Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Saya
mendengar dan menonton rakaman video ucapan Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Had Awang mengenai isu baiah yang melibatkan Dr Mohd Hatta Ramli.
Selepas mendengar dan mengamati beberapa kali ucapan beliau tersebut
nampaknya wujud jalan keluar bagi isu kesan baiah tersebut yang
mengandungi satu hukuman (Iqab) yang amat keras iaitu penceraian talak 3
ke atas pihak yang berbaiah sekali gus menghukum juga pihak ke-3 yang
bukan menjadi pihak dalam baiah tersebut iaitu isteri ahli Parlimen dan
sudah tentu juga dirasai kesannya oleh anak-anak beliau.
Ada 2 perkara menarik daripada kenyataan presiden PAS tersebut yang menimbulkan tanda tanya.
Pertamanya, beliau menukilkan pendapat ketua hakim Mahkamah Syariah
Kelantan yang mengatakan jatuhnya talak 3 kesan daripada baiah tersebut
dan berkemungkinan Mahkamah Syariah Kelantan akan "'ligan"(kejar ) Dr
Hatta untuk dibawa ke Mahkamah Syariah Kelantan.
Walaupun presiden PAS tidak secara jelas menyatakan sokongan atas apa
yang dikatakan oleh ketua hakim tersebut, namun sikap Hadi yang tidak
sama sekali mengkritik tindakan seorang hakim yang mendahului
menjatuhkan hukum sebelum pihak yang dihukum itu dibawa ke mahkamah
menimbulkan persoalan adakah presiden PAS merestui kaedah dan bentuk
keadilan sebegitu?
Bukankah prinsip sub judice (tidak mendahului menjatuhkan hukum) adalah
satu prinsip asas dan fundamental dalam sistem keadilan Islam yang
sudah tentu presiden sebuah parti Islam yang berstatus ulama sepatutnya
ke depan mempertahankan prinsip keadilan Islam itu?
Keduanya, presiden PAS juga nampaknya bersetuju di sana wujudnya jalan
keluar bagi mengelakkan kesan baiah yang keras itu iaitu dengan pihak
PAS boleh membuat keputusan memecat Dr Hatta sekali gus kesan baiah
tersebut tidak lagi wujud dan terpakai.
Sudah tentu ini kaedah terbaik yang PAS patut lakukan demi
menyelamatkan satu rumah tangga yang dibina sekian lama, dengan andaian
baiah itu sendiri bukan baiah yang laghah.
Sudah tentu jika baiah itu sendiri diputuskan laghah,saranan presiden Pas itu tidak lagi relevan.
Mengambil kira wujudnya pelbagai pendapat tentang kesahihan baiah itu,
sudah tentu mencari jalan keluar daripada masalah pertikaian tersebut
(al-khuruj min khilaf ) adalah satu cara yang baik yang ulama anjurkan
dalam situasi sebegitu.
Persoalannya mengapa PAS atau presidennya enggan mengambil atau memilih
jalan keluar itu demi menyelamatkan satu rumah tangga seseorang?
Keengganan PAS atau presidennya menawarkan formula jalan keluar itu
dengan memecat Dr Hatta mengundang spekulasi liar bahawa dendam menjadi
asas kepada keengganan parti Islam tersebut.
Di manakah Islam sebagai Rahmat yang PAS selalu canangkan selama ini?
Bukankah Allamah Ibnu Al Qayyim menyatakan: "Syariah itu adil
keseluruhannya, Rahmat keseluruhannya, hikmah ( wisdom ) keseluruhannya,
maslahah keseluruhannya dan mana-mana perkara yang keluar daripada
prinsip keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada sebaliknya, dari
maslahah kepada kerosakan dan daripada hikmah kepada sia-sia ia bukanlah
syariah meskipun kita cuba masukkan ia dalam kategori syariah."
Saya tertanya, adakah ketika mana isu baiah ini dihebohkan serata dunia
, adakah kita sedang tonjolkan syariah yang sebenarnya atau bagaimana?
* Mohamed Hanipa Maidin ialah ahli Parti Amanah Negara.
Isu Baiah: Apa niat presiden PAS sebenarnya?
Written By Wadah Baru on Ahad, 6 September 2015 | 10:13 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan