Home » , » Karut Ketua Bersatu kena bayar RM250 ribu

Karut Ketua Bersatu kena bayar RM250 ribu

Written By Wadah Baru on Rabu, 7 Jun 2017 | 4:24 PTG

Oleh Subky Latif 

TIDAK masuk akal adanya calon ketua bahagian parti Bersatu pimpinan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad-Tan Sri Muhyiddin Yassin dikenakan syarat membayar RM250,000 kepada pihak tertentu atau bersedia menyediakan wang yang sebesar itu bagi menjadi ketua.

Saya lebih percaya apa yang dibangkitkan oleh kalangan pimpinan parti itu di negeri Johor adalah ribut yang sengaja diadakan gara-gara adanya resapan musuh ke dalam parti itu.

Bersatu diwujudkan adalah justeru menentang penyalah gunaan wang yang tiada tandingnya dalam kerajaan dan Umno di bawah pimpinan sekarang.

Mahathir dan Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno adalah berselimut dengan duit yang tak terpemenai. Mereka boleh hidup sampai mati dengan lambakan wang, sama ada mereka suka dengan keadaan demikian atau tidak.

Mahathir sebagai perdana menteri amat senang mendapatkan duit dan tidak prihatin sangat banyak mana duit hendak diguna dan dari mana duit boleh diperolehi.

Jika Muhyiddin boleh dimabukkan dengan duit, dia boleh kunci mulut sebagai TPM hingga dia mati atau hingga PM Najib mati. Yang mana mati dulu tidak penting tetapi dia boleh terus berselimut dengan duit.

Jika Mahathir dan Muhyiddin setuju jenazahnya dikapan dengan duit pun boleh.

Sekalipun sudah dibiasakan dengan budaya hidup bermewahmewahan, datang kesedaran tidak ada kesudahan hidup dengan budaya palsu Qarun. Mungkin mereka tidak sampai tahap kehidupan Qarun itu, tetapi biarlah mewah itu ada hadnya, biar jangan sampai mencekik darah rakyat dan negara.

Mahathir sesudah tidak berkuasa, tdak dapat terima budaya mewah Qarun itu merajalelai pemerintahan dan negara. Jika dia berkuasa lagi, dia juga tidak sedar busuknya budaya pura-puraan Qarun itu. Dia juga boleh gila seperti Qarun juga. Tetapi kerana sudah tidak berkuasa, datang rasa tidak senang dengan kemaharajalelaan yang dihadapi oleh pemerintah.

Apabila seseorang sudah hilang kekuasaan, ada masanya yang banyak bersama dengan orang ramai dan dia juga jadi sebahagian dari orang ramai yang tiada lagi kuasa, maka dia dapat merasakan sengsara umum garagara budaya palsu kemewahan Qarun.

Kesedaran itu datang justeru takdir Allah untuk menunjukkan akan kesan yang rakyat hadapi dari penindasan pemerintahan yang tidak mengenali erti kezaliman.

Masa tua orang pernah berkuasa dan sesudah tidak kuasa, datang waktu mengenang dan memikir apa yang pernah berlaku dan perbandingan dengan apa yang sedang berlaku yang dia ikut rasa kesannya.

Keadaan ini, ditemui oleh setiap orang, masa menilai baik buruk apa yang pernah dilakukannya dulu. Masa itulah datang penyesalan dan penilaian perbuatan lalu masing-masing. Memang masa tua adalah sebaik-baik masa seseorang menilai masa lampaunya.

Dan jika PM Najib panjang usia, hidup di alam persaraan, dia sendiri nescaya bedepan juga dengan menilai sendiri buruk baik pemerintahannya.

Untunglah sebelum mati datang rasa insaf. Mahathir sekarang berada pada masa insafnya.
Sebagai orang yang darahnya penuh asam garam perjuangan, dia tidak boleh lihat kezaliman berleluasa, tidak mahu keburukan zamannya berulang.

Datang kesedaran untuk mencegah semasa dia masih berselimut duit. Bukan dengki atas apa yang terjadi, tetapi mungkin didorong oleh kesedaran untuk menebus keburukan zamannya dulu. Berbalik ke pangkal jalan itu adalah suatu yang Allah sukai.

Allah boleh anugerah rasa insaf itu sebelum roh seorang tiba ke halqum atau sebelum matahari terbit di sebelah barat.

Jangan sampai jadi macam Firaun, setelah nyawa sampai ke halqum baru dia mengaku dia Tuhan Musa dan Tuhan Harunlah sebenar-benar Tuhan. Kesedaran masa itu tidak berguna lagi.

Mahathir dan Muhyiddin masih segar untuk menebus kemewahan hidup berselimut duit. Mereka terjun untuk mencegah kezaliman pemerintahan. Mencegah kezaliman masa ini, melalui kaedah parti politik, memang memerlukan kewangan yang banyak. Tetapi kewangan yang diperlukan tidaklah semewah kekayaan Qarun yang merajalelai itu.

Mungkin segala kekayaan yang Mahathir dan anak-anaknya kumpul selama ini akan habis bagi menampung keperluan meruntuhkan kezaliman, tetapi tidaklah dia mahu mengenakan orang yang bersama-samanya mesti membayar RM250,000 untuk memegang apa-apa jawatan. Bersatu seperti lain-lain pembangkang di samping perlukan dana banyak, mahu semua yang menentang kezaliman berkorban apa saja.

Masing-masing perlu bekerja sukarela, bukan kerja kerana hendakkan duit sebagai mana pemuja Qarun merebut apa yang boleh didapati dari kerajaan yang zalim.

Duit diperlukan sekadar keperluan bergerak. Keutamaan duit dari poket sendiri dari duit yang disediakan oleh parti.

Jadilah seperti Dato’ Onn Jaafar, habis hartanya untuk menghidupkan Parti Negara sebagai pembangkang. Dia tidak dapat memberi perbelajaan kepada anaknya Kapten Hussein menyambung pelajaran undang-undang ke England. Terpaksa kos pengajian itu ditampung oleh bisannya iaitu mertua anaknya, Tan Sri Noh Omar.

Tetapi tidak mustahil ketika Bersatu dalam saat pembinaan ini, yang tetap menyumbang cuak kepada Umno dan pimpinan Najib, meresap ke tengah Bersatu, menimbulkan soalan duit dan apa yan sedang ditularkan itu.

Apa yang Mahathir dan Muhyiddin hadapi itu adalah antara karenah dan masalah yang dihadapi oleh semua parti pembangkang.

Itulah yang Umno terpaksa dihadapi ketika ia mula dipimpin oleh Tunku dulu. Hingga ada yang kata, Umno terpaksa bergantung kepada saudagar-saudagar MCA.

Bersatu adalah mewarisi orangorang Umno yang sudah dibiasakan dengan budaya Qarun.
Mengejar pitih adalah lebih utama dari cita-cita politik. Orang Umno yang menyokong gerakan bagi menjatuhkan Umno datang sama bagi menghabis duit parti. Inilah yang Tengku Razaleigh hadapi.

Ku Li terkenal berduit. Tetapi Gunung Uhud pun boleh leper jika ditahan setiap hari. Bila Ku Li tak dapat beri duit lagi mereka cabut balik dalam Umno.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mungkin ada duit, tetapi bila mereka tak dapat duit, mereka lari semula ke Umno. Sekarang giliran Mahathir dan Muhyiddin untuk menghabiskan duitnya. Cerita calon pemimpin mesti sediakan duit 250 ribu, adakah orang Umno yang hijrah itu hendak hidup seperti dalam Umno juga.

Mahathir dan Muhyiddin sekarang mewarisi apa yang Ku Li pernah hadapi dan masalah yang ada pada Anwar juga. Itulah susah dan cabaran bagi menumbangkan satu sistem yang zalim yang boleh mengumpul duit Qarun dari merata- rata.

Masalah itu nescaya tidak banyak Mahathir dan Muhyiddin hadapi jika mereka datang membantu PAS melanjutkan jihadnya yang tidak pernah berakhir.

Semua orang tahu PAS tidak berduit. Hidupnya selama ini atas apa yang ada dalam saku ahlinya.

Jika Mahathir dengan duitnya yang ada datang membantu PAS dan berjuang dari dalam PAS, tidak ramailah penyangak datang macam semut menghidu manis.

Percayalah pilihan orang Umno yang kecewa dengan Umno, bukan dari keluarga Umno yang bertukar baju. Jika Umno sudah dapat diharap, mereka pilih PAS.

Memilih Bersatu sama seperti memilih S46 dan parti Anwar yang ramainya orang Umno juga.
Muhyiddin tidak banyak dihantui duit jika bersama PAS

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger