Home » » Pakatan Harapan Perlu Segera Membentuk Kerajaan Selangor

Pakatan Harapan Perlu Segera Membentuk Kerajaan Selangor

Written By Wadah Baru on Rabu, 30 September 2015 | 2:05 PTG

1. Parti Amanah Negara Negeri Selangor (Amanah Selangor) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang kerana berjaya membentuk kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang ekoran terbentuknya Pakatan Harapan secara rasminya pada 22hb September 2015 yang lepas.

2. Amanah Selangor dengan sukacita mencadangkan supaya Selangor mengambil langkah yang sama dan membentuk dengan segera kerajaan Pakatan Harapan Selangor mengikut  ketetapan yang telah diputuskan di peringkat pusat. Kegagalan untuk segera melaksanakan keputusan ini di peringkat  negeri Selangor akan memberi petanda yang kurang elok kepada kewibawaan pimpinan PKR, DAP dan Amanah dalam membentuk pasukan yang mantap untuk pilihanraya akan datang. Amanah Selangor percaya kekuatan dan kesepaduan Pakatan Harapan adalah ciri penting dalam menambah keyakinan rakyat kepada kemampuan kita untuk menggantikan BN dan tidak boleh dibuat hanya ketika menjelang pilihanraya umum akan datang. Dalam erti kata lain usaha itu perlu bermula sekarang.

3. Sehubungan dengan itu Amanah Selangor ingin mencadangkan supaya pimpinan PKR, DAP dan Amanah supaya segera bertemu dan berbincang berhubung pembentukan kerajaan Pakatan Harapan Selangor.  Amanah Selangor ingin  memaklumkan kesediaan kami sebagai satu komponen parti dalam Pakatan Harapan untuk terus bersama membantu membina dan memperkukuhkan Kerajaan Negeri Selangor bagi mencapai hasrat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat Selangor.

4. Para pemimpin dan aktivis Amanah Selangor adalah terdiri dari kalangan mereka yang berpengalaman dan komited dengan tugas mereka di pelbagai peringkat jentera kerajaan, samada sebagai ADUN, Penyelaras DUN, Ahli-Ahli Majlis PBT, dan Ketua-Ketua Kampung.

5. Amanah Selangor juga ingin menegaskan di sini bahawa tindakan pihak-pihak tertentu yang berusaha dengan pelbagai pendekatan, termasuk ugutan memecat, untuk menyingkir penjawat-penjawat kerajaan negeri dari kalangan aktivis parti Amanah amat dikesali. Ini kerana sebagai satu daripada parti komponen Pakatan Harapan yang bersama mendokong kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor, Amanah Selangor akan terus konsisten dengan tanggungjawab untuk melaksanakan sebarang tugas  mengikut polisi dan ketetapan kerajaan negeri.

6. Akhir kata, Amanah Selangor ingin menyeru sekali lagi agar semua pimpinan Pakatan Harapan peringkat Negeri Selangor agar dapat memulakan perbincangan dalam usaha menilai, merencana dan memperkukuh kedudukan pentadbiran kerajaan Selangor dan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 akan datang. Jangan hampakan rakyat dengan polemik dan kecelaruan politik yang berpanjangan.  Pakatan Harapan adalah harapan baru rakyat.

Sekian.

Amanah. Progresif. Peduli.

Tn Hj Ir Izham Hashim
Pengerusi
Parti Amanah Negara
(Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia)
Negeri Selangor.

30 September 2015.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger