Oleh Faiz Fadzil
Pinangan presiden Umno dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2015 untuk bekerjasama dengan PAS seharusnya disambut baik dan diterima PAS. Sejarah PAS yang pernah menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 menyaksikan PAS menjadi parti politik yang kuat ketika itu.
Umno yang kehilangan tongkatnya sekarang di mana MCA dan MIC sudah ditolak rakyat perlu dipimpin tangannya oleh PAS sebagai tongkat baharu. Tidak cukup untuk PAS yang selama ini hanya memberikan oksigen kepada Umno untuk bernafas semula. Umno memerlukan tongkat baharu untuk berjalan semula dan PAS adalah satu-satunya parti politik yang disebut presiden Umno untuk membantu mereka.
Umno sudah terdesak sekarang. Kebobrokan dalam pentadbiran negara memerlukan nasihat PAS. PAS dan Umno kini dilihat berpegang pada ideologi perjuangan yang sama. PAS kini sudah tiada halangan dalaman lagi untuk menerima pinangan Umno. Golongan yang menentang idea kerjasama dengan Umno ini telahpun keluar parti dan menubuhkan Amanah. Tiada lagi istilah pengkhianat terhadap Amanah kerana PAS boleh membuat keputusan segera menerima pinangan Umno tanpa halangan dalaman.
Pentadbiran negara sekarang yang diterajui Umno disokong PAS. Perhimpunan aman Bersih 4 bagi menuntut pemulihan pentadbiran negara ditolak dan diperlekeh PAS. PAS juga tidak mengundi di Parlimen bagi menolak Bajet 2016. Begitu juga keengganan mengangkat placard 'Mana RM2.6 bilion' di Parlimen. Propaganda PAS Pakatan Harapan kononnya dipimpin DAP juga disambut presiden Umno dalam ucapan dasarnya, walaupun ia tidak benar. Kedua-dua parti Melayu ini yang memainkan isu sentimen perkauman umpama pinang dibelah dua sudah sepadan untuk bersama dalam 1 bahtera baharu politik tanah air.
Sesungguhnya Amanah yang membawa perjuangan Islam yang bersifat rahmah akan bersama-sama DAP dan PKR berjuang menentang kezaliman dan kebobrokan pentadbiran Umno dan BN. Islam mampu memerintah dan memimpin umat terutama rakyat negara ini. Islam yang berpaksikan kepada keadilan, kebebasan, kesamaan, kebajikan rakyat, keadilan sosioekonomi semua kaum dan urus tadbir yang baik dan bersih (good governance) akan menjadi dasar utama perjuangan Amanah.
Amanah akan terus berjiwa besar untuk memimpin agenda perubahan yang ditagih rakyat kini yang dihimpit dengan tekanan ekonomi dan keperitan hidup.
Kenyataan presiden PAS yang tetap mahu meneruskan kerjasama politik dengan PKR tetapi pada masa sama mahu bekerjasama dengan Umno adalah poligami yang ditolak rakyat. PAS tidak mampu berjuang bersendirian, justeru kerjasama dengan Ummo adalah pilihan terbaik.
Sesungguhnya, bukan Umno atau PAS yang akan menentukan nasib dan hala tuju negara, tetapi rakyat. Rakyat yang akan memilih gabungan parti politik manakah yang mampu mentadbir Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Sepertimana kata keramat Anwar Ibrahim “suara rakyat suara keramat”.
Percayalah rakyat sudah bijak untuk menentukan nasib dan masa depan sendiri. Rakyat tidak akan mudah tertipu lagi dengan ucapan berdegar-degar pimpinan Umno termasuk ketua Pemudanya yang kononnya mahu membela rakyat, sedangkan keputusan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan pengangkutan awam dan tol dibuat bersama di meja Kabinet.
Rakyat terutamanya kaum Melayu perlu dibela. Pakatan Harapan harus terus memandang ke hadapan untuk menyusun strategi yang lebih ampuh dan merangka dasar dan polisi terbaik yang mampu membawa agenda perubahan rakyat ini.
* Penulis ialah timbalan ketua pemuda Amanah.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan