Home » , » Dengan Hormatnya , Berundurlah Najib

Dengan Hormatnya , Berundurlah Najib

Written By Wadah Baru on Khamis, 15 Oktober 2015 | 3:03 PTG

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ong Tee Keat, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafei Afdal, mengejutkan banyak pihak apabila muncul bersama pada satu sidang media semalam.

Mereka semua adalah bekas pemimpin tertinggi UMNO BN, yang tampil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan urusan pentadbiran dan ekonomi negara, khasnya isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Saya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu dengan sesungguhnya agar Datuk Seri Najib mendengar rayuan ini, sama ada daripada parti pemerintah, pembangkang, NGO serta rakyat seluruhnya supaya beliau meletak jawatan segera.

Kekusutan ekonomi, salah laku, tindakan kepada pegawai kerajaan khasnya peguam negara, ketua bahagian cawangan khas, siasatan terhadap SPRM, ditambah dengan pendedahan siasatan oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador, telah menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada Datuk Seri Najib.

Ia bukan berkait soal peribadi semata-mata kerana Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Sehingga kini sebarang tuduhan tidak dijawab, ditambah skandal bertimpa-timpa menyebabkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kerajaan Malaysia tergugat. Kejatuhan nilai matawang Malaysia pula begitu ketara sekali.

Oleh itu, dengan penuh takzim, untuk menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, saya menyeru Datuk Seri Najib melepaskan jawatan demi kebaikan kepada keluarganya, kerajaan, rakyat terbanyak dan negara.

Akhir-akhir ini pula, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib telah menggunakan akta SOSMA yang menyamai ISA untuk memadamkan suara kritikan rakyat terhadap diri beliau.

Semasa pembentangan di parlimen tahun lalu, SOSMA dijanjikan hanya akan digunakan terhadap mereka yang bertindak secara militan sama ada menegur atau menjatuhkan kerajaan. Tetapi kebelakangan ini, SOSMA digunakan termasuk kepada peguam yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad. Perbuatan ini tidak lain, hanya meruntuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib.

Oleh itu, demi kebaikan semua, dan demi kedaulatan rakyat seluruhnya, kami meminta Datuk Seri Najib, secara hormatnya dapat melepaskan jawatan Perdana Menteri. Kita mengharapkan seorang pengganti yang dapat memulihkan semula keadaan ekonomi, politik, keyakinan rakyat, serta menamatkan kritikan pihak luar terhadap negara.

Salam hormat dari Frankfurt, Germany.

"Harapan Baru"

"Islam Rahmat Untuk Semua"

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden,
Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger