Home » » Keganasan Atas Nama Agama Adalah Mungkar

Keganasan Atas Nama Agama Adalah Mungkar

Written By Wadah Baru on Sabtu, 16 Januari 2016 | 3:10 PTG

Oleh Wan Ji bin Wan Hussin

1. Negara jiran kita ditimpa musibah, apabila berlaku serangan bom di kawasan awam yang melibatkan kecederaan dan kematian. Sejurus dari kejadian itu, pihak pendokong Negara Islam Syria Iraq (NISI) atau nama lain, Islamic State Iraq Syria (ISIS) mendakwa bahawa kejadian tersebut punyai kaitan dengan mereka.

2. Gerakan NISI/ISIS ini, seperti sedia maklum adalah kalangan yang mempunyai kepercayaan kewajipan menubuhkan negara Islam. Malahan, mereka juga percaya bahawa sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dan kepercayaan dengan mereka dianggap sebagai musuh Islam. Justeru, wajar diperangi.

3. Modus operandi mereka, bermula dari menuduh kalangan yang berbeza dengan mereka sebagai taghut, kemudian melabel pula sebagai munafiq, kufur, murtad dan musuh islam, seterusnya menghalalkan pembunuhan dan serangan maut, hatta terhadap kalangan yang mengucap syahadah sekalipun. Malahan, tindakan itu dianggap halal oleh mereka dengan disulami ayat al-Quran dan Hadis dalam tafsiran ganjil mereka, malahan disertakan juga ungkapan ulama-ulama tertentu.

4. Kewujudan mereka seperti tidak ada beza seperti apa yang pernah diungkapkan oleh Nabi dalam satu hadis saheh bahawa Baginda menyatakan bahawa akan wujud satu kelompok manusia dari kalangan umat Islam yang mereka membaca al-Quran dengan baik, tetapi al-Quran yang dibacakan  itu tidak lebih sekadar di halkum mereka sahaja. Malahan, Nabi saw menyatakan bahawa ketika mereka membaca al-Quran itu, mereka terkeluar dari amalan Islam sepertimana keluar anak panah dari busar panah. Dalam hadis yang lain pula, Nabi saw ada menyatakan bahawa akan berlaku satu ketika wujud kalangan manusia yang membunuh ibu dan bapa mereka, membunuh sanak saudara, membunuh jiran tetangga atas nama agama. Nabi juga menyatakan, akal mereka seperti tidak berfungsi lagi atas tindakan itu.

5. Tidak diketahui dari mana asal datang kalangan NISI/ISIS ini. Sebilangan pihak menganggap bahawa mereka dibayar oleh kuasa besar, dan sebilangan pihak menganggap kewujudan mereka adalah sememangnya lahir ekoran kepercayaan tentang konsep Negara Islam yang dicanang mereka.

6. Kewujudan kalangan ini tidak wajar dipandang remeh. Ini kerana, kewujudan mereka akan menggugat kedaulatan dan keamanan sesebuah negara. Justeru, ia wajar diambil perhatian oleh semua pihak.

7. Pihak BiPPA AMK Malaysia mencela amalan sebegini dan anggap ia sebagai kejahatan yang tidak boleh dimaafkan. Dan pihak BiPPA AMK Malaysia juga meminta semua pihak berusaha membenteras kepercayaan sebegini dengan sebaik mungkin, demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara kekal.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Wan Ji bin Wan Hussin
pengerusi BiPPA AMK Malaysia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger