Home » , » Akhbar "Harapan Baru" BUKAN Akhbar Rasmi Amanah

Akhbar "Harapan Baru" BUKAN Akhbar Rasmi Amanah

Written By Wadah Baru on Rabu, 6 Januari 2016 | 3:11 PTG

Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan sebarang kaitan dengan kewujudan sebuah akhbar
dengan nama "Harapan Baru" yang sedang tersebar di laman sosial dan melalui aplikasi Whatsapp yang menggunakan logo parti.

"Ia bukan dikeluarkan oleh AMANAH dan kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan yang timbul dari penerbitan akhbar tersebut," kata setiausaha agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir.
Dalam satu kenyataan, beliau sebaliknya berkata, AMANAH sedang berusaha ke arah menerbitkan akhbarnya sendiri.

Menurutnya, ia kini di fasa akhir menyiapkan segala dokumen diperlukan untuk dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memohon permit penerbitan.

"Bagaimanapun AMANAH tetap menghargai sebarang usaha daripada ahli, penyokong atau mana-mana pihak yang bersemangat untuk mempromosikan parti yang baru berusia hampir lima bulan ini.

"Jika akhbar seperti yang gambarnya sedang tersebar itu benar-benar wujud, AMANAH mempelawa pihak terbabit untuk datang berbincang langkah-langkah yang boleh diambil ke arah mempromosikan AMANAH secara strategik dan mengikut saluran yang betul," tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa penerbitan akhbar rasmi parti AMANAH akan dibuat mengikut prosedur dan proses undang-undang yang telah ditetapkan.

"Sehubungan itu, AMANAH menasihatkan semua pihak bersabar dan menunggu akhbar rasmi yang akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi selepas permit penerbitan diluluskan oleh KDN," tegasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger