 5 orang lelaki yang memecah masuk ibu pejabat Democrate
National Committee (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972
ditangkap.
Ketika Presiden Nixon masuk bertanding pemilihan
semula presiden, Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Vietnam yang
menyebabkan berlakunya krisis dalaman negara yang teruk. Demi
mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, Nixon telah mengarahkan
orang-orangnya untuk memecah masuk ke dalam ibu pejabat parti Demokrat
di Watergate, Washington D.C. Lima orang ahli Jawatankuasa Pemilihan
Semula Presiden (dikenali sebagai Creep) telah ditugaskan untuk memecah
masuk ke bangunan Watergate tersebut untuk mencuri dokumen-dokumen
rahsia parti Demokrat dan memasang alat pengintipan pada telefon bagi
memintas sistem komunikasi parti tersebut.
Malangnya, ketika
mereka bersiap sedia untuk memecah masuk ke dalam pejabat tersebut,
seorang pengawal keselamatan pejabat itu menyedari kehadiran mereka di
dalam bangunan tersebut dan melaporkannya kepada pihak polis untuk
membuat tangkapan.
Di peringkat awal penyiasatan, FBI berjaya
mengaitkan pencerobohan tersebut dengan White House tetapi ia
kemudiannya telah berjaya dinafikan oleh Presiden Nixon.
Skandal
tersebut pada awalnya tidak menjejaskan sokongan Nixon untuk terus kekal
sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal yang berikutnya. Nixon
berjaya menutup skandal tersebut selama 2 tahun.
Dalam tempoh tersebut,
pelbagai tindakan dan agenda telah dirancang oleh Nixon untuk meyakinkan
rakyat bahawa pencerobohan tersebut tiada kaitan dengannya.
Contohnya
beberapa hari selepas kejadian pecah masuk tersebut berlaku, Nixon
mengatur untuk membayar wang yang banyak kepada mereka yang memecah
masuk. Dia dan pembantunya kemudian mengarahkan CIA untuk menghalang
siasatan FBI terhadap jenayah itu. Sementara itu, 7 orang telah didakwa
atas tuduhan yang berkaitan dengan kejadian Watergate dan atas gesaan
pembantu Nixon, 5 mengaku bersalah dan mengelak perbicaraan manakala 2
yang lain telah disabitkan pada Januari 1973.
Pada masa yang
sama, beberapa konspirator mengalami tekanan dalam cubaan menutup kes
itu. Akibat dari tekanan tersebut, beberapa pembantu Nixon mendedahkan
di Mahkamah bahawa Nixon secara diam-diam telah merakam setiap perbualan
yang berlaku di Pejabat Oval.
Nixon bertungkus-lumus melindungi
pita-pita itu. Peguamnya berhujah bahawa keistimewaan eksekutif presiden
membenarkan Nixon untuk menyimpan pita-pita itu, tetapi Sirica,
jawatankuasa Senat dan pendakwa khas bebas, Archibald Cox berazam untuk
mendapatkan pita-pita itu. Apabila Cox enggan menyerah kalah untuk
mendapatkan pita-pita rakaman itu, Nixon mengarahkan Cox dipecat, yang
akhirnya membawa kepada perletakan jawatan beberapa pegawai Jabatan
Kehakiman yang lain sebagai tanda protes mereka terhadap campur tangan
yang dilakukan oleh Nixon. Akhirnya, Nixon bersetuju untuk menyerahkan
beberapa pita rakaman tersebut tetapi tidak kesemuanya.
Pada
bulan Julai 1974, Mahkamah Agung mengarahkan Nixon untuk menyerahkan
pita-pita rakaman yang masih disimpin oleh Nixon. Walaupun Nixon
melengahkan arahan mahkamah, Kongres mengundi untuk mensabitkan Nixon
bersalah atas tuduhan menghalang proses keadilan, penyalahgunaan kuasa,
usaha mahu menutup skandal dan beberapa pelanggaran terhadap
Perlembagaan negara. Akhirnya pada 5 Ogos 1974, Nixon terpaksa
menyerahkan kesemua pita-pita rakaman tersebut yang menyimpan bukti yang
tidak dapat dinafikan oleh Nixon mengenai penglibatannya dalam jenayah
skandal Watergate. Akhirnya pada 8 Ogos 1974, Richard Nixon meletakkan
jawatannya selaku Presiden Amerika Syarikat.
Ia merupakan antara
skandal politik terburuk yang pernah melanda Amerika Syarikat. Hari ini
di Amerika Syarikat, skandal Watergate telah menjadi satu istilah bagi
merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk
kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa politik.
Di
Malaysia, kita berdepan pula dengan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion
yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Saya berani katakan bahawa
skandal Watergate tidaklah seteruk skandal 1MDB yang memalit Datuk Seri
Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.
Dalam skandal
Watergate, sekalipun Nixon telah melakukan banyak tindakan untuk menutup
skandal tersebut, tetapi ia tidaklah seteruk jika hendak dibandingkan
dengan tindakan yang sedang dilakukan oleh Najib Tun Razak dalam skandal
melibatkan 1MDB dan dirinya sendiri.
Demi menyelamatkan dirinya
yang sedang lemas, Najib sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap
menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalannya dan merombak
Kabinet baru kepada Kabinet Najib atau Kabinet 1MDB yang tujuannya
hanyalah untuk mempertahankan salah saku Najib selaku Perdana Menteri
dan menutup skandal 1MDB yang sedang membarah.
Serentak dengan
pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut, Tan Sri Gani Patail
selaku Peguam Negara yang mengetuai Pasukan Khas siasatan skandal 1MDB
juga telah ditukar secara tiba-tiba dengan Peguam Negara yang baru.
Sebelumnya, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
mengambil tindakan menggantung permit dan menyekat akhbar The Edge dan
Sarawak Report daripada diakses oleh para pembaca agar pendedahan demi
pendedahan yang dilaporkan oleh akhbar tersebut mengenai skandal 1MDB
dan salah laku Najib tidak sampai kepada rakyat.
Najib juga telah
memainkan propaganda kotor apabila menggunakan pihak tertentu untuk
mengugut tokoh-tokoh penting yang berada di dalam pasukan Special Task
Force termasuklah terhadap Gabenor Bank Negara, Timbalan Gabenor Bank
Negara, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dan lain-lain lagi di
samping menahan dan menyoal siasat beberapa yang lain termasuk penasihat
SPRM dan Penolong Pendakwaraya SPRM yang terlibat dalam siasatan
skandal 1MDB tersebut atas dakwaan yang bukan-bukan di bawah s. 124
Kanun Keseksaan.
Yang lebih menyedihkan, Speaker Dewan Rakyat
yang sepatutnya mengambil sikap berkecuali telah bertindak "bias"
apabila cuba campur tangan dalam inkuiri PAC dengan mengarahkan agar PAC
menangguhkan prosidingnya itu sehingga Pengerusi PAC yang baru dilantik
semula. Bukan sekadar itu, kenyataan media SPRM semalam yang mendapat
kritikan ramai mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun
peribadi Najib itu dilihat telah dimandulkan peranannya oleh
tangan-tangan ghaib yang berperanan untuk menutup jenayah rasuah yang
dilakukan oleh Najib Tun Razak.
Kita sedang menyaksikan negara
kita dimusnahkan, diratah dan diranapkan sedikit demi sedikit oleh
pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Skandal 1MDB dan
kebobrokan Najib sudah sampai ke kemuncaknya. Aset-aset negara telah
banyak yang digadaikan demi menyelamatkan syarikat milik kerajaan yang
bermasalah itu. Institusi-institusi berintegriti yang sepatutnya
menjalankan tugasnya secara telus dan amanah serta menjadi tulang
belakang dalam menjaga keadilan, keselamatan dan kedaulatan negara dan
rakyat telah disalah guna dan diselewengkan dengan sewenang-wenangnya.
Apa lagi kemusnahan yang akan dilakukan oleh Najib dan kuncu-kuncunya selepas ini?
Sepandai-pandai Richard Nixon menutup skandal Watergate, akhirnya
beliau tersungkur juga. Begitu juga Najib. Beliau sudah berada di puncak
kerakusannya. Rakyat mahu melihat sejauh mana Najib mampu
bertahan..Adakah beliau akan mengikut jejak langkah Richard Nixon
ataupun sebaliknya. Apapun yang berlaku, kita harus mengakui bahawa
skandal 1MDB bakal memahat sejarah hitam buat negara dan Najib akan
diingati sebagai pemimpin yang paling korup dalam sejarah negara.
Kita nantikan bagaimana skandal ini berkesudahan.
#HarapanBaru
*Penulis adalah Timbalan Ketua Pemuda
Gerakan Harapan Baru Negeri Perak yang merupakan seorang peguam.
Skandal Terburuk Bagi Malaysia Dan Amerika Syarikat
Written By Wadah Baru on Rabu, 5 Ogos 2015 | 11:12 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan