Oleh HAYAR HASSAN
Enam bulan yang lalu, ramai pimpinan Pakatan Harapan(PH) rancak
membicarakan betapa pertandingan tiga penjuru
wajar dielakkan kerana ianya diandaikan akan menguntungkan UMNO/Barisan Nasional(BN).
Ramai yang berpandangan bahawa suasana pertandingan tiga penjuru itu sengaja
dirancang oleh UMNO/BN ! UMNO/BN dikatakan telah sanggup mengadakan dana yang
besar untuk merealisasikannya ! Pertandingan tiga penjuru dalam PRU ke 14
adalah salah satu senjata terakhir UMNO/BN untuk terus berkuasa.
Namun demikian, seiring berjalannya waktu dan perkembangan politik
tanah air mutakhir ini, isu ini sudah bukan menjadi isu yang terlalu penting
lagi. Isu ini sudah tidak menarik minat
orang untuk membicarakannya. Kata anak-anak muda sekarang, “Orang dah tak ambil pot pun, sudah basi !”.
Sewaktu ianya hangat dibincangkan dahulu, peranan dan halatuju PAS
seolah-olah menjadi cukup penting. Hampir semua pemimpin-pemimpin Pakatan
Harapan(PH) terus berusaha untuk memujuk PAS kembali bersama dengan PH.
Timbalan Presiden PKR, YAB Dato’ Seri Azmin Ali merangkap Menteri Besar
Selangor dilihat cukup bersungguh-sungguh dan amat mengharapkan PAS kembali
berada dalam PH. Bacaan politik waktu itu, UMNO/BN pasti lebih mudah dikalahkan
dalam PRU ke 14 nanti, seandainya PAS kembali semula dalam PH.
Apabila struktur kepimpinan dan organisasi PH dimuktamadkan sekitar
bulan Julai 2017, semua kebimbangan akan impak pertandingan tiga penjuru sudah
menjadi reda dan ianya kurang dibincangkan. Usaha-usaha untuk terus memujuk PAS
sudah dilupakan. Apatah lagi, sebelum itu banyak kenyataan-kenyataan pimpinan
PAS sudah dianggap tidak relevan dengan perjuangan untuk mengalahkan UMNO/BN.
Yang cukup menghairankan kenyataan-kenyataan pimpinan tertinggi PAS sudah tidak seperti dahulu. “PAS sudah banyak berubah”, kata
kebanyakan orang. PAS lebih lunak dengan UMNO/BN ! Pemimpin PAS mahu sekadar
menjadi penasihat sahaja kepada UMNO/BN, bukan lagi mengalahkan UMNO/BN dalam
PRU ke 14 nanti. Strategi PAS bergerak sebagai blok ketiga cukup mengelirukan.
“Apa sebenarnya yang sedang dicari oleh
PAS?”, soalan yang sampai sekarang sukar dijawab oleh kebanyakan ahli-ahli
tegar PAS.
Dengan struktur kepimpinan dan gerakkerja PH pada waktu ini, adalah
lebih praktikal PAS kekal pada kedudukannya sekarang ini. Kemasukan PAS pada
saat-saat terakhir sebelum PRU ke 14 diadakan adalah sebenarnya jerangkap samar(bobby trap) kepada PH.
Difahamkan kepimpinan tertinggi PH dalam proses terakhir untuk
memuktamadkan pembahagian kerusi-kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan
Negeri(DUN) yang akan diwakili oleh semua parti-parti dalam PH. Pertindihan
kerusi antara parti-parti gabungan dalam PH adalah cerita silam sewaktu Pakatan
Rakyat masih wujud. Kepimpinan Tertinggi (Majlis Presiden PH) berjanji isu
tikam menikam dari belakang antara parti-parti dan ahli-ahli PH tidak akan
berlaku lagi. Pengalaman lima calon DUN PAS berlawan dengan calon resmi Pakatan
Rakyat(PR) adalah sejarah lama yang wajar dilupakan sahaja.
Seandainya berlaku secara mendadak pun perubahan pucuk pimpinan PAS
pada waktu ini, kesediaan PH untuk menerima semula PAS sudah menjadi terlalu
sukar kerana pembahagian kerusi-kerusi yang sudah hampir dimuktamadkan oleh
Majlis Presiden PH itu bukan senang untuk dirungkai dan dirundingkan semula.
Kesimpulannya, kita lupakan sahaja PAS dengan strategi dan gerak kerja mereka.
Bukan kah PAS kaya dengan pengalaman dan semangat berjuang mereka yang tinggi.
Pas hanya mencari keridhoan Allah SWT dalam berpolitik.
Persoalan-persoalan yang wajar kita utamakan sekarang ini adalah
strategi-strategi ampuh buat mengalahkan UMNO/BN dalam PRU ke 14.
Kalau diimbas kembali keputusan-keputusan PRU 12 dan PRU 13. Pakatan
Rakyat(PR) mendapat undi popular sebanyak 50.3 %, sedangkan BN hanya mendapat
46 %. Kalau Malaysia mengamalkan sistem “
Proportional Representation”, PR telah pun menerajui tampok pemerintahan di
Putrajaya ! Negara jiran terdekat kita Republik Indonesia(RI) mengamalkan
sistem ini. Itu lah malangnya rakyat Malaysia, kita masih mengamalkan sistem “First Past The Post” dan UMNO/BN masih menerajui tampok
pemerintahan Putrajaya.
Apa pun peluang untuk PH memenangi PRU ke 14 adalah cukup cerah. Ini
adalah berdasarkan kepada beberapa faktor utama ekonomi dan politik. Dikesempatan
ini saya sekadar ingin menyentuh faktor politik sahaja.
Seperti yang kita maklumi, keberadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM)
dan Parti Amanah Negara(AMANAH) dalam PH
telah dan bakal memberikan impak yang cukup besar kepada peningkatan undi popular PH dalam PRU ke 14 nanti.
Dengan mengambil kira bahawa parti-parti komponen PKR dan DAP dalam
PH dapat menambah lagi sekitar 15 % lagi undi popular. Amanah pula dengan mesej “ Rahmatan Lil Alamiin dapat
mengekalkan sekurang-kurangnya 30 % undi PAS dalam PR dahulu dan PPBM pula
dapat undi penyokong UMNO sekitar 30 %, pastinya undi popular PH boleh
diandaikan mampu mencecah sekitar 70 %. Ini adalah andaian secara kasar yang
pastinya memerlukan penelitian yang lebih jitu lagi !
Seandainya perkara ini benar-benar berlaku pada hari mengundi nanti,
impian kita untuk mengambil alih Putrajaya bukanlah mimpi lagi.
Sebenarnya pada waktu ini PH
mempunyai terlalu banyak isu yang boleh dimainkan untuk meraih dan menambah undi.
Cumanya, semua pimpinan dan penceramah-penceramah PH perlu bekerja dengan lebih gigih, berhikmah,
mesra pengundi dan penuh berstrategi .
Memang sudah diakui bahawa kepopularitian UMNO dan PAS pada waktu
ini sedang menurun. Sewajarnya PH dapat mengambil manafaatnya. Dalam suasana
pilihanraya demokrasi, meraih undi adalah perkara asas. Pihak mana yang lebih
cepat dapat meyakinkan pengundi-pengundi , maka pihak dia lah yang akan menang.
Tawaran bajet alternatif PH tahun 2018 yang diumumkan sebelum
pembentangan Bajet BN adalah suatu amalan yang cukup baik dan wajar. Cumanya
sampai sekarang PAS masih gagal mengemukakan Bajet mereka. Sesungguhnya rakyat
dan pengundi-pengundi dapat menilai pihak mana kah yang benar-benar peka untuk
memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia untuk tempoh lima
tahun akan datang.
Pimpinan PH serta ahli-ahli parti sewajarnya tidak perlu terlalu
gusar untuk menyertai PRU ke 14 walau pun ianya nanti dibayangi oleh
pertandingan tiga penjuru. Berbekalkan kesefahaman dan kesepakatan yang kental
, mantap dan strategi yang tepat, PH boleh memenangi PRU ke 14 itu nanti dengan
penuh bergaya. Insyaa Allah.
Sekian, Terima Kasih.
0 ulasan:
Catat Ulasan