OLEH EDY NOOR REDUAN
PAS tidak perlu dalam Pakatan baru.Secara peribadi, saya amat
menyokong desakan Gerakan Harapan Baru (GHB) atau kini dikenali sebagai
Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mencadangkan supaya komposisi baru
Pakatan Rakyat tidak disertai oleh parti PAS.
Sampai bilakah harapan rakyat terus dikhianati hanya kerana kerakusan segelintir ulama yang mensia-siakan peluang dan amanat?
Pilihan
raya umum ke-13 mengajar kita erti pengkhianatan. Apakah kita ingin
mengulangi kesilapan yang sama dalam pilihan raya akan datang?
PRU-13
dianggap sebagai peperangan paling sengit merebut demokrasi
menyelamatkan negara walaupun di padang yang tidak rata, di antara kuasa
dunia terhadap kuasa rakyat.
BN menikmati kelengkapan
insfrastruktur peperangan termasuk kawalan ke atas media, dan satu pihak
lagi hanya bermodalkan harapan rakyat untuk perubahan. Masihkah kalian
lupa bagaimana peperangan ini dimenangkan kepada penyandangnya?
Paling
yang kita tidak patut lupa, bagaimana presiden parti itu sanggup
menuduh calon Pakatan Rakyat lain sebagai penjual pil kuda, penyembah
Karl Marx dan pendokong ajaran komunisme?
Tuduhan dibuat kerana
ingin menutup kesilapan mengeluarkan watikah yang menyebabkan
pertembungan tiga penjuru di beberapa kerusi penting.
Secara langsung dan tidak langsung, tindakan gopoh presiden parti ini mengundang krisis kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat.
Susuk
yang membuat tuduhan tanpa bukti ini bukan ketua cawangan atau yang
dipertua kawasan, tetapi presiden parti. Maka sudah pasti ia mempunyai
kesan nasional yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan
Rakyat.
Bayangkan, sedang persiapan perang berada pada saat paling
kritikal, tiba-tiba salah seorang jeneral mengarahkan pengeboman di
kawasan sendiri yang akhirnya melibatkan kasualti agak parah. Siapa
boleh beri jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang? Anwar
Ibrahim?
Sudah terlalu banyak sebab sebuah parti ini tidak lagi
layak untuk diberi peluang lagi untuk bersama. Watak yang dibawa oleh
PAS sangat mengecewakan dan amat berlainan sekali hingga tergamak
mengakui bahawa kemenangan BN diraih dalam sistem demokrasi yang adil.
Saya
pernah mendesak suatu ketika dulu, jika PAS tidak mahu keluar Pakatan
Rakyat, maka PKR dan DAP harus keluar Pakatan Rakyat meninggalkan PAS.
Akhirnya, PAS boleh bertanding di semua kerusi yang diingin.
Tidak
perlu saya cerita mengenai tuntutan hudud yang akhirnya membawa kepada
kehancuran, sedangkan agama mencerca kita membiarkan kekufuran melanda,
tetapi jalan kehancuran ini juga dipilih PAS dari selambak pilihan yang
ada.
Tidak perlu saya cerita mengenai bah kuning, yang sehingga hari ini masih ada yang tidur dalam khemah.
Tidak
perlu saya cerita mengenai hilangnya sifat zuhud selepas tidak sampai
sepenggal memegang kuasa. Ada yang sudah memiliki kereta mewah Toyota
Vellfire, Range Rover, Porsche Cayenne, dengan nombor plat superstar.
Bila
ditanya mengapa pilih kemewahan demikian, mereka jual nama nabi,
kononnya nabi dulu pilih kuda terbaik untuk berjuang. Masalahnya, mereka
ini taraf nabi kah?
Ketika rakyat berkira-kira membeli lauk, duit
tak cukup sampai hujung bulan, mereka pula dilihat bermewah-mewahan.
Maka boleh saya bermewah dan meninggalkan sifat zuhud dalam perjuangan.
Saya
tidak terkejut bilamana Anwar bersuara dari penjara mencadangkan
Pakatan Rakyat yang baru disertai oleh PAS. Hasrat supaya PAS berada
dalam Pakatan Rakyat baru ini bukan hanya dari Anwar semata-mata, tetapi
juga dari dari luar penjara.
Hanya perjuangan membebaskan rakyat
dari kesengsaraan dan penindasan adalah wadah terbaik untuk diangkat
bersama. Sasaran paling tepat ialah perubahan sistem dan polisi
tanahair.
Apakah hanya kerana PAS mengaku berjuang atas nama
Islam, dan nama partinya pun Islam, maka kita harus biarkan diri kita
dicandu dan terus mempercayai mereka? Wahai teman, pengalaman banyak
mengajar kita, betapa dalam politik rakus mempertahankan kuasa ini apa
saja boleh dijual.
Saya ingin imbas semula bagaimana Mat Sabu yang
juga timbalan presiden PAS tewas dalam pilihan raya umum ke-13. Begitu
juga dengan Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi heavyweight PAS yang
sengaja dibiarkan kalah.
Bayangkan, jika jemaah dalam PAS sanggup
melakukan khianat sesama mereka ketika berperang dengan Umni, inikan
pula sesama Pakatan Rakyat.
Saya percaya PAS akan sanggup mengalahkan semua calon AMANAH, PKR dan DAP andai PAS berada dalam Pakatan baru.
Saya percaya akhirnya presiden mereka akan menjadi ketua pembangkang, dan turut menjadi pembangkang di Kelantan dan Selangor.
Jika
PAS ditakdirkan mampu membentuk kerajaan, tidak mustahil jika kuasa
tersebut akan dibenarkan menyebelahi rejim penindas, kerana saya melihat
PAS amat benci pada DAP.
Saya melihat, prestasi DAP terhadap rakyat jauh lebih baik termasuklah soal penyediaan rumah mangsa banjir di Kelantan.
Jadi, masihkah kalian mahu PAS berada dalam Pakatan yang baru?
EDY NOOR REDUAN aktivis politik dan penulis blog.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan