Home » , » Unit Amal PAS tidak kelihatan, Arif sedia bantu Bersih 4

Unit Amal PAS tidak kelihatan, Arif sedia bantu Bersih 4

Written By Wadah Baru on Isnin, 24 Ogos 2015 | 12:05 PTG

 OLEH MELATI A. JALIL

Ahli sukarelawan Gerakan Harapan Baru (GHB), dikenali sebagai Amal Relief Malaysia atau Arif, kini bersedia mengambil alih peranan Unit Amal PAS dalam memastikan keselamatan dan menguruskan orang ramai semasa perhimpunan Bersih 4 hujung minggu ini.

Ia susulan kepimpinan tertinggi parti Islam itu sehingga kini tidak menyatakan dengan jelas pendiriannya sama ada menyokong perhimpunan itu yang akan diadakan dari 29 hingga 30 Ogos ini di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Selama ini, PAS gigih memberikan sokongan dengan mengerahkan Unit Amalnya yang memainkan peranan penting dalam membantu menjaga ketenteraman dan keselamatan pada perhimpunan menuntut reformasi pilihan raya yang lalu.

Menjanjikan kira-kira 500 ahli, Arif memberi jaminan ia akan dapat memikul tugas berat itu walaupun agak baru ditubuhkan pada Julai lalu selepas GHB dilancarkan secara rasmi. Setiausaha Agungnya Baharuddin Abu Kassim berkata, Arif, pada dasarnya ialah Unit Amal versi GHB.

Beliau berkata ahli-ahlinya terdiri daripada pasukan sukarelawan PAS, yang baru-baru ini melepaskan jawatan dalam parti Islam itu bagi menyertai gerakan baharu.

Bekas Pengarah Unit Amal, Johari Osman, kini mengetuai Arif.

"Majoriti ahli Arif adalah daripada pasukan lama (Unit Amal), jadi dari segi kepakaran, mereka memilikinya. Cuma kini, kami memberi tumpuan kepada bantuan, menyelamat dan usaha pemulihan," kata Baharuddin.

Bagi perhimpunan Bersih 4 akan datang, beliau berkata, Arif lebih daripada bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan.

"Kami akan memakai T-shirt oren berlengan hitam. Kami bersedia untuk membantu dan mempermudahkan seperti perhimpunan sebelum ini... Kami mempunyai pengalaman," katanya

Dilaporkan Bersih 2.0 merancang menggerakkan kira-kira 2,000 sukarelawan untuk memastikan keselamatan dan menguruskan peserta selepas Unit Amal masih belum mengesahkan kehadiran mereka.

Baharuddin berkata Arif melengkapkan sukarelawan daripada pihak penganjur, NGO dan parti-parti politik yang mengambil bahagian.

Arif, Baharuddin berkata, meletakkan ahli jawatankuasanya dalam keadaan bersiap sedia di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Pada masa ini, beliau berkata, Arif mempunyai lebih 200 ahli dan sukarelawan juga digalakkan mendaftar sebagai Sahabat Arif, walaupun bukan ahli GHB.

Unit Amal ditubuhkan 23 tahun lalu di bawah Dewan Pemuda PAS.

Sebelum ini ia dikenali sebagai pemuda berpakaian merah yang mengarahkan lalu lintas dan keselamatan semasa majlis PAS dan Pakatan Rakyat.

Unit kebajikan itu beberapa tahun kebelakangan ini menjadi sebahagian gerak kerja parti.
PAS berkata, ahlinya tidak dihalang daripada menyertai Bersih 4.


Naib presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dakwaan yang parti Islam itu tidak menyokong perhimpunan tersebut adalah tidak benar.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger