Home » , » Wariskan kemakmuran, bukan hutang

Wariskan kemakmuran, bukan hutang

Written By Wadah Baru on Sabtu, 19 September 2015 | 3:28 PTG

Oleh Faiz Fadzil  

Krisis kemelesetan ekonomi yang sedang menghantui negara amat membimbangkan terutama kepada anak muda.

Untuk mengatasi kemelut ekonomi yang semakin membarah ini, perdana menteri mengumumkan suntikan dana sebanyak RM20 billion ke dalam pasaran saham domestik melalui syarikat ValueCap Sdn Bhd.

Syarikat ini dimiliki oleh agensi kerajan iaitu Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).Langkah ini menimbulkan pelbagai persoalan:

1) Mengapakah kerajaan tidak menggunakan dana RM20 billion tersebut untuk tujuan pelaburan dalam aktiviti ekonomi sebenar (real economy). Langkah itu akan mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) lebih tinggi yang mana akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

Langkah ini sekali gus menambahkan pendapatan dan menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata. Kita bimbang kerana suntikan modal sebegini hanya menaikkan nilai keuntungan di atas kertas semata-mata.

2) Adakah suntikan dana RM20 bilion ini akan menggunakan wang rakyat kerana pemegang saham ValueCap terdiri daripada institusi yang dilihat sebagai lubuk tabungan rakyat iaitu KWAP, PNB dan Khazanah Nasional Bhd?

3) Adakah suntikan dana ini merupakan pakej pemulihan jangka panjang dan cekap dalam menangani krisis yang sedang dihadapi?

Persoalan ini timbul kerana langkah yang sama telah dilakukan oleh kerajaan China beberapa bulan dahulu namun akhirnya mengheret pasaran saham republik itu ke dalam tragedi China Black Monday pada tanggal 24 Ogos 2015.

Hanya langkah pintas

Tidakkah sentimen negatif terhadap kewangan negara akan bertambah memandangkan langkah China berkenaan turut dikritik hebat oleh para pakar ekonomi dan penganalisis dunia?

4) Siapakah yang akan mendapat faedah sebenar daripada suntikan dana ini? Seterusnya, apakah jaminan kerajaan bagi memastikan suntikan dana tersebut tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik dan juga individu tertentu?

Suntikan dana ini dibimbangi akan dimanipulasi melalui pemberian 'duit kopi' untuk tujuan pembersihan wang haram (money laundering) sepertimana yang didakwa berlaku dalam skandal 1MDB.

Kerajaan harus sedar bahawa penyusutan nilai mata wang negara yang mendadak perlu ditangani dengan segera bagi pemulihan ekonomi jangka panjang.

Suntikan dana tersebut hanyalah langkah pintas dan bersifat pemulihan jangka pendek semata-mata yang bakal mendedahkan pasaran Malaysia sekali lagi kepada aliran keluar dana asing yang lebih besar, terutamanya setelah suntikan RM20 billion itu habis dibelanjakan.

Jumlah sebesar ini jika disuntik sebagai peruntukan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kecil dan sederhana seluruh negara mampu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang penglibatan dalam ekonomi domestik yang lebih luas.

Pihak kerajaan sering menggunakan alasan bahawa fenomena global menyebabkan penyusutan nilai mata wang, namun kerajaan tidak dapat menafikan bahawa skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi PM sendiri telah menggalakkan dan meningkatkan lagi sentimen negatif terhadap kedudukan ekonomi negara.

Justeru kami melihat bahawa perdana menteri sepatutnya meletak jawatan terlebih dahulu sebagai langkah awal yang cekap dan bertanggungjawab bagi memulihkan ekonomi negara.

Pemimpin negara wajib mendahulukan nasib negara dengan membela masa depan anak muda. Kami mahu mewarisi kekayaan yang adil lagi saksama di samping kesenangan hidup tanpa bebanan kos saraan yang tinggi.

Wariskanlah kepada kami kemakmuran dan bukannya bebanan hutang dan pinjaman. Kami gusar apabila melihat nasib anak muda semakin bertambah terbeban.

Perhimpunan baju merah, Rabu lalu gagal melihat keseriusan kemelut ini. Jika api perkauman yang mahu diwariskan, kami bimbang masa depan anak muda amat gelap.

Mereka bukan sahaja akan dalam kemiskinan, malah dalam persengketaan dan perbalahan sesama sendiri. Kami khuatir nantinya yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.

FAIZ FADZIL Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger