Home » , » Tahniah Dan Syabas Kepada Rakyat Malaysia Yang Sertai Bersih 4.0 Dengan Aman

Tahniah Dan Syabas Kepada Rakyat Malaysia Yang Sertai Bersih 4.0 Dengan Aman

Written By Wadah Baru on Selasa, 1 September 2015 | 9:08 PG

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad 

Gerakan Harapan Baru terpanggil untuk memberi reaksi terhadap propaganda perkauman yang sedang ditiupkan bahawa himpunan ‪#‎Bersih4‬ kurang mendapat penyertaan daripada orang Melayu.
2. Umum maklum bahawa himpunan #Bersih4 kali ini dianjur ditengah-tengah ugutan dan ancaman oleh pihak kerajaan BN yang mengisytiharkannya sebagai himpunan haram.

3. Kesemua saluran media perdana digunakan seluasnya dengan membawa hujah pemimpin, tokoh agama dan pihak berkuasa untuk menakut-nakut serta memomokkan rakyat khususnya orang Melayu agar tidak menyertai himpunan ini.

4. Kita juga tahu bahawa himpunan #Bersih4 kali ini tidak mendapat partisipasi secara penuh oleh semua komponen parti pembangkang apatah lagi dari parti-parti komponen barisan pemerintah, yang diharapkan pihak penganjur untuk turut terlibat.

5. Pada masa yang sama, suka untuk saya tegaskan bahawa Gerakan Harapan Baru yang masih berstatus NGO telah berusaha untuk memobilisasi ahli-ahli dan jenteranya seumpama ARif dan Pro-Guam untuk membantu.

6. Pun begitu, ucapan jutaan tahniah dan syabas buat seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum; Cina, Melayu, India dan etnik-etnik dari Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asal yang telah turun sejak semalam menyertai gelombang himpunan rakyat #Bersih4 kali ini.

Disebalik semua propaganda, penyertaan etnik Melayu tetap signifikan khasnya generasi anak muda Melayu yang ketara, meyakinkan dan membanggakan.

7. Alhamdulillah, anda semua warga Malaysia yang patriotik telah berjaya menunjukkan bahawa himpunan ini aman tanpa sebarang provokasi. Terima Kasih juga kita rakamkan buat pihak Keselamatan.

8. Saya ingin menyeru agar sikap profesional yang tinggi ini dikekalkan sehingga ke akhir himpunan ini malam ini.

Kita adalah rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahukan perosak negara dibersihkan segera.

Kami, Harapan Baru, tetap bersama anda,
Amanah Progresif Peduli
Dr Dzulkefly Ahmad










0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger