Oleh Dzulkefly Ahmad
Pagi ini saya ingin terus berkongsi pengamatan tentang Bajet 2016
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tentunya secara selektif.
Mudahnya, strategi bajetnya tidak langsung menghiraukan apa yang
diunjurkan pakar ekonomi yakni prognosis buruk mereka: negara bakal
ditimpa krisis ekonomi dalam suku ketiga 2016.
Najib enggan menerima hakikat ekonomi negara diambang krisis bahkan
kemelesetan, andainya tidak diurus dengan pruden. Atau memang begitu
cara dan pendekatan ‘Najibnomiks’ yang ‘mengepam’ (counter-cyclical)
ekonomi? Kesannya sedia maklum.
Meskipun istilah konsolidasi fiskal disebut-sebut beliau dan menteri
ketika membuat komen tentang bajetnya, bajet ini jelasnya adalah
segala-galanya, kecuali ‘konsolidasi fiskal.
Ya, Najib seolah-olah berbelanja semacam ini bajetnya yang terakhir.
Komentar itu dikongsi spontan oleh Bloomberg dan beberapa pihak lain,
sejurus selepas pembentangan.
Najib sememang menteri kewangan yang tidak punya rekod baik dalam hal
pengurusan kewangan negara. Kalau susah sangat Najib akan membuat ‘bajet
tambahan’. Itu tabiatnya.
Tahun 2015 yang berbaki dua bulan lagi ini, bakal menyaksikan hutang
kerajaan Persekutuan membengkak ke paras RM627.5 bilion, melonjak dari
RM582.8 bilion dalam tahun 2014.
Peningkatan hutang 7.7% adalah melebihi pertumbuhan KDNK yang
diunjurkan hanya pada paras 4-5%. Najib tidak ambil pusing semua ini.
Bajet Najib mengunjurkan defisit fiskal dikurangkan ke paras 3.1%
daripada 3.2% yang dijangka untuk tahun 2015 ini. Apakah ianya
munasabah?
Setelah berbelanja besar untuk menggembirakan semua pihak dalam
kategori B-40 dan juga M-40, termasuk kelompok perkhidmatan awam dan
pesara, Najib jelasnya ‘berjaya’ memujuk sebahagian besar rakyat.
Tanpa mengulangi angka-angka tersebut yang penulis yakin sudah pun
dihafal semua kelompok sasaran tersebut tentang berapa kenaikan yang
mereka dapat, termasuk kenaikan ‘subsidi harga padi’ untuk pesawah yang
tidak dinaikkan kerajaan Barisan Nasional sejak tahun 1991, maka Najib
berasa dirinya selamat. Rakyat teramai disangka terlupa setelah
digula-gulakannya!
Justeru, dalam respons awal ini, penulis ingin mengingatkan Najib dan rakyat sekali gus.
Najib jelasnya dalam penafian dan hakikat itu, dalam jangka dekat dan juga sederhana tidak menguntungkan sesiapa.
Bajet Pakatan Harapan bertemakan “Mengelakkan Krisis”. Kami masih boleh
menerima kita belum lagi dalam krisis meskipun segala petunjuk ekonomi,
seandainya tidak diurus, akan bakal menjerumuskan negara ke dalamnya
sekali gus mensengsarakan rakyat.
Perbelanjaan diperuntukkannya sebanyak RM267.2 bilion dan peruntukan untuk JPM, contohnya dinaikkan ke paras RM20.3 bilion.
Sangat malang, dalam bajetnya, Najib jelas adalah ‘pencetusnya’ dan
bakal menjadi ‘penerusnya’ krisis yang bakal melanda negara dan rakyat
khususnya dalam suku ketika 2016!
Najib tidak langsung cuba menggarap permasalahan besar ‘fundamental’
dalam ekonomi, antara lainnya, penguncupan simpanan asing, lebihan akaun
semasa yang semakin menipis, nilai ringgit yang terus merudum membawa
kepada inflasi import atau ‘imported inflation’.
Benar wujud faktor-faktor yang bersifat luaran atau ‘external’. Harga
komoditi seperti minyak mentah, kelapa sawit, getah dan yang lain
sememang ditentukan pasaran dunia.
Di samping itu, ekonomi China, rakan dagang terbesar kita, yang terus
‘perlahan’ dan polisi mereka yang sengaja menurunkan atau ‘devalue’
nilai mata wang renminbi mereka, atau ancaman dari kenaikan kadar faedah
Amerika Syarikat dan pelbagai ancaman.
Dengan segala risiko yang mendatang ini, Najib wajar tahu beliau tidak
banyak pilihan kecuali untuk benar-benar pruden dalam kawalan
kewangannya. Sekadar menyebut ‘konsolidasi fiskal’ adalah mudah. Siapa
pun boleh.
Najib tahu beliau berdepan dengan masalah besar dalam ekonomi negara
yang berpunca, antara lainnya, ‘kehilangan keyakinan’ pelabur, sama ada
luar mahu pun dalaman atau domestik.
Pengaliran dana keluar atau ‘fund outflow” adalah terbesar sejak krisis
2008, yakni sebanyak AS$30 bilion (RM120 bilion) dan kemasukan
pelaburan asing atau FDI menguncup sebanyak 42% dalam setengah tahun
2015 ini berbanding setengah tahun sebelumnya 2014.
Najib jelasnya tidak mendepani permasalahan ini. Dia dalam mode
penafian tegar nampaknya. Tidak langsung beliau singgung bab dana RM2.6
bilion dalam akaun peribadi yang sekali gus memburukkan imej integriti
atau rasuah di negara ini.
Hutang RM42 bilion 1MDB tidak langsung beliau rungkaikan untuk tangani
persepsi pelabur tentang keupayaan syarikat 100% milik MOF ini.
Keyakinan pelabur sukar untuk dipulihkan.
Sebaliknya, Najib masih lagi mahu bermain dengan psikologi rakyat untuk
mengisytiharkan projek-projek mega-besar seolah-olah kita masih punya
banyak dana untuk berbelanja.
Najib mengumumkan juga projek mega seperti MRT2 sebanyak RM28 bilion dan lebuh raya Pan-Borneo sebanyak RM16.1 bilion.
Dalam suasana di ambang krisis Najib tidak perlu bersandiwara dengan
sebutan kitaran ini. Rakyat sudah celik, yang kesemua projek-projek ini
bukannya dalam bajetnya.
Tetapi kalau dilaksanakan juga akan mengambil perbelanjaan ‘Off-Budget
Spending’ atau Perbelanjaan di luar Belanjawan 2016. Itu trik lamanya.
Bahaya kepada hutang negara.
Tweet dari Menteri Perumahan @mpkotabelud menerangkan segala-galanya:
"Without GST, our economy would be put under tremendous pressure which
could inflict long term negative impact on the economy."
Saya lantas jawab dengan tweet saya: “Shame on the govt to have to say
that GST is the saviour of our economy. Despicable. Little wonder why it
is ruined... Sigh"
Ramalan pungutan GST sebanyak RM39 bilion itu akan menyelamatkan negara
ini. Kali terakhir pungutan SST 2014 adalah RM17 bilion. Ini serentak
bermaksud rakyat akan dicekik untuk mengeluarkan RM22 bilion lebihan
pungutan cukai GST sebagai pendapatan negara.
Benar-benar GST yang menyelamatkan Najib akan memangsakan rakyat pada
tahun 2016 ini! Kalau terdesak Najib tidak segan silu akan memohon Bajet
Tambahan!
Bajet 2016: Selamatkan Najib, mangsakan rakyat akhirnya!
Written By Wadah Baru on Sabtu, 24 Oktober 2015 | 4:41 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan